Sah! Teh tarik & roti canai kena SST!

KEDAI makan yang memperoleh pendapatan lebih RM1,300 sehari perlu mengenakan cukai 6% di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang baru, kata sebuah kumpulan industri, lapor TMI.

Ini bermakna, makanan kesukaan rakyat Malaysia – roti canai dan teh tarik – akan dikenakan cukai.

Ini kerana “restoran mamak” berada di bawah kategori penyedia perkhidmatan dalam sistem SST baru yang sepatutnya bermula pada 1 September.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberitahu The Malaysian Insight, penyedia perkhidmatan yang memperoleh hasil pendapatan sebanyak RM500,000 harus mengenakan cukai tersebut.

Justeru, semua gerai dan restoran mamak yang berpendapatan mencecah RM500,000 dikehendaki mengenakan cukai SST, kata Presiden Presma Ayub Khan Muhamad Yakub.

Semua kedai mamak di bawah Presma perlu mengenakan cukai ini kerana kami termasuk dalam had itu. Malah beberapa gerai mamak di kawasan terbuka pun terpaksa kenakan cukai SST kerana ada sesetengahnya boleh dapat lebih daripada RM1,300 sehari,” -Ayub

Jumlah yang diperolehi dari jualan harian itu kata Ayub membawa jumlah lebih daripada RM500,000 setahun.

Semasa sistem SST yang lama, had bagi penyedia perkhidmatan seperti restoran ditetapkan pada RM3 juta, dimana semua restoran mamak terkecuali sebelum ini.

Kami akan hantar memorandum kepada kerajaan minggu ini, supaya kedai mamak dikecualikan daripada SST baru. Sebab 80% daripada pelanggan kami berpendapatan rendah.Biarlah restoran di hotel-hotel dan restoran mewah yang kenakan cukai SST ini, sebab yang makan di sana orang-orang kaya.” -Ayub.

Menurut Jabatan Kastam, restoran tersenarai sebagai penyedia perkhidmatan yang dikehendaki mengenakan cukai SST jika jualannya melebihi RM 500k setahun ( Rm1388 sehari)

Perkhidmatan lain yang akan mengenakan cukai ini termasuk guaman, perakaunan, juru ukur, senibina, valuasi, kejuruteraan, televisyen kabel, perkhidmatan telefon mudah alih, pembaikan kereta, hotel dan insurans.

Selain itu, operator termasuk penjaja dan food truck juga tertakluk dalam cukai SST.

Selain daripada kadar rata 6% bagi perkhidmatan, kadar SST sama ada 5% atau 10% akan dikenakan ke atas pengilang dan pengimport bagi barangan tertentu.

Kerajaan telah berkata kira-kira 68,000 perniagaan akan mengenakan SST, berbanding 400,000 yang mengenakan GST.

Rang undang-undang SST dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada minggu depan, manakala sistem cukai itu dijadualkan bermula pada 1 September.

Ayub berkata ketika zaman GST, hampir kesemua ahli Presma mengenakan cukai yang tidak popular itu.

Namun, 60% daripada mereka membuat keputusan untuk menyerap cukai sebagai operasi daripada mengenakannnya kepada pengguna.

Bagi yang mampu, seperti yang duduk di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, mereka serap cukai dan kurangkan margin keuntungan mereka.Tetapi orang yang duduk di bandar, yang kena bayar sewa mahal, tak mampu mampu nak buat macam itu, dan terpaksa kenakan cukai kepada pelanggan. Jadi, perkara yang sama akan berlaku pada September ini jika kerajaan tetap mahu meneruskan rancangannya.- Ayub.

Presma mempunyai 4,000 ahli di seluruh negara.

Kos hidup naik atau turun bila SST diperkenalkan?

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution menyatakan GST (kini kadar sifar), atau SST (yang akan diperkenalkan semula September ini), hanyalah salah satu faktor yang membawa kepada kenaikan kos sara hidup disebalik enam faktor lain.

“Kos sara hidup ni kan, bukan hanya melibatkan makanan. Dia melibatkan (kos) perumahan, pendidikan, pengangkutan, bil utiliti, makanan, kesihatan. Dia ada sekurang-kurangnya enam bahagian yang sebenarnya melonjakkan kos kehidupan. Yang kita cakap tadi (mengenai) SST, GST tadi baru satu bahagian” – Dato’ Saifuddin Nasution

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara yang dilakukan oleh portal KiniTV.

Setakat ini, tiada penurunan ketara dalam harga barang atau makanan ketika GST berkadar sifar, malah berlaku kenaikan harga makanan di restoran mamak. Yang turun harga cuma tomato. – TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.