“Tak mahu kereta nasional ke-2?Lupakan Wawasan 2020!” – PM

Oleh : Tun Dr Mahathir Mohamad

1. Saya diberitahu bahawa tidak ada siapa yang ingin lihat kereta nasional kedua. Cukuplah dengan Proton yang dikatakan gagal.

2. Kita tidak layak dan tidak mampu mengada industri otomotif. Rakyat Malaysia lebih rela beli kereta import, termasuk dari Negara Cina. Pilihan mereka ialah kereta Jepun, dan yang ada banyak duit kereta Jerman.

3. Saya masih ingat kereta Jepun sejurus selepas perang. Kata pengguna kalau kita toreh dengan kuku, kita akan lihat tin Milo. Tetapi dari kereta tin Milo inilah datang aneka model Toyota, Nissan dan Suzuki yang kita guna sekarang.

4. Demikian juga kereta Pony buatan Hyundai. Masa berlalu dan keluaran kereta Jepun dan Korea semakin baik. Demikian di pasaran hilang kereta Austin, Morris dan lain-lain dari Eropah.

5. Tentulah ini tidak akan berlaku dengan Malaysia. Kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya.

6. Kita tidak cadang membuat kereta nasional kedua oleh Kerajaan. Swasta kita sudah mampu reka bentuk, buat model tanah liat, model ujian dan mengeluar secara besar-besaran kereta bermotor. Tetapi kerana awal-awal lagi kita sudah tolak cadangan kereta nasional kedua, maka kita akan halang segala cadangan untuk mengeluar kereta bermotor oleh swasta. Sudah tentu Kerajaan tidak akan ada industri otomotif milik Kerajaan.

7. Kita akan beli kereta yang diimport. Jika kita pergi ke negara pembuat kereta seperti Jepun, Korea kita tidak akan lihat kereta yang bukan buatan negara mereka. Di Jepun kereta Jepun, di Korea kereta Korea. Kenapa?

8. Kerana mereka tidak benar kereta asing diimport. Hasilnya kualiti kereta mereka meningkat. Dan mereka mengeksport bermillion kereta mereka. Mata wang asing pun mengalir dengan banyaknya ke negara mereka.

9. Pekerja mereka mendapat kerja dan hidup mewah. Ekonomi mereka tumbuh sehingga mereka menjadi negara maju. Industri kejuruteraan mereka maju dan mampu membantu industri kejuruteraan yang lain.

10. Tetapi tidak di Malaysia. Apa juga jenis kereta, dari mana negara, berkualiti baik atau jenis tin Milo boleh masuk Malaysia. Dikeluar oleh syarikat gergasi, mereka membolot pasar kereta Malaysia sehingga tertimbuslah Proton. Akhirnya Proton dijual kepada orang asing. Tidak ada kereta nasional lagi. Tidak ada industri otomotif lagi. Pekerja, engineer, pengurus pun tidak punyai kerja lagi. Segala-galanya merosot.

11. Malaysia menjadi negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan.

12. Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat.

13. Lupakanlah sahaja Wawasan 2020.

2 Trackbacks / Pingbacks

  1. Sah: Kereta Nasional ke 3 sebelum 2020- Menteri | Buletin TTKM
  2. Volvo S9: "Harganya tak terlalu mahal, hybrid, prihatan alam sekitar!" – Mukhriz. | Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.