Sun. Sep 22nd, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Apakah isu sebenarnya? Aktivism LGBT atau pengamalnya?

3 min read

Oleh :  Faiq Khalifa

Ada beza antara seorang lelaki atau perempuan yang homoseksual dengan seorang aktivis LGBT. Ya, memang benar seperti apa yang dikatakan oleh Menteri Agama bahawa dosa perbuatan LGBT itu selama mana ia dilakukan di dalam privasi pelakunya maka ia adalah urusan mereka dengan Tuhan, itu saya bersetuju, bahkan ia adalah benar untuk apa jua jenis dosa seperti penzinaan, minum arak dan sebagainya. Malah saya pernah mengongsikan pandangan ulama seperti Syeikh Yusuf Al Qaradawi yang membantah tindakan pihak berkuasa mengintip perbuatan dosa yang dilakukan secara tersembunyi, berdasarkan kisah Saidina Umar Al Khattab r.a. dan dosa mendedahkan aib, yakni mendedahkan perbuatan yang dilakukan seseorang secara tersembunyi atau dalam kelompoknya yang terhad kepada umum.

Jadi apakah isunya di sini?

Isunya adalah pada aktivisme LGBT. Menjadi seorang homoseksual itu adalah satu isu manakala menjadi seorang aktivis LGBT pula merupakan satu isu yang lain, bahkan seorang aktivis LGBT itu tidak semestinya seorang pengamal LGBT, begitulah sebaliknya. Saya percaya apa yang lebih utama dalam perbahasan mengenai isu ini ialah soal aktivisme LGBT. Aktivisme adalah usaha membawa satu amalan atau pemikiran dari lingkungan individu atau kelompok kecil ke lingkungan umum bagi mendapatkan penerimaan masyarakat umum terhadap amalan atau pemikiran tersebut. Di sinilah masalahnya.

Pada dasarnya masyarakat kita menolak perbuatan pedophilia adalah kerana ia bertentangan dengan norma dan nilai masyarakat kita pada zaman ini. Untuk itu segala hujah hujah moral dan saintifik hanyalah “alasan” yang kita ketengahkan untuk merasionalkan penolakan tersebut. Bahkan saya berpendapat, kita menolak perkahwinan bawah umur yang terlalu muda kerana perkahwinan itu telah menjadi satu bentuk aktivisme, satu bentuk usaha mendapatkan pengesahan dan penerimaan masyarakat terhadap amalan pedophilia melalui institusi perkahwinan, walhal perkahwinan pada usia awal belasan tahun bukanlah suatu yang asing dalam masyarakat kita sehingga 60, 70 tahun yang lalu.

Adalah tidak mungkin dapat dinafikan bahawa masyarakat kita menolak amalan LGBT kerana ia bertentangan dengan norma dan nilai yang kita pegang secara kolektif buat masa ini, malah ia bertentangan dengan undang undang negara. Hukum agama dan barangkali bukti saintifik dijadikan hujah bagi penolakan tersebut. Maka sebagaimana kita menolak aktivisme pedophilia, penolakan terhadap aktivisme LGBT tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia adalah dalam kerangka yang sama, iaitu membantah usaha menjadikan ia amalan yang diterima masyarakat. Membantah aktivisme tersebut, bukan pada susuk tubuh individu itu semata mata.

Melihat dari sudut ini, bantahan terhadap pelantikan seorang aktivis LGBT selaku pegawai tinggi kerajaan, apatah lagi jawatan penasihat kepada Menteri yang memegang portfolio belia bukanlah suatu yang melampau, bahkan perlu difahami mengikut konteks seperti yang saya perjelaskan. Sudah pasti timbul persepsi bahawa individu tersebut akan menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi tindakan dan dasar kerajaan bagi memenuhi idealisme individu tersebut. Apakah sukar untuk memahami bahawa masyarakat kita menentang amalan LGBT dari mempengaruhi dasar dan tindakan dalam pembangunan belia negara?

Apakah pihak yang menempelak penolakan tersebut mahu memaksakan masyarakat kita menerima amalan LGBT dalam lingkungan umum dan institusi sosial sedangkan dalam masa yang sama ada di kalangan mereka yang menentang amalan poligami yang sah di sisi undang undang, agama dan nilai masyarakat? Jika aktivisme LGBT atau penularan amalan LGBT dari sempadan “private” ke sempadan “public” harus diterima, maka apakah amalan seks bebas, seks berkumpulan dan segala jenis kecenderungan seksual termasuk pedophilia, necrophilia, zoophilia, objectophilia, paraphilia, incest (sumbang mahram), promiscuity bahkan apa apa sahaja bentuk amalan yang tidak terhad kepada seksualiti yang bertentangan dengan norma sosial harus diterima oleh masyarakat atas alasan keterbukaan dan progresif?

Menilai pernyataan Menteri Agama itu, ia sebenarnya menggambarkan pendirian masyarakat kita dalam isu LGBT. Ia menggambarkan penerimaan kepada kewujudan individu individu LGBT, dengan sikap membiarkan mereka selama mana perbuatan mereka itu dihadkan di dalam ruang peribadi. Bahkan terbukti masyarakat boleh menerima seorang tukang masak atau tukang andam gay, seorang rakan sekerja biseksual, malah seorang menteri lesbian. Apa yang ditolak ialah aktivisme, iaitu usaha menormakan amalan LGBT dalam ruang umum, contohnya seperti penganjuran perarakan belia LGBT di Dataran Putrajaya, perkahwinan sesama jantina, iftar LGBT, surau LGBT dan sebagainya yang menjadi program aktivisme LGBT untuk diterima masyarakat, sebagaimana masyarakat menolak aktivisme “kebejatan” yang lain.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: