Mon. May 27th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

“PKR Selangor amal kronisme!” – Dedah Syed Badli, Timbalan SUA AMK Pusat

4 min read

TUDUHAN TIDAK BERASAS DAN BERNIAT JAHAT

Oleh : SYED BADLI SHAH B. SYED OSMAN

Tuduhan liar yang dilemparkan kepada saya kononnya saya meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor kerana tidak terpilih sebagai ahli majlis kerajaan tempatan, adalah tidak berasas.

Dakwaan kononnya saya tidak menepati kriteria seperti latar belakang pendidikan, taraf jawatan, pengalaman serta kepakaran adalah tuduhan yang sangat dangkal.

Saya adalah bekas penjawat awam bertaraf pegawai di sebuah perbadanan. Saya melepaskan jawatan tersebut sebelum pilihanraya umum yang lalu untuk memberikan tumpuan penuh kepada tugas-tugas sukarelawan pilihanraya.

Saya juga pernah bertugas di IbuPejabat Keadilan sebagai Setiausaha Kerja Pusat selama hampir 5 tahun.

Menginsafi selama 14 tahun perjalanan perjuangan saya bersama Parti Keadilan Rakyat, tentunya habuan jawatan lantikan politik bukanlah matlamat saya.

Saya telah melalui zaman sukar ketika Keadilan masih berjuang dijalanan sehinggalah membentuk kerajaan di beberapa buah negeri hasil gabungan pembangkang dan kini menduduki kerajaan pusat.

Sepanjang tempoh itu saya tidak pernah meminta atau melobi sebarang jawatan lantikan politik kerana jawatan adalah amanah yang disertai dengan rasa tanggungjawab kepada rakyat.

Tentunya sebagai sebuah kerajaan, setiap jawatan lantikan politik perlu diteliti dan melalui penilaian beserta merit kriteria tertentu.

Bukan sekadar ahli majlis, penilaian untuk meletakkan calon sesuai bagi sesebuah jawatan lantikan politik meliputi juga GLC, ketua-ketua kampung, penggerak belia tempatan dan banyak lagi.

Penilaian inilah yang sangat diragui ketelusannya oleh Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Selangor.

Sehingga ke hari ini, mereka yang menjawat jawatan penting dalam GLC di Selangor tidak pernah didedahkan atas kriteria apa mereka dilantik, siapa mereka, apa latar belakang mereka dan apa kaitan mereka dengan pimpinan tertentu.

Saya mengambil CONTOH beberapa