MASZLEE MALIK, BAPA KASUT HITAM NEGARA?

Oleh : Dato’ Dr Shah Reza Abdullah

Isu ini kecil tetapi penting untuk difahami.

Mengapa dulu kita tidak pernah mendengar pakar pendidikan membantah penggunaan kasut berwarna putih ke sekolah? Sejak sekian lama amalan ini diteruskan.

Hari ini ada arahan untuk menggunakan kasut berwarna hitam pula. Alasannya kasut putih cepat nampak kotor.

Isu ini kecil tetapi penting kerana ada nilai pendidikan yabg besar di sebalik amalan kasut sekolah berwarna putih. Ini adalah falsafah di dalam pendidikan khususnya untuk anak anak pelajar di sekolah rendah.

Warna ada kaitannya dengan soal amalan mendidik tentang disiplin dan menjaga kebersihan. Dan bagaimana amalan kebersihan itu dapat dipantau dan dilihat? Kerana itu ada hikmahnya warna putih digunakan kerana ia adalah mekanisme pemantau kebersihan yang terbaik.

Adakah ia menyusahkan bila berkasut putih? Memang menyusahkan. Kerana pendidikan itu sendiri adalah suatu proses yang sukar dan susah. Sebab itu di dalam Al Quran sendiri penuh dengan firman firman Allah swt yang menyeru manusia membuat kebaikan. Bukankah seruan dan peringatan itu sendiri bukti bahawa melaksanakan pendidikan adalah sesuatu yang menyusahkan tetapi wajib dilakukan? Walaupun susah tetapi kesusahan itu berbaloi apabila anak anak berjaya dalam kehidupan.

Bila dari kecil diajarkan tentang kasut sekolah warna putih memerlukan kawalan diri, disiplin diri, kebersihan dalam bentuk amalan dan sentiasa berhati hati, maka anak anak membesar melalui proses pendidikan itu.

Mereka bukan sekadar mendengar pengajaran cikgu apa itu nilai kebersihan tetapi dengan kasut sekolah yang berwarna putih itulah mereka amalkan nilai kebersihan. Maka siapakah “guru kebersihan” mereka ? Kasut sekolah yang berwarna putih itulah “guru kebersihan” mereka .

Apa perlunya kasut hitam? Apa bezanya dengan kasut berwarna putih? Putih dan hitam tidak penting, ia sekadar warna sahaja. Tidak ada yang lebih tinggi kedudukanya dari yang satu lagi. Tetapi adakah warna hitam boleh menjadi “guru kebersihan” kepada pelajar?

Jawabnya tentulah tidak.

Dato’ Dr Shah Reza Abdullah
Mantan Atache Pendidikan
Putrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.