KJ terima kekalahan, ucap tahniah pada Zahid. – Kenyataan Akhbar

Kenyataan YB Khairy Jamaluddin setelah gagal memenangi pertandingan presiden UMNO.

keiry.PNG

Tahniah dan terima kasih

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua terutama ahli serta para perwakilan UMNO yang telah terlibat dalam pemilihan parti kali ini.

Setelah 31 tahun, parti kesayangan kita menyaksikan satu keterbukaan yang menyegarkan, apabila jawatan tertinggi parti iaitu jawatan Presiden telah dipertandingkan dengan amat demokratik.

Saya amat berbangga kerana telah menjadi sebahagian daripada sejarah ini, apabila diberi peluang untuk bersaing dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden.

Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid kerana telah memenangi pertandingan ini dan setinggi tahniah juga kepada Tengku Razaleigh kerana telah menawarkan kebijaksanaan dan pengalaman beliau sebagai seorang negarawan.

Tahniah juga diucapkan kepada Datuk Seri Mohamad Hassan yang telah memenangi jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya membanggakan warga Rembau dan orang Negeri Sembilan.

Buat barisan jentera saya serta para penyokong, jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada anda semua. Begitu juga dengan rakyat Malaysia secara keseluruhan yang telah mengikuti pemilihan UMNO kali ini dengan dekat. Terima kasih di atas sokongan dan kata-kata semangat anda semua.

Selepas ini, saya akan memberi lebih fokus kepada tugas saya sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, merangkap Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Saya berharap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bersama barisan baharu kepimpinan UMNO akan dapat melaksanakan segala idea bernas yang telah dicadangkan dalam pemilihan kali ini, tidak kira daripada siapa dan semoga perubahan yang akan kita laksanakan dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

Khairy Jamaluddin

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.