“Iktiraflah UEC kerana ia juga anak Malaysia!”

Pendapat oleh : Dr Hue Hwa Ching

Terlebih dahulu ingin saya mohon maaf sekiranya ada apa-apa kesilapan tatabahasa. Jarang saya tulis berlebar panjang dengan Bahasa Melayu sejak tamatnya pelajaran menengah 15 tahun yang lalu. Harap-harap gred A dahulu yang saya dapat dalam Bahasa Melayu sejak UPSR (kertas SK), PMR dan SPM sedikit sebanyak boleh pakai lagi. Yang kesal, saya hanya dapat gred B3 dalam UEC (kononnya tahap lebih rendah berbanding SPM).

Untuk makluman kalian, saya seorang doktor yang dah berdaftar penuh sepanjang 7 tahun, dan baru waktu itulah saya rasa akhirnya diri diiktiraf oleh perbadanan kerajaan. Sebelum ini untuk jangka masa yang agak panjang, saya terasa sendiri terpinggir dalam golongan “tidak diiktiraf” dan rasa tidak dihargai oleh Negara.

Tangkap layar profil FB Dr Hue Hwa Ching

Saya belajar di sekolah menengah persendirian cina (SMPC)yang mana sijil UEC tidak diiktiraf, dan lepas tu melanjutkan pelajaran perubatan di Beijing,China yang juga degree tidak diiktiraf penuh oleh MMC. Maka saya diminta menduduki last paper bersama pelajar perubatan kebangsaan tempatan tahun terakhir, untuk mendapat kelulusan menjadi housemen. Padahal universiti yang saya belajar di Beijing adalah antara top 50 mengikut penilaian ranking antarabangsa. ( Iaitu universiti yang sama dengan anak Hishammuddin mendapat MBA baru-baru ini. Tahniah!)

Kalian mungkin akan tertanya- kenapa biar tahu tidak diiktiraf oleh kerajaan tapi masih pergi ke SMPC, masih pergi ke China? Adakah saya ataupun ibubapa saya begitu menegaskan pendidikan Bahasa Cina? Kesalnya, Tidak!
Sebab utama saya dihantar ke SMPC kerana masa itu ibubapa saya terdengar banyak masalah disiplin di SMK yang berdekatan. Saya anak sulung, mereka tiada pengalaman atau kajian mendalam pun terhadap sistem pendidikan. Sehingga mereka melihat keberatan beban pelajaran saya di SMPC (masa tigkat tiga kena ambil 8 subjek PMR dan 7 subjek UEC Junior serentak), dua-dua adik saya kemudiannya dihantar ke SMK. Manakala perlanjutan ke China pun bukan sebab menyanjung komunisim, tetapi semata-mata kos pelajaran jauh lebih rendah. Saya tidak layak masuk universiti kebangsaan tempatan dengan sijil UEC, juga tidak mampu belajar di medical school swasta tempatan yang hampir setengah juta ringgit. Maka tinggal pilihan Taiwan atau China sahaja, yang mampu kami tanggung di samping kualiti universitinya terjamin dan kadang-kadang diperuntuki biasiswa jika prestasi cemerlang.

Begitunya keadaan zaman sekarang. Berbeza dengan anggapan sahabat kaum lain, masyarakat Cina pada realitinya tidak lagi bertegas sangat terhadap pendidikan Bahasa Cina, berbanding dengan zaman 70’ atau 80’. Tahukah kalian jumlah anak pelajar mengambil subjek Bahasa Cina di peringkat PMR dan SPM semakin merosot ke tahap yang membimbangkan, bahawa ia mungkin akan lenyap pada masa akan datang? Alasan di belakang kononnya subjek itu susah untuk mendapat gred A. Kebanyakan (bukan semua) ibubapa kaum cina hantar anak-anak ke SMPC, hakikat utamanya ialah kekurangan yakin terhadap kualiti pengajaran di kebanyakan SMK. Yang lagi berkemampuan pula, dah hantar anak ke International school. Seperti yang pernah dihujahkan oleh YB Yeo Bee Yin dalam video “Bayangan Malaysia Baru”, setiap anak Malaysia tak kira bangsa atau kelas hidup sepatutnya dijaminkan dengan kualiti pengajaran kebangsaan yang baik dan adil untuk semua,yang mana penilaian dan pemberian peluang adalah berdasarkan potensi dan prestasi.

Selama ini tak pernah saya kata satu perkatah dalam isu pengiktirafan UEC kerana ia nampaknya sering diperalatkan oleh ahli-ahli politik. Pernah juga saya rasa tak kisah, walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan, lepasan UEC selama berdekad-dekad ini masih mampu survive di pelbagai sektor dalam atau luar negeri. Sehinggalah kebelakangan ini isu tersebut hangat dipertikaikan, saya terbaca banyak komen daripada sahabat kaum lain yang rasanya ada salah anggapan. Saya rasa sedih hati, dan rasa terdorong untuk mengambil sendiri sebagai contoh agar dapat memberi persektif yang lebih luas untuk kajian semua.

Jika perbezaan aliran pendidikan sesuatu yang amat membimbangkan pihak berkenaan, ingin saya mengambil Negara Switzerland sebagai contoh untuk rujuk kaji semua. Ia terbentuk daripada beberapa bangsa yang bertutur dengan bahasa berbeza misalnya German, French, Italian, Romansh , dan English sebagai bahasa asing paling utama dan luas dipergunakan. Sistem pendidikan mereka tidak tertakluk semua pada kerajaan federal, setiap zon dalam negeri menentukan rangkai pengajaran, bahasa pengajaran dan juga peperiksaan atau sistem penilaian akademik sendiri yang berbeza. Perbezaan dalam aliran pendidikan ini bukan saja tidak menjejaskan perpaduan negara, malah ia antara sistem pendidikan terbaik di dunia.

Pergaulan sesama kaum yang berbeza tidak terhad dalam sekolah. Ia wujud waktu makan di kedai mamak, beli nasi lemak dari makcik Melayu; Ia wujud waktu bekerja rapat dengan rakan-rakan sekerja dan jururawat yang berkaum lain, dan waktu merawat dan berbual-bual dengan pesakit-pesakit kaum lain. Masih saya ingat pernah sekali ada seorang pesakit Makcik yang buat susulan di klinik cium pipi saya dan kata I love you kerana merawatnya masa keadaan kritikal.

Pergaulan dan perpaduan wujud masa menghadiri latihan PACA, bahawa kami sehati untuk membentuk Malaysia yang baru. Saya berPACA untuk calon yang kaum lain, sama seperti kaum lain mengundi untuk calon sesuai tetapi kaum berbeza, asalkan hasrat kami adalah selaras, iaitu Kita mengharapkan Negara Tersayang kita semakin Makmur dan Berjaya. Perpaduan itu jelas lagi wujud waktu kita merayakan kemenangan badminton Datuk Lee Chong Wei.

Itulah namanya Perpaduan dan Keharmonian.

Iktirafkan UEC bukan untuk sekertas sijil. Iktiraflah kerana ia juga anak Malaysia.
Biar semua anak kita yang mengibarkan Jalur Gemilang diberikan peluang yang sama untuk menyumbangkan bakat kepada Negara, tidak kira alirannya.

(Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM – Editor)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.