“SST: Guan Eng ingat dia pembangkang lagi ke?”

(Gambar kredit KLPOS)

ISU SST: KENYATAAN MOF MIRIP PH MASIH PEMBANGKANG

Oleh :Shahril Sufian Hamdan

1) Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam telah mengeluarkan suatu siaran media yang mendesak agar UMNO dan mantan Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar menjelaskan bagaimana cukai jualan dan perkhidmatan (SST) membebankan rakyat berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Logik beliau, kutipan SST hanyalah berjumlah RM21 bilion berbanding GST berjumlah RM44 bilion.

2) Siaran media dua mukasurat ini jelas berbaur politik dan sengaja dikeluarkan bertujuan untuk menyerang bekas Perdana Menteri. Ianya bukan sahaja sesuatu yang janggal untuk dikeluarkan oleh kerajaan malah siaran itu juga cuba untuk memperkotak-katikkan pemikiran rakyat.

3) Lim Guan Eng memberi contoh tentang penjualan air tin. Contoh yang diberikan ini bukan sahaja tidak memberi gambaran yang jelas, ianya juga mengelirukan malah dibuat secara sambil lewa.

bodoh.JPG

4) Lim Guan Eng langsung tidak menyatakan bagaimana SST ini merupakan rejim cukai yang bersifat embedded. Cukai ini akan dibawa sehingga ke peringkat akhir iaitu pengguna, namun jumlah cukai ini tidak dinyatakan di dalam resit pembelian serta tersembunyi dari pengetahuan pengguna.

5) Kadar 0% GST bermula Jun lalu tidak terbukti telah menurunkan harga barangan. Ini bermakna, pengenalan SST pada bulan September nanti hanya akan menambah bebanan cukai kepada harga ketika ini seterusnya akan menaikkan harga barang.

6) Dalam kenyataan saya sebelum ini, saya juga telah memberi contoh bagaimana harga sesuatu barangan itu telah dinaikkan terlebih dahulu sebelum GST dikadar sifarkan dan penurunan harga yang berlaku selepas GST 0% hanyalah mengembalikan harga barangan tersebut kepada harga asal. Berdasarkan situasi ini, kembalinya SST nanti pastinya akan menaikkan harga barang.

7) Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution juga telah mengakui kadar 0% GST hanya memberi kesan yang sangat kecil kepada harga barangan. Malah beliau juga turut menyatakan terdapat peniaga yang menaikkan harga jualan selepas GST dikadar sifarkan. Sekali lagi, pertambahan cukai SST hanya akan menaikkan harga barang.

8] Pakatan Harapan sebelum ini telah menyalahkan GST yang dikuatkuasakan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebagai punca kenaikan harga barang. Namun, selepas kadar 0% dilaksanakan, ternyata sikap peniaga itu sendiri adalah punca kenaikan harga barang.

9) Berdasarkan situasi yang saya nyatakan di atas, kita menjangkakan pengenalan SST hanya akan menaikkan harga barang.

10) Sebagai kerajaan memerintah, Lim Guan Eng sepatutnya meyakinkan rakyat bahawa pengenalan semula cukai SST tidak akan membebankan rakyat malah akan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat. Namun, Lim Guan Eng memilih untuk membuat siaran media berbaur politk.

11) Lebih melucukan, Lim Guan Eng pula yang meminta pembangkang untuk memberi penjelasan kepada rakyat. Mungkin Lim Guan Eng masih baharu dan belum menyedari kedudukannya sebagai menteri persekutuan dan telah terbiasa dengan sifatnya sebagai pembangkang.

(Shahril Sufian Hamdan merupakan Naib Ketua Pemuda Umno. Artikel ini merupakan pandangan beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor) 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.