Surat terbuka buat Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

SURAT TERBUKA KEPADA MENTERI SUMBER MANUSIA

Selamat sejahtera untuk YB Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia dalam kabinet Malaysia yang baru.

Saya membaca tentang satu kenyataan YB di media tentang peraturan untuk peniaga restoran menghentikan penggunaan pekerja asing untuk memasak.

Yang pertamanya, saya tidak mengetahui kesahihan perkara ini, kerana di zaman ini, agak sukar untuk menilai kesahihan satu-satu kenyataan ahli politik, samada berjawatan atau tidak. Mungkin ianya betul, atau disiarkan menurut konteks yang silap, atau memang sekadar satu persepsi sesetengah pihak terhadap kenyataan ahli politik tersebut.

Apa yang saya dan ramai lagi faham tentang perkara ini adalah, mulai awal tahun 2019, semua restoran mesti menggunakan tenaga kerja tempatan sebagai tukang masak. Seandainya kefahaman kami ini bukanlah seperti yang YB nyatakan, atau pendirian YB sebagai Menteri Sumber Manusia, YB adalah bertanggungjawab untuk membuat satu kenyataan rasmi untuk memperjelaskan keadaan ini.

Namun sekiranya ini adalah betul, saya merasakan ianya adalah satu tindakan reaksonari yang sepatutnya YB elakkan. Dalam keadaan sekarang, dimana YB sebagai sebahagian dari pasukan yang mengambil alih pentadbiran dari satu kumpulan yang lama, yang menjalankan pentadbiran mengikut kaedah-kaedah yang telah membawa kerosakan kepada sistem, fungsi utama YB sekarang adalah untuk cuba memperbaiki keadaan yang ada bukannya membuat satu perkara yang menambahkan lagi kerosakan kepada sistem yang sedia ada.

Umum telah tahu bahawa ‘nature of business’ dalam bidang penyediaan makanan memerlukan ‘arts and skills’ yang mana ianya banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti pengalaman dan persekitaran dimana seseorang itu hidup. Contohnya, untuk menyediakan makanan Jepun yang boleh memikat selera, kursus atau belajar selama setahun dua mungkin tidak cukup. Sekadar memasak mungkin ya, tetapi untuk mengolah mengikut citarasa bukanlah sesuatu yang logik tanpa pengalaman dan pengamatan yang memerlukan tempoh yang agak panjang dan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Seorang chef yang mampu menyediakan makanan Jepun yang baik, pasti seorang yang belajar dan mengamatinya bertahun-tahun dan biasanya pernah berada di negara Jepun. Ini sekadar gambaran yang sedikit.

Sebenarnya, saya lebih ingin menarik perhatian YB kepada perkara-perkara lain yang lebih utama (priority) yang perlu diambil berat oleh Kementerian Sumber Manusia berbanding perkara di atas.

1. Skim Insurans Pekerjaan yang telah bermula awal tahun 2018. Kita sedia maklum tentang kewujudan skim ini sejak sebelum ini. Skim ini wujud antara lain adalah dari desakan Parti Sosialis Malaysia yang memikirkan bahawa dalam situasi ekonomi serantau dan juga global yang agak tidak menentu, risiko untuk pekerja kehilangan kerja adalah agak tinggi. Ianya menjadi sukar dengan keperluan kehidupan yang juga agak mendesak. PSM telah menggariskan beberapa perkara yang meliputi pembentukan satu Tabung Pemberhentian Kerja bagi menjamin pekerja yang terlibat, mempunyai sedikit ruang untuk bernafas dalam keadaan kehilangan kerja apabila majikan gulung tikar dan tidak mampu memberi pampasan. Walaupun saranan atau desakan ini, telah disambut oleh kerajaan sebelum ini dengan pembentukan SIP seperti dinyatakan, saya rasa YB sendiri tahu bahawa masih banyak perkara dalam SIP ini perlu diperhalusi dan ditambahbaik agar ianya benar-benar dapat mencapai sasaran.

2. Masalah pekerja berkaitan sistem kontrak dalam perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Kita sedia maklum bahawa dalam kerajaan sebelum ini, beberapa perkhidmatan dalam sektor kesihatan dan pendidikan seperti kawalan keselamatan dan pembersihan telah diswastakan. Syarikat-syarikat ditubuhkan bagi merebut peluang ini yang mana kebanyakannya adalah tidak mahir dalam urusan yang mereka ceburi ini dan hanya bergantung kepada pengaruh atau sokongan politik untuk mendapatkan kontrak. Apabila ini terjadi, banyak masalah timbul seperti pembayaran gaji yang tidak stabil, gaji dipotong untuk KWSP dan Perkeso tetapi tiada caruman dilakukan dan seribu satu masalah lain yang perlukan perhatian.

3. Pembentukan satu polisi komprehensif berkaitan pekerja migran. Saban hari kita disajikan dengan pelbagai kisah berkaitan pekerja migran. Dan kita dapat lihat betapa ianya hanya sekadar berita atau cerita dan tiada tindakan penyelesaian dalam bentuk polisi diwujudkan untuk menangangi semua isu ini. Permasalahan mungkin melibatkan juga kementerian-kementerian lain tetapi kami melihat perlunya ada satu polisi yang komprehensif berkaitan tenaga kerja migran dari Kementerian Sumber Manusia yang boleh menjadi garis panduan dalam hal ini.

4. Isu gaji minima. Saya berpendapat, kerja-kerja ke arah peningkatan gaji minima mengikut situasi ekonomi kehidupan sekarang sepatutnya menjadi keutamaan kepada Kementerian Sumber Manusia sekarang. Penyelarasan gaji minima antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak juga adalah lebih utama berbanding isu tukang masak yang YB ketengahkan ini. Rakyat boleh faham jika ianya memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan namun biarlah kelihatan ada jalan ke arah tersebut dan tidak dicemari dengan perkara-perkara lain yang tidak perlu.

Pasti ada lagi perkara lain yang boleh dibincangkan tentang fungai kementerian, namun buat masa ini, saya ringkaskan kepada empat perkara di atas terlebih dahulu dan berharap saranan ini diberikan perhatian yang sewajarnya.

Wan Zamzahidi bin Wan Zahid
Ahli Jawatankuasa Pusat
Parti Sosialis Malaysia.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.