Pemilihan Presiden UMNO : Siapa pilihan perwakilan pasca kekalahan PRU 14

Oleh : Team OA

PRU 14 ini membuktikan kepada kita dua perkara:
i. Samada Pakatan Harapan atau Barisan Nasional, kedua-duanya adalah gabungan parti-parti yang tidak menerima cadangan orang-orang muda dan melakukan perkara-perkara yang tidak cerdik SELEPAS PRU 14
ii. Yang membezakan adalah, Pakatan Harapan dilihat seolah-olah mereka mendengar cadangan orang-orang muda, tetapi ia hanyalah berbentuk superfisial semata-mata. Ia adalah sekadar menunjukkan mereka itu berniat untuk berubah dengan slogan Malaysia Baru, padahal mereka mengekalkan apa yang telah lama diamalkan sebelum ini. Peluang mereka lebih besar juga daripada BN untuk melakukan perubahan, memandangkan mereka memiliki kuasa tampuk pemerintahan. Manakala di pihak BN pula, mereka hanya berpeluang menunjukkan mereka ingin berubah, hanyalah melalui pemilihan pucuk pimpinan utama UMNO, MCA mahupun MIC.
Pakatan Harapan
Sebelum PRU14, Pakatan Harapan melalui mulut-mulut kempen mereka, tanpa segan silu melepaskan apa sahaja janji-janji terlampau manis untuk melakukan perubahan. Sekiranya ditambahkan lagi 100 hari berkempen, tidak mustahil mereka akan menjanjikan sebuah jambatan emas ke bulan, kerana mereka tahu, akan ada yang akan mengungkapkan “Hari ini bersetubuh, takkan besok nak dapat anak” melalui mulut-mulut pengikut setia mereka setelah mereka mendapatkan kuasa.

Adakah Pakatan Harapan mahu berubah lagi di masa hadapan, dengan peluang kekuasaan pemerintahan di tangan mereka? Jawapannya adalah tipis sekali kerana ia dapat dilihat melalui kenyataan Lim Guan Eng, yang menjawab kritikan menggunakan bahasa Mandarin di dalam urusan rasmi Kementerian Kewangan, di dalam bahasa Mandarin juga. Apakah benar, Lim Guan Eng dan juak-juak DAP, benar-benar mahu menghentikan perkauman? Kalau mahu menunjukkan tanda berhentinya perkauman di bawah Pakatan Harapan, kenapakah bahasa Tamil, Iban, Kadazan dan sebagainya tidak digunakan?

Cuba tanyakan kepada Guan Eng dan DAP, apakah jawapan kritikan dan langkah-langkah yang diambil mereka terhadap mana-mana amalan syarikat Multinational Corporation yang menggunakan syarat bahasa Mandarin di dalam pengambilan pekerjaan? Perubahan yang mereka sedang usahakan, tidak lain tidak bukan hanyalah bersifat superfisial dan retorik semata-mata. Peluang untuk menutup perkara-perkara superfisial dan retorik ini pula, akan terus berlansung untuk 1800 hari atau 5 tahun.


Barisan Nasional
Berlainan pula dengan Barisan Nasional yang tidak lagi memiliki kekuasaan dan peluang untuk menunjukkan mereka mahukan kepada perubahan, adalah terlampau terhad. Sehinggakan, semenjak dari kekalahan PRU14, mereka hanya berpeluang membuktikan mereka inginkan perubahan adalah hanya pada pemilihan Presiden UMNO. Satu sahaja peluang sahaja kepada mereka sejak dari 9 Mei 2018 sehinggalah kepada pemilihan yang akan datang. Sekiranya pemilihan dijalankan 3 tahun lagi, 3 tahun lagilah peluang lain akan datang. Barisan Nasional umumnya, dan UMNO khususnya, tidak memiliki kemewahan peluang seperti yang dimiliki oleh Pakatan Harapan.
Barisan Nasional atau UMNO yang mahukan perubahan, terletak pada tangan mereka sendiri. Mahu tidak mahu, BN dan UMNO, perlu memilih Presiden yang baharu. BN dan UMNO yang sedarkan diri mereka itu berada pada kedudukan yang terbawah sekali, dan jauh daripada kekuasaan pemerintahan, akan membuat keputusan drastik. Keputusan drastik itulah yang akan menentukan
keinginan sebenar mereka yang mahukan perubahan. Tanpa keputusan drastik, BN dan UMNO akan terus menjadi pembangkang selepas PRU15.

35970979_628312330855414_1456331630917451776_n
Apakah agenda perubahan yang diinginkan oleh Zahid Hamidi?

