
Pendapat oleh : Dr. Kamarul.
Di sana-sini sudah mula kedengaran ketidakpuasan hati beberapa pihak di dalam Pakatan Harapan, khususnya parti-parti yang memenangi kerusi terbanyak di Parlimen dalam PRU 14, mengenai dakwaan ketidakadilan agihan jawatan kerajaan yang diberi kepada mereka..
Paling tidak memuaskan hati pihak-pihak ini nampaknya adalah dakwaan bahawa PPBM diberi agihan jawatan kerajaan yang kononnya terlalu berlebihan berbanding kekuatan sebenar parti itu yang hanya memenangi sejumlah 13 kerusi Parlimen sahaja dalam PRU 14.
Kita boleh bayangkan sendiri bila 12 daripada 13 Ahli Parlimen PPBM ini semuanya diberi jawatan tinggi dalam kerajaan, baik di Pusat atau di Negeri, membabitkan 1 jawatan Perdana Menteri, 2 jawatan Menteri Besar, 5 jawatan Menteri dan 4 jawatan Timbalan Menteri.
Hanya Ahli Parlimen P093 Sungai Besar, YB Tuan Muslimin Bin Yahaya, yang belum ada sebarang jawatan dalam kerajaan, itu pun mungkin kerana beliau sebelum ini dihebohkan sebagai bekas Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Yang lain-lain semuanya ada jawatan tinggi dalam kerajaan, iaitu:
(1) Ahli Parlimen P004 Langkawi, YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, yang merupakan Perdana Menteri.
(2) Ahli Parlimen P005 Jerlun dan ADUN N06 Jitra, YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Bin Tun Dr. Mahathir, yang merupakan Menteri Besar Kedah.
(3) Ahli Parlimen P006 Kubang Pasu dan ADUN N15 Anak Bukit, YB Dato’ Haji Amiruddin Bin Hamzah, yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan.
(4) Ahli Parlimen P063 Tambun dan ADUN N47 Chenderiang, YAB Tuan Ahmad Faizal Bin Azumu, yang merupakan Menteri Besar Perak.
(5) Ahli Parlimen P119 Titiwangsa, YB Puan Rina Binti Mohd Harun, yang merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar.
(6) Ahli Parlimen P129 Kuala Pilah, YB Tuan Eddin Syazlee Bin Shith, yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia.
(7) Ahli Parlimen P135 Alor Gajah, YB Tuan Mohd Redzuan Yusof, yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan.
(8) Ahli Parlimen P143 Pagoh dan ADUN N09 Gambir, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin, yang merupakan Menteri Dalam Negeri.
(9) Ahli Parlimen P146 Muar, YB Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman, yang merupakan Menteri Belia dan Sukan.
(10) Ahli Parlimen P149 Sri Gading, YB Datuk Dr. Shahruddin Bin Md Salleh, yang merupakan Timbalan Menteri Wilayah.
(11) Ahli Parlimen P151 Simpang Renggam, YB Dr. Maszlee Bin Malik, yang merupakan Menteri Pendidikan.
(12) Ahli Parlimen P165 Tanjung Piai, YB Dr. Md Farid Bin Md Rafik, yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial).
Tidak cukup dengan itu, dua lagi calon Parlimen PPBM yang kalah dalam PRU 14 diberi pula jawatan Senator dan jawatan Timbalan Menteri, iaitu:
(1) Calon Parlimen P026 Ketereh, YB Senator Dr Mohd Radzi Bin Md Jidin, yang merupakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
(2) Calon Parlimen P042 Tasek Gelugor, YB Senator Tuan Marzuki Bin Yahya, yang merupakan Timbalan Menteri Luar Negeri.
Lantas timbullah pertanyaan, mengapakah keadaan ini boleh berlaku: Apakah Tun Dr. Mahathir yang hebat atau Pakatan Harapan yang silap?
Tidak dinafikan bahawa Tun Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang hebat. Dalam menghadapi PRU 14, ketokohan beliau disebut oleh banyak pihak sebagai punca utama Pakatan Harapan mampu menang besar.
Selepas PRU 14 pula, perlantikan Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan selain Datuk Seri Dr Wan Azizah selaku Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Azmin Ali selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi menggembirakan DAP dan PKR.
Begitupun, tidak dinafikan juga bahawa Pakatan Harapan turut membuat silapnya sendiri, khususnya kerana Perjanjian Pakatan Harapan tidak membutirkan kaedah pemilihan atau agihan jawatan kerajaan selain Perdana Menteri (dan Menteri Besar).
Untuk jawatan Perdana Menteri (dan Menteri Besar), Perjanjian Pakatan Harapan menyatakan ia hendaklah dipilih “berasaskan prinsip konsensus iaitu setiap parti di dalam Pakatan Harapan perlulah bersetuju sebulat suara dengan keputusan itu”.
Bagaimanapun, untuk jawatan-jawatan seperti Menteri dan Timbalan Menteri tidak pula dinyatakan oleh Perjanjian Pakatan Harapan mengenai kaedah pemilihan yang harus digunakan untuk jawatan itu mahupun mengenai asas agihan jawatan itu.
Perjanjian Pakatan Harapan sekadar menyebut mengenai “badan pembuat keputusan tertinggi Pakatan Harapan adalah Majlis Presiden” yang “bertanggungjawab menetapkan haluan dan memutuskan perkara-perkara besar berbentuk dasar dan strategi bersama”.
Lalu berlakulah apa yang berlaku: “Itu adalah prerogatif Tun Dr. Mahathir”.
Leave a Reply