Dari mana isu 1MDB bermula?

Oleh : Fathi Aris OmarĀ 

Dari mana isu 1MDB bermula?

1. Setelah DS Najib Razak mahu wang untuk menguatkan Umno dalam PRU 2013. Bagi menebus kesilapan PRU 2008. Kesilapan pada BN tapi beliau, akibatnya, dinaikkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM.

Macam-macam yang dilakukan antara 2009 hingga 2013: merampas Perak, membeli wakil-wakil rakyat PKR dan bertubi-tubi menyerang Selangor. Dan juga, menubuhkan 1MDB.

2. Dari mana kesilapan 2008? Daripada kejayaan besar persempadan semula kerusi pilihan raya 2004 yang meluaskan kerusi campuran. Apabila undi Cina dan India tolak BN, dicampur faktor Dr Mahathir tolak Tun Abdullah Ahmad Badawi, maka jadilah tsunami awal 2008.

3. Dari mana sempadan baru 2004 bermula? Dari krisis 1998 apabila Melayu meninggalkan Umno dalam PRU 1999 setelah DS Anwar Ibrahim tersingkir. Untuk membendung arus penolakan Melayu ini, ciptalah kerusi campuran (dengan bukan Melayu) dan Dr Mahathir letak jawatan pada 2003.

4. Dari mana pula krisis 1998 bermula? Daripada keretakan kumpulan AIDS (Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi) yang menjadi pendukung utama Dr Mahathir berdepan Tengku Razaleigh Hamzah 1987.

Dikatakan orang, waktu itu, jika Anwar bersama Ku Li; maka Team B boleh menewaskan Team A Mahathir. Tetapi Anwar tetap ingin bersama Dr Mahathir.

Tetapi AIDS tidak kekal lama. Mula-mula Sanusi Junid menjadi sasarannya; kemudian orang Daim pula menjadi sasarannya (atau takut melihat persiapan AI pada pemilihan Umno 1996).

Maka wujud konspirasi menjatuhkan Anwar, yang ditafsirkan sedang merancang menggulingkan Dr Mahathir pada pemilihan Umno 1999.

5. Jadi, PKR dan PPBM ini serpihan-serpihan Umno yang berjaya mencantumkan kekuatan baru (termasuk DAP, PAS dan Amanah) untuk membentuk gejala Umno++ bagi melawan Umno.

Dalam proses Umno++ menyerap kekuatan baru, atau proses berevolusi dan berinovasinya, maka macam-macam idea baru muncul bersama konteks serta semangat zaman itu.

6. Kita sendiri menjadi sebahagian proses inovasi Umno++ itu. Kita tidak menang, kita datang dengan beban membaiki; kalaulah kita mampu. Najib memang padan muka. Macam juga Umno, padan muka!

Padan muka Dr Mahathir juga; begitu juga Anwar, padan mukanya dan padan muka kita. Kita tidak menang, kita datang dengan beban membaiki; kalaulah kita mampu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.