Zahid Hamidi membawa lambang kepada pemerintahan lama. Sama sahaja Zahid Hamidi menjadi presiden UMNO dengan Najib Razak memandangkan Zahid Hamidi adalah orang terkanan Najib Razak. Adakah ia perubahan? BN dan UMNO tidak akan menunjukkan keinginan mereka untuk berubah sekiranya ia hanyalah penggantian Najib Razak kepada Zahid Hamidi. Tiada polisi-polisi yang terkehadapan daripada Zahid Hamidi di dalam merangka agenda perubahan UMNO dan ianya adalah tidak cukup pada mata rakyat terutamanya sekali orang-orang muda di Saluran 4, 5 dan 6 yang memenangkan Pakatan Harapan. Terpilihnya Zahid Hamidi menjadi presiden UMNO, hanyalah akan memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan pada PRU15 sahaja dan membuatkan Lim Guan Eng, terus berlakon terkejut pada propaganda hutang yang tidak wujud sehinggakan melatah di dalam bahasa Mandarin untuk menjawab penggunaan bahasa Mandarin oleh Kementerian Kewangan.

35549993_10155381613822413_5467034368948043776_n
Dan apakah pula agenda perubahan yang diinginkan oleh Tengku Razaleigh?

Perwakilan UMNO seharusnya sedar, perubahan itu diperlukan untuk dibawa ke hadapan. Akan tetapi perubahan yang dibawa ke belakang, ia bukanlah perubahan. Politik dalaman UMNO mengutamakan jasa-jasa pemimpin terdahulu, dan sejarah PRU14 membuktikan, politik dalaman UMNO, bukan sahaja memberikan mudarat dan musibah kepada UMNO sendiri, malah ia adalah lambang penolakan rakyat kepada UMNO. Tengku Razaleigh juga tidak pernah menerangkan bukan sahaja kepada ahli-ahli UMNO, malah kepada seluruh pengundi mengenai agenda-agenda perubahannya. Ambilkan contoh, sebuah rumah yang diancam ribut. Sekiranya dibawakan tiang lama untuk menggantikan tiang yang semakin goyang, ia juga akan dikatakan membawa perubahan. Akan tetapi adakah perubahan itu membawa kepada kebaikan? Tidak sama sekali. Tiang lama lagi kan rapuh, apatah lagi tiang yang sejak dari dulu yang dibiarkan reput terbuang. Tiang reput inilah yang hanya akan membahayakan terus rumah itu semakin ranap ke bawah ditiup ribut. Salah percaturan, rumah itu pula akan roboh serapatnya ke tanah tidak mampu ditahan oleh tiang yang reput. Hanyalah tiang yang baru, sekalipun belum pernah digunakan dan diuji, yang akan memungkinkan rumah itu dapat bertahan daripada ribut. UMNO bukan lagi seperti dahulu. Peluang mereka terlampau terhad dan sekiranya peluang yang ada ini juga mereka sia-siakan, marilah kita semua menobatkan PRU15 nanti bakal dimenangi oleh Pakatan Harapan, dan Lim Guan Eng, akan terus ternganga terkejut menggunakan bahasa Mandarin di dalam urusan rasmi kerajaan dan Kementerian Kewangan.

35777184_2251793968170525_5958330674300583936_o.jpg
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin bertanding jawatan Presiden juga tidaklah menggambarkan era baru untuk UMNO. Hanyalah pembentangan manifesto di dalam pemilihan presiden UMNO kali ini sahaja yang dilihat sebagai baru. Idea-idea yang dicadangkannya, sekiranya diteliti, juga bukanlah idea-idea yang dapat menarik pengundi luar untuk mengundi UMNO. Akan tetapi niatnya itu dapat kita fahami, iaitu dengan mengetengahkan idea-idea untuk menerajui UMNO, barulah pembaharuan akan digerakkan kepada pengundi luar. Fokus utamanya adalah melakukan pembaharuan di dalam parti.

35271477_2260991147250807_8893967630302445568_n

Daripada idea-idea yang dipersembahkan di antara ketiga-tiga calon, hanyalah dengan memberikan kerusi-kerusi Naib Presiden yang dikhususkan kepada wanita dan wakil daripada Sabah yang dapat kita lihat sebagai sedikit sahaja perbezaan. Jika sebelum ini wanita dan wakil daripada Sabah sentiasa sahaja dilihat mendapat halangan daripada perwakilan-perwakilan UMNO yang lain, melalui cadangan Khairy Jamaluddin inilah kita dapat lihat permasalahan ini dapat diselesaikan. Bukanlah sebagai penyelesaian terbaik, tetapi penyelesaian inilah yang ditawarkannya berbanding tiada sebarang suara apa pun daripada pihak Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh.
Jika selama ini, kita semua seakan-akan bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir, bahawa hanyalah mereka yang kurang cerdik sahaja yang akan diketengahkan, manakala golongan cerdik pandai akan diketepikan. Tidak dapat tidak kita terpaksa melihat secara sinis pembaharuan yang cuba dibawa oleh Khairy Jamaluddin ini.

