UEC tak inklusif, bukan produk pendidikan awam!

 Pendapat oleh :  ARIF ATAN

SIRI 1 : UEC tidak bersifat inklusif bukan produk pendidikan awam

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyebut tidak akan membuat pusingan-U untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebabnya sudah termaktub dalam Buku Harapan.

Baik. Mari kita bedah dengan teliti kandungan dan semangat 60 Janji yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Untuk Siri 1 ini, kita fokus terlebih dahulu Janji 50: Mengembalikan Wibawa Universiti Awam dan Pengajian Tinggi di halaman 134 – 136.

Pengiktirafan terhadap UEC hanya ‘terselit’ di bawah Janji 50 selain tujuh perkara lain iaitu: pendidikan universiti percuma; pemansuhan AUKU; autonomi kepada Naib Canselor universiti; penekanan kepada aliran TVET; penstrukturan semula pembayaran pinjaman PTPTN; penambahan biasiswa dan pinjaman pelajaran serta meningkatkan peluang pengajian menggunakan Kursus Atas Talian Terbuka Secara Bersepadu (MOOC).

Semua perkara itu rakyat pastinya amat setuju lantaran kena dengan KEPENTINGAN RAKYAT. Tujuh perkara di bawah Janji 50 itu jika Dr Maszlee kata tiada pusingan-U akan menggembirakan hati semua rakyat kerana kesemuanya bukan KEPENTINGAN KAUM.

Berbeza dengan pengiktirafan UEC yang satu-satunya perkara di bawah Janji 50 ‘makan’ sampai dua daripada 10 perenggan itu.

Awal-awal lagi kedudukan UEC dalam Janji 50 itu, tidak betul dan mengundang tanda tanya.

Sebabnya? UEC adalah produk sekolah PERSENDIRIAN bukan sekolah AWAM untuk PH sebagai kerajaan selamba bertegas bercakap tentang usaha mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi.

Kembali kepada janji PH untuk mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi, adakah tanpa mengiktiraf UEC yang kurikulum dan latar budayanya jelas kecinaan itu akan menjejaskan wibawa IPTA?

Munculnya UEC dalam Janji 50 itu pun sudah bercanggah dengan ayat pertama mukadimah tersebut; “..dalam usaha membentuk masyarakat yang INKLUSIF.”

Terang lagi bersuluh, UEC yang lahir di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) adalah bersifat EKSKLUSIF kepada kelompok kaum itu bahkan eksklusif kepada kelas menengah (M40) ke atas!

Ciri eksklusif itulah yang pertubuhan-pertubuhan Cina Dong Jiao Zong pertahankan yang membawa gagalnya usaha kerajaan untuk mewujudkan sekolah satu aliran.

Berbeza dengan sekolah aliran kebangsaan yang jauh lebih menepati usaha membentuk masyarakat yang inklusif kerana membuka ruang kepada darjah integrasi sosial lebih tinggi juga mampu dimasuki anak-anak Malaysia walau dari golongan 40 peratus isi rumah berpendapatan terendah (B40).

Apabila UEC mahu juga kerajaan PH iktiraf begitu tergesa-gesa sebelum akhir tahun ini kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, hal itu juga tidak adil kepada, “Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa universiti dan institusi pengajian tinggi awam mestilah PERCUMA untuk semua…”.

Sebabnya, TIDAK ADIL kepada ramai lagi pemegang SPM dan STPM termasuk anak Cina apabila pelajar UEC yang datang dari keluarga kaya turut sama menikmati pendidikan tinggi percuma yang dikelolakan oleh kerajaan.

Sekarang, tanpa UEC diiktiraf pun persaingan sesama ratusan ribu pemegang SPM dan STPM setiap tahun untuk masuk IPTA begitu sengit.

Apalagi jika kerajaan PH mengiktiraf UEC. Sekali lagi tidak adil buat seluruh anak Malaysia di aliran persekolahan kebangsaan berebut dengan lepasan sekolah PERSENDIRIAN CINA ini.

Jadi, bagaimana Dr Maszlee boleh memberi dalih tiada ‘flip-flop’ dalam janji yang ditawarkan dalam ‘kitab’ Buku Harapan sedangkan kemunculan UEC dalam Janji 50 itu pun saling berlanggar semangatnya belum lagi dengan janji-janji lain?

Jelas, UEC tidak inklusif dan bukannya produk pendidikan awam tapi kerajaan pula mahu iktiraf supaya sijilnya laku masuk ke universiti awam dan perkhidmatan awam? Ironi, bukan?

Mengiktiraf UEC tidak akan mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi seperti yang dihasratkan seluruh anak Malaysia yang taat setianya hanya kepada tanah air ini.

Kemunculan UEC dengan status yang tidak diiktiraf sebagai pendidikan kebangsaan itu tidak konsisten semangatnya dengan perkara-perkara lain hanya dalam Janji 50. Belum lagi dengan sekurang-kurangnya enam janji utama PH lagi.

Malaysia Baru mestilah menjunjung tinggi kepentingan nasional dengan mengabaikan saja kepentingan perkauman. Jika mana-mana mahu terus kekal dengan nilai perkauman, tidak perlulah diinstitusikan seperti mengiktiraf UEC.

Sepatutnya, Malaysia Baru mengajak rakyat fokus kepada usaha pendidikan di bawah satu bumbung dengan merombak dan memperbaiki sistem pendidikan kebangsaan bukan membajasuburkan pendidikan berteraskan perkauman.

Rakyat sudah cukup muak dengan politik tawar-menawar perkauman yang menekan kerajaan Perikatan kemudiannya BN dan blok pembangkang setiap kali menjelang pilihan raya sejak 60 tahun lalu bahkan sejak zaman penjajah lagi bermula dengan penolakan Laporan Barnes 1951 sehingga kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. Cukuplah.

Selamatkan Malaysia Baru daripada susupan halus ancaman rasisme atas topeng meraikan kepelbagaian.

#TolakUEC
#UtamakanPendidikanKebangsaan

*Siri selepas ini tentang kupasan bagaimana isu UEC saling bercanggah dengan hasrat 6 Janji PH yang lain.

(Arif Atan merupakan wartawan portal Malaysia Dateline dan merupakan ahli Amanah Wilayah Persekutuan. Artikel ini merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM – Editor)



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version