Antara Guan Eng dan Sri Mulyani

Antara Guan Eng dan Sri Mulyani

Oleh : ARIF ATAN

 

Menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) sila buka buku Pengajian Am STPM semula. Tak pun pinjam pada KSU buku “Malaysia Kita” yang menjadi kitab pegawai-pegawai kerajaan. Maklumlah rakyat boleh faham, tak pernah jadi kerajaan Persekutuan ‘kan, maka mestilah banyak belajar menjadi kerajaan.

Belum 100 hari memerintah ni, belum terlambat lagi untuk Guan Eng cuba menuntut ilmu komunikasi cara kerajaan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan itu semua. Mereka lebih arif. Jangan tahu nak buat perubahan sampai tak sedar melanggar norma kerajaan bahkan selamba mencabar semangat Perlembagaan.

Kalau tak sempat baca sebab tebal, jangan angkuh berlagak maha tahu lagi betul. Rujuklah pada orang lama dalam kerajaan yang faham roh Perlembagaan dan sudah bersama PH.

Tan Sri Dr Rais Yatim pun dah cakap selama 40 tahun beliau di dalam dan luar kerajaan hanya bahasa Melayu, tidak pernah lagi bahasa lain diguna sebagai kenyataan rasmi dari kerajaan.

Jelas, menteri MCA dan Gerakan selama ini pun tidak celupar menggunakan bahasa Cina untuk kenyataan rasmi termasuk di media sosial! Tiba-tiba Menteri PH atau lebih khusus Menteri DAP mahu menghalalkan bahasa Cina dalam kenyataan rasmi kerajaan? Mahu mencabar Perlembagaan?

Alasan Guan Eng kononnya kenyataan media Kementerian Kewangan hanya diterjemah kepada bahasa lain “jika ada keperluan”.

Eh, sebenarnya tiada keperluan pun untuk seorang Menteri jadi tukang penterjemah!

Media bahasa vernakular sudah ada pasukan editorialnya sendiri. Ini masalahnya apabila Menteri besar kepala buat tak faham Perlembagaan bahkan secara tidak langsung meremehkan keupayaan media dalam membuat laporan tepat.

Guan Eng juga kata terjemahan ke dalam bahasa Mandarin dibuat terutama apabila isu membabitkan “terma teknikal”.

Adakah Guan Eng hendak maksudkan bahasa kebangsaan begitu lemah tahap gaban hingga tidak mampu mengungkap terma teknikal?

Kalau itu hujahnya, apa agaknya kenyataan rasmi Kementerian Kewangan selepas ini yang tidak ada “terma teknikal” supaya tidaklah perlu diterjemah kepada bahasa Mandarin dan Inggeris? Hanya tinggal ucapan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin sajalah yang tiada terma teknikal untuk tidaklah perlu diterjemah kepada bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris!

Guan Eng dan menteri PH lain termasuk wakil rakyat di Parlimen dan di kerusi negeri kenalah sedar diri. Kalau BN yang 60 tahun pun boleh tumbang kerana degil enggan dengar suara rakyat, apa lagi PH yang rapuh dengan medianya sendiri pun masih bercempera sebab asyik masyuk mendapat liputan meluas di media perdana.

Penyokong PH pun sama, sila belajar jadi warga yang waras. Jangan salin dan tampal perangai bodoh penyokong taksub BN yang hanya menyokong membawa rebah. Sayangkan parti tidak harus melampaui cintakan tanah air.

Hormati semangat Perlembagaan kalau sungguh tidak mahu mengelek kuasa hanya sepenggal. Semua rakyat Malaysia termasuk segelintir Melayu yang bukan reti bahasa Cina pun, menyokong kedegilan Guan Eng mesti sedar tentang taraf dan kedudukan bahasa selain bahasa Melayu.

Bahasa Mandarin yang Guan Eng berkeras mahu gunakan itu adalah bahasa rasmi negara China bukan bahasa rasmi di Malaysia.

Nanti orang label Guan Eng rasis, DAP parti Cina, tahu pula melenting. Tapi kenyataan rasmi kerajaan pun macam berkiblatkan Beijing.

Di negara kita, suka atau tidak, bahasa Mandarin tarafnya hanya bahasa vernakular untuk kaum Cina sahaja.

Ini bermakna bahasa Mandarin termasuk juga bahasa Tamil yang Menteri Sumber Manusia ucap semasa sidang media semalam di pejabat Kementerian bukannya di ladang estet – tidak boleh digunakan sebagai bahasa dalam urusan rasmi kerajaan!

Satu lagi, isu belajar banyak bahasa dengan penggunaan bahasa dalam urusan rasmi kerajaan adalah dua isu berbeza. Tu lah. Tak reti bahasa!

Jadi, hentikanlah mengedarkan kenyataan rasmi kerajaan dalam versi bahasa selain bahasa kebangaaan. Kalau masih buat selepas ini, itu jelas biadap namanya.

Menteri dan wakil rakyat PH juga selepas ini kena sepakat menjadi lebih negarawan.

Kata, Malaysia Baru, kan? Dalam sidang media di Putrajaya dan bangunan kerajaan-kerajaan negeri selepas ini, para pemimpin PH mesti lazimkan diri menjawab soalan pemberita dalam bahasa kebangsaan walaupun pemberita tempatan itu bertanyakan dalam bahasa Inggeris, Mandarin mahupun Tamil.

Kalau alasan, takut mereka salah faham kalau jawab dalam bahasa kebangsaan, maka itu isyarat kritikal untuk sistem pendidikan dirombak termasuk menyamakan kurikulum pengajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) atau lebih bagus hapuskan saja sekolah yang tidak menjadikan anak-anak Malaysia Baru ini duduk belajar, main bersama di bawah satu bumbung.