Ideanya untuk membentuk satu majlis yang dianggotai oleh golongan professional, ahli akademik, ulama dan aktivis NGO untuk melangkaui amalan lama di dalam UMNO. Kita tidak melihat UMNO sebagai bersedia untuk melakukan langkah-langkah drastik seperti memberikan peluang kepada pembaharuan yang cuba diketengahkannya ini.
Kita sedar, UMNO hanya berpeluang menunjukkan mereka inginkan perubahan drastik, apabila mereka mengambil peluang yang terhad ini. “Drastic times call for drastic measures” hanya dapat dipenuhi apabila sesuatu yang menjadi luar daripada kebiasaan UMNO diambil sebagai keputusan. Bukankah kekalahan PRU itu sendiri adalah luar daripada kebiasaan UMNO? Daripada nasib UMNO yang luar dari kebiasaan ini ditentukan oleh tangan-tangan luar daripada UMNO seperti kekalahan PRU, adalah lebih baik sekiranya perwakilan-perwakilan UMNO sendiri yang akan mengambil langkah-langkah luar daripada kebiasaan. Pengundi luar UMNO juga sudah berani melangkaui langkah-langkah drastik apabila secara beraninya memilih sesuatu yang asing sekali kepada negara, iaitu memberikan peluang kepada Pakatan Harapan.
PRU14 juga secara jelas, terang dan hanyalah orang yang terlampau gila sahaja yang mengatakan undi Saluran 4, 5 dan 6 tidak penting. Dengan undi saluran-saluran inilah, Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya daripada tangan Barisan Nasional. Idea-idea yang mewakili Saluran 1, 2 dan 3 lah, secara jelas ia ditolak oleh pengundi saluran-saluran 4, 5 dan 6. Adakah bukti ini tidak cukup lagi kepada perwakilan-perwakilan UMNO, bahawa sekiranya mereka tidak mengambil langkah-langkah drastik, dengan memberikan peluang yang terhad ini kepada Khairy Jamaluddin untuk membawa kepada perubahan? Kita tahu dan bersedia untuk menyambut berita bahawa UMNO akan terus menjunam dan terus menjunam.
Dunia sudah bergerak ke arah pimpinan-pimpinan orang muda. Justin Trudeau pada usia kini 46 tahun memimpin Canada. Canada adalah salah satu negara maju dan bukanlah calang-calang negara. Mereka tahu, perubahan drastik itu penting untuk menjamin survival mereka di dalam dunia moden. Orang-orang Perancis juga begitu. Emmanuel Macron pada usia 41 tahun, memimpin Perancis. Pakatan Harapan sahaja yang menjadikan pemimpin berusia 93 tahun sebagai pimpinan utama. Sehingga kini hanyalah Mazlee Malik dilihat sebagai pemimpin muda di dalam Pakatan Harapan. Itupun Mazlee Malik mewakili Bersatu. Sekiranya Mazlee Malik itu daripada parti Amanah, DAP ataupun PKR, kita tidak merasakan Mazlee Malik akan dipilih oleh pemimpin berusia 93 tahun menjadi Menteri Pendidikan. Manakala Syed Sadiq? Hanya masa yang akan menentukan Syed Sadiq, juga daripada Bersatu, terpilih untuk mewakili Kementerian Belia dan Sukan. Calon Menteri Besar Selangor, sekalipun daripada pimpinan muda PKR, tidaklah menghairankan kita semua. Ini adalah kerana, Selangor sebelum ini lagi, memang sudah diwakili daripada PKR sedari dari awal.
Pakatan Harapan yang mencaturkan pimpinan-pimpinan muda mereka berdasarkan parti, maka itu dilihat sebagai sebuah kelebihan kepada mereka. Peluang yang berlebih-lebih dimiliki Pakatan Harapan, ditambah lagi dengan peluang yang diberikan kepada pimpinan muda mereka, hanya mendesak UMNO kepada satu sahaja pilihan yang paling munasabah daripada kacamata kita yang berada di luar UMNO. Satu pilihan ini adalah syarat utama yang mesti dipenuhi oleh UMNO. Perwakilan UMNO perlu sedar, Barisan Nasional dan UMNO bukan lagi pemain utama politik Malaysia. Peluang mereka untuk memenangi PRU15 semakin tipis dan sekiranya ia gagal ditangani dengan bijak, maka mereka sendirilah yang menyerahkan PRU15 kepada Pakatan Harapan.
Tanyalah pada mana-mana pengundi Saluran 4,5 dan 6. Mereka akan turut bersetuju,  sekiranya UMNO ingin melakukan perubahan, nampaknya Khairy Jamaluddin paling kedepan menawarkan perkara itu. -TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.