
Kuala Lumpur : Retak menanti belah? Tidak sampai 24 jam selepas menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah, Malaysiakini melaporkan ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh menyatakan kritikan terhadap perdana menteri, Tun Dr Mahathir kerana didakwa tidak mengikut senarai calon menteri yang dicadangkan kepimpinan DAP. Ini termasuklah nama yang digugurkan oleh Tun iaitu ahli parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming manakala ahli parlimen Stampin, Chong Chieng Jen hanya dilantik menjadi timbalan menteri.
Beliau turut mempersoalkan adakah DAP akan menerima sahaja keputusan sebegini sekiranya pada satu hari perlantikan Setiausaha Agung DAP juga ditolak.
“Kini cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, sekiranya Setiausaha Agung DAP juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?” – Wong Kah Woh
Wong turut mengkritik Tun kerana tidak menghormati cadangan pimpinan parti DAP, malah menurut beliau barisan kabinet Tun tidak mencerminkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP, kedua terbanyak selepas PKR.
“Tindakan Perdana Menteri adalah tidak berpatutan lantaran pengaturan senarai kabinet tersebut tidak mengikuti bilangan kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti untuk mengilustrasikan hasrat rakyat..malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan” –Wong Kah Woh

Janji Lim Guan Eng dicapati.
Sewaktu kempen PRU 14 lepas, Lim Guan Eng telah berjanji kepada pengundi Teluk Intan akan menjadikan Nga Kor Ming sebagai menteri sekiranya beliau berjaya merampas kerusi tersebut dari Mah, Pengerusi Gerakan.
“Untuk masuk Putrajaya, kita kena menang kerusi termasuk di kawasan yang ahli parlimennya adalah menteri, MP Teluk Intan (Mah) ialah menteri di jabatan perdana menteri. Jadi kalau kita nak kalahkan dia, kita mesti hantar pemimpin besar yang berwibawa, kita mesti hantar seorang calon ( Nga Kor Ming) yang bila kita menang di Putrajaya parti DAP akan lantik dia juga sebagai menteri!” – Lim Guan Eng.
Senarai kabinet semalam menyaksikan Tun Mahathir menggugurkan nama Nga Kor Ming, manakala Chong, pengerusi DAP Sarawak cuma dilantik sebagai timbalan menteri.
Sebab pengguguran?
Pengguguran nama Nga Kor Ming oleh Tun dilihat kerana beliau mengejek usia Tun Dr Mahathir ketika kempen PRU 14 lepas, malah berkata mendiang Lee Kuan Yew sedang menunggu Tun untuk bermain mahjong.
Manakala pakar ceramah DAP, Superman Hew pula mengatakan mereka hanya memperkudakan Tun untuk menumbangkan Najib.
TTKM mendapati yang pandai menunggang kuda sebenarnya adalah Tun, malah beliau pernah menunggang kuda sejauh 30km sehari di Argentina.

Retak menanti belah?
Ini kali kedua kritikan terbuka dibuat oleh politikus Pakatan Harapan terhadap pemilihan menteri yang dibuat Tun. Sebelum ini, Rafizi Ramli mengkritik Tun kerana membuat keputusan melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, dan Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan, tanpa berbincang dengan PKR, parti paling banyak kerusi dalam Pakatan Harapan. -TTKM-
Kenyataan Penuh Pemuda DAP, Wong Kah Woh :
Dalam senarai kabinet yang baru diumumkan, beberapa calon yang dicadangkan oleh DAP termasuk Pengerusi Negeri Sarawak Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin) serta Pengerusi Negeri Perak Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Teluk Intan) telah digugurkan daripada senarai menteri dan maka DAP hanya memperoleh enam jawatan menteri walaupun berjaya memenangi 42 kerusi parlimen dalam PRU ke-14.
Tindakan perdana menteri adalah tidak berpatutan lantaran pengaturan senarai kabinet tersebut tidak mengikuti bilangan kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti untuk mengilustrasikan hasrat rakyat, malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan.
DAPSY ingin menegaskan bahawa pandangan terhadap senarai kabinet yang diumumkan perdana menteri bukan berniat untuk merebut mana-mana jawatan menteri tetapi untuk menghormati hasrat rakyat serta mempertahankan maruah parti demi memastikan tidak wujudnya sistem cacat bahawa sesebuah parti terlalu berkuasa dalam Pakatan Harapan. Hanya dengan amalan membuat keputusan secara konsensus, sebuah Malaysia baru akan dapat dibina dan budaya politik baru akan dilahirkan.
Apabila keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan memberikan kuasa kepada perdana menteri untuk memilih dan melantik menteri, sesungguhnya ini juga bermakna bahawa perdana menteri akan melantik menteri dalam kalangan senarai calon yang dikemukakan oleh parti-parti dan perdana menteri harus menghormati pilihan komponen parti dalam Pakatan Harapan supaya ia dapat membentuk sebuah kabinet yang sempurna.
Bagaimanapun, senarai kabinet yang baru diumumkan khususnya bagi pihak DAP, calon-calon yang dicadangkan oleh pimpinan parti untuk menganggotai kabinet seperti Chong Chieng Jen serta Nga Kor Ming dipinggirkan. Sama ada dari segi pengalaman, kemampuan mahupun kelayakan, mereka adalah calon cemerlang dalam kesemua aspek dan merupakan pemimpin kebangsaan utama bagi DAP serta antara individu yang memberi sumbangan besar kepada kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU ke-14.
DAPSY tidak menafikan pandangan perdana menteri dalam memilih bakat mahupun mengkritik kemampuan menteri yang dilantik perdana menteri dan tidak menafikan kemampuan bakat-bakat yang dipilih.
Namun, DAPSY ingin menegaskan bahawa tiada pihak lain yang lebih memahami dan mempercayai kelayakan serta kemampuan calon yang dicadangkan oleh parti melainkan parti itu sendiri. Walaupun Pakatan Harapan memberi kuasa muktamad kepada perdana menteri untuk menentukan senarai kabinet, namun Perdana Menteri haruslah lebih mendengari suara dan pandangan rakan-rakan seperjuangan dalam pelantikan tersebut dan bukannya bertindak dengan sebaliknya.
Kini cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, sekiranya setiausaha agung DAP juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?
Maka, perdana menteri harus lebih banyak mendengari suara serta hasrat parti seperjuangan kerana kabinet baru akan menentukan hala tuju negara. Pelantikan berdasarkan kelayakan dan pengalaman adalah penting dalam mengukuhkan asas dan meningkatkan kualiti pentadbiran kerajaan baru. Ia secara keseluruhannya turut berkemampuan untuk menggabungkan segala tenaga dan minda rakyat demi membina sebuah Malaysia yang baru.
Leave a Reply