PTPTN :Blacklist adalah serangan ke atas rakyat gol B40 dan M40!

Oleh : Gandipan Nantha Gopalan

Berkaitan dengan laporan Malay Mail yang dikeluarkan pada 23 Julai 2018 berkaitan PTPTN oleh Timb Menteri Pendidikan Malaysia, Teo Nie Ching,

Senarai hitam dan bankrap adalah serangan terhadap kelas pekerja di negara ini. Kebanyakan pelajar yang mempunyai tunggakan tidak menjelaskan pembayaran kerana jumlah pembayaran bulanan yang tinggi berbanding dengan gaji yang rendah. Ini membebankan untuk mereka menjalankan kehidupan harian. Kerajaan baru mengambil tempoh 5 tahun untuk menyelaraskan dan meningkatkan gaji minima kepada RM1500, kenapa Timbalan Menteri Pendidikan tidak mengendahkan pendapatan rakyat tetapi masih bertengkar untuk memufliskan seseorang hanya disebabkan hutang pembelajaran.

Kenyataan Menteri yang sangat berfokus kepada pembayaran balik PTPTN, sebenarnya tidak memberi satu solusi yang efektif dalam isu aksesibiliti rakyat kepada pendidikan tertiari. Senarai hitamkan dan senaraikan nama seseorang sebagai bankrap hanya sebab seorang graduan tidak dapat bayar balik PTPTN adalah sebenarnya sebuah serangan terhadap rakyat golongan B40 dan M40.

Masalah hari ini dalam sistem pendidikan adalah kos yang sangat tinggi oleh universiti-universiti swasta yang menyebabkan rakyat berhutang dengan institusi kewangan yang seterusnya menjadi bebanan mereka sampai hutang mereka dibayar. Kementerian Pendidikan seharusnya menganalisa dan mencari punca sesebuah masalah, bukan mencari jalan keluar yang senang dalam isu kos pendidikan tertiari.

Kerajaan baru di Malaysia “Baru” sepatutnya memberi alternatif yang progresif iaitu menuju ke pendidikan percuma yang manfaatkan rakyat terbanyak. Menurut laporan OECD, melabur RM1 dalam pendidikan tinggi menyumbang RM6 balik kepada negara dalam bentuk cukai. Hutang 1 Trillion bukanlah satu alasan untuk tidak laksanakan polisi-polisi yang menguntungkan rakyat.

Pendidikan bukan satu perniagaan tetapi adalah salah satu hak asasi manusia.Perubahan yang sebenar dalam pendidikan hanya berlaku kalau seorang rakyat biasa dapat melanjutkan pendidikan tanpa kebimbangan tentang kos-kos berkaitannya.Tidak wajar kalau sebuah kerajaan hanya nak fokus dalam pembayaran hutang balik dan senarai hitamkan rakyat tetapi tidak ambil apa-apa tindakan dalam mengkurangkan kebergantungan pelajar-pelajar terhadap pihak swasta untuk lanjutkan pelajaran ke pihak tertiari.

(Gandipan adalah AJK Pusat Pemuda PSM. Artikel ini adalah pandangan beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM – editor)

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.