(Gambar oleh Berita Harian)
ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, adik kepada Syahidan Kasim malam tadi mengumumkan keluar UMNO kerana mendakwa hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.
Beliau yang akan menjadi ADUN Bebas, membayangkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau lebih dikenali sebagai parti Bunga yang diketuai perdana menteri baru yang lama, Tun Mahathir, dalam masa terdekat.
“Secara rasminya saya sudah keluar UMNO dan BN untuk menjadi wakil rakyat Bebas dalam negeri ini.
“Keputusan ini dibuat atas beberapa faktor dan antaranya ialah saya sudah hilang keyakinan kepada pucuk kepemimpinan parti,” katanya seperti yang dilaporkan NSTP.
Untuk rekod, Ismail Kassim diumumkan oleh abang beliau sendiri, Syahidan Kassim sebagai calon menteri besar Perlis selepas BN menguasai Perlis dengan 2/3 majoriti bersamaan dengan 10 kerusi, diikuti PH dengan 3 kerusi, manakala PAS 2 kerusi pada PRU ke 14 yang lalu.
Walaubagaimanapun, pencalonan beliau ditolak kerana istana dikatakan enggan menerima menteri besar boneka, yang merujuk kepada Syahidan Kassim, mengawal adik beliau.
(Gambar oleh The Star)
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kemudian memperkenankan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis yang baru, dimana majlis angkat sumpah beliau diboikot pula oleh 9 adun BN sebagai tanda protes.
Pengkritik melihat tindakan Ismail Kassim keluar UMNO adalah kerana kecewa tidak dapat menjadi menteri besar Perlis. Sebelum ini juga, abang beliau turut menafikan ura-ura ADUN BN melompat parti ketika krisis perlantikan menteri besar berlaku.
-TTKM-