Kuala Lumpur, 28 julai: “Lima jam tunggu giliran!” . Seorang calon yang menghadiri temuduga untuk program PHD MyBrain15 pada April 2018 lepas, kecewa apabila mendapat tahu program tersebut ditangguhkan kerajaan baru.
“Lima jam saya tunggu giliran untuk temuduga yang diadakan di Universiti Malaya 3 bulan lepas, sebelum pilihanraya. Tunggu sampai sekarang, tiada langsung pengumuman rasmi!”
Beliau yang enggan dinamakan, meluahkan kekecewaannya dan bertanyakan sampai bilakah beliau harus menunggu jawapan.
“Bukan setakat tunggu giliran lama seperti saya, ada juga yang datang dari luar, bergegas datang temuduga di KL. Sekurang-kurangnya kementerian pendidikan berilah keputusan temuduga tersebut. Kenapa buat kita tertunggu-tunggu? Nak tunggu sampai bila? Sampai hutang negara selesaikah?”
Beliau turut menafikan tuduhan yang mengatakan MyBrain15 cuma untuk tahun 2015 sahaja.
“MyBrain15 itu bukan bermaksud untuk 2015. 15 itu sebenarnya adalah perancangan 15 tahun. Malah pada tahun 2016 lepas, ramai juga yang dapat biasiswa MyBrain15 tersebut. Walaubagaimanapun, pada 2017 memang tidak dibuka. Tetapi awal 2018 dibuka kembali kerana ia memang diperuntukkan dalam Bajet 2018”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu status yang tular dari pengguna facebook yang yang mendakwa MyBrain15 itu cuma untuk tahun 2015. TTKM mendapati status tersebut telah dipadamkan setelah dikritik netizen kerana memberikan maklumat yang tidak benar.
Program MyBrain15, merupakan skim pembiayaan pendididikan oleh Kementerian Pendidikan untuk Sarjana (Master) dan Kedoktoran (PHD). Program tersebut ditangguhkan apabila menteri pendidikan Dr Maszlee Malik berkata demikian dalam satu program TV1 “Bicara Khas bersama menteri” pada 25 Julai lepas dengan memberikan alasan kerajaan sebelum ini meninggalkan hutang yang begitu banyak.
“MyBrain ia satu program yang bagus. Untuk melahirkan ramai pemgegang PHD, yang kita sasarkan, 60 000 (pemegang PHD). Cuma keadaan ekonomi semasa dan kekangan kewangan di KPM dan juga dinegaralah, yang terima kasih kepada kerajaan lamalah, yang tinggalkan hutang yang begitu banyak untuk rakyat dan juga kami tidak boleh berikan biasiswa kepada orang kerana kerajaan lama punya kerja. Dan kita telah mengambil keputusan bahawa kita terpaksa tangguhkan dahulu. Tangguhkan sehingga keadaan ekonomi pulih. Insya Allah apabila kita ada duit lebih, kita akan kembali kepada program tersebut.” – Dr Maszlee Malik
Melalui carian di laman web KPM, TTKM mendapati program MyBrain ini sudah pun diberikan peruntukan dalam bajet 2018 sebanyak RM90 juta. Ia mensasarkan 10 600 orang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran.

Peruntukan MyBrain ditangguhkan, peruntukan kepada Sekolah Persendirian Cina diberikan?
Sementara itu, pada perkembangan yang lain, beberapa wakil rakyat DAP mengkritik Dr Maszlee kerana tidak memberikan peruntukan kepada Sekolah Persendirian Cina. Pada hari yang sama, Maszlee kemudian mengesahkan peruntukan akan disalurkan kepada sekolah persendirian Cina.
Pengesahan itu dibuat melalui satu kenyataan melalui WhatsApp kepada media Cina dalam bahasa Cina, tiada langsung kenyataan dalam BM ataupun BI. Perkara ini dikritik oleh MP Ayer Hitam, Wee Ka Siong.
“Tindakan sebegini tidak selaras dengan polisi untuk memartabatkan Bahasa Kebangsanan, malahan ianya juga disifatkan sebagai tidak menghormati Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa rasmi kerajaan. Yang peliknya kenapa YB Menteri Pendidikan tidak berani membuat kenyataan rasmi dalam Bahasa Malaysia atau memperbetulkan jawapan di parlimen melalui kaedah terbaik iaitu mengemukakan Pernyataan Menteri “Minister’s Statement” dalam Bahasa Malaysia di Dewan Rakyat?” – Wee Ka Siong.