Menteri dan wakil rakyat PH mesti berjiwa besar. Kamu semua pemimpin Malaysia Baru. Kalian mesti menjadi contoh teladan kepada rakyat untuk menggunakan bahasa Melayu yang lancar dan fasih.

Mana Menteri PH yang lidahnya tergeliat mungkin bercakap bahasa kebangsaan termasuk Menteri Melayu pun hodoh benar bunyinya suka cakap rojak dengan ayat tak lengkap subjek predikat, silalah belajar bahasa Melayu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tak pun Naib Pengerusi DAP Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Atau belajar sajalah sambil duduk dalam kereta tu menyebut lancar bahasa Melayu dengan mendengar lagu penyanyi Elizabeth Tan.

Belajar juga sebut secara betul dengan mendengar pengucapan bahasa kebangsaan yang fasih oleh pelakon Alvin Chong. Itu antara generasi baru dalam budaya popular semasa di negara kita ini.

Ramai lagi ahli akademik dan sasterawan pun boleh dijadikan mahaguru bahasa kebangsaan seperti Dr Lim Swee Tin dan Prof Datuk Dr Teo Kok Seong. Kalau ada pemimpin PH tak kenal dua tokoh itu, sila meninggal, kata budak-budak sekarang!

Ramai sebenarnya rakyat Malaysia berbilang kaum terutama generasi muda jauh lebih fasih berbahasa kebangsaan dan tidak ada masalah dengan kenyataan rasmi kerajaan dalam bahasa Melayu.

Tidak pernah pula kita dengar akhbar-akhbar bahasa Cina yang lebih banyak dan jauh lebih bebas sejak zaman BN lagi dikenakan tindakan saman disebabkan salah lapor kenyataan rasmi kerajaan sebelum ini.

Adakah Menteri Kewangan Indonesia yang diiktiraf menerima Anugerah Menteri Terbaik di Dunia pada Februari lepas sibuk jadi penterjemah mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa selain bahasa rasmi negaranya yang berdaulat?

Bahkan, Sri Mulyani Indrawati sebagai seorang menteri untuk 257 juta rakyat Indonesia serta 78,164 kakitangan kementeriannya tetap menggunakan bahasa Indonesia – yang terasnya adalah bahasa Melayu itu sepenuhnya dalam kenyataannya di Facebook.

Tapi Guan Eng hanya Menteri Kewangan untuk 32 juta rakyat Malaysia dengan 69 peratus etnik Bumiputera manakala lebih 7 juta keturunan Cina – itu pun semakin menurun – pula melatah tanpa mahu mengucap sepatah M A A F pun berdegil mahu tetap guna bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan?

Kedegilan tahap berapa dah ni? Kemudian apabila dikritik pelbagai pihak boleh pula Guan Eng selamba tuduh yang menegurnya itu rasis dan tak mahu tunduk kepada desakan awam.

Oh, barangkali takrif rasis hanya terpakai pada suara yang mahu supaya bahasa kebangsaan diutamakan. Label rasis rupa-rupanya tidak terpakai kepada yang degil mahu mengeluarkan kenyataan rasmi kerajaan dalam pelbagai bahasa.

Guan Eng juga kata, “Penggunaan bahasa berkenaan (Mandarin) melambangkan pengiktirafan kerajaan PH terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.”

Baik, kalau begitu pemahaman Guan Eng, sila bangkitkan di Parlimen terlebih dahulu langkah untuk merombak semula Perlembagaan yang nampaknya tidak meraikan “kepelbagaian bahasa dan globalisasi”.

Ada berani ubah peruntukan Perkara 152? Jika dah ubah atau mansuhkan, bolehlah Guan Eng selepas ini keluarkan juga kenyataan rasmi kerajaan dalam bahasa Hokkien atas alasan suku kaum Cina itu paling ramai di Malaysia.

Atas dasar “kepelbagaian bahasa dan globalisasi” juga, Guan Eng juga mesti keluarkan kenyataan rasmi kerajaan dalam bahasa Kantonis memandangkan banyak stesen TV berbahasa Cina guna dialek suku kaum yang ramai di Lembah Klang ini.

Guan Eng dan Menteri “Cina DAP” lain juga mestilah keluarkan kenyataan rasmi kerajaan dalam bahasa Hakka yang ramai penuturnya di Sabah dan Sarawak sebab bahasa Mandarin hanya banyak ditutur oleh masyarakat Cina di selatan Semenanjung saja kesan pengaruh kepada akses media dari Singapura.

Atas hujah kepelbagaian bahasa juga, seorang menteri juga mestilah “adil” untuk keluarkan kenyataan dalam versi bahasa Teochew dan Foochow.

Malah, atas hujah “globalisasi”, Kementerian Kewangan dipelopori Guan Eng juga mestilah keluarkan kenyataan rasmi kerajaan dalam enam bahasa rasmi PBB sebagai permulaan dulu iaitu bahasa Arab, Perancis, Rusia, Sepanyol selain Inggeris dan Mandarin tentunya.

Puluhan tahun Perlembagaan negara memayungi kita dan sejak penubuhan Malaysia ikrar Rukunnegara termasuk “Keluhuran Perlembagaan” dipekik dalam perhimpunan sekolah, rupa-rupanya tidak mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan globalisasi apabila hanya memaktubkan hanya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan. Baru rakyat Malaysia Baru tahu ni!

Alahai Yang Berhormat (kalau diterjemah kepada bahasa Cina, jadi apa?) Menteri. Simpanlah sikit rasis tu, jangan buat keputusan macam tak sekolah. Kamu itu Menteri untuk 32 juta rakyat Malaysia bukan Menteri untuk 23% rakyat keturunan Tionghoa yang sepatutnya sudah fasih berbahasa kebangsaan. -TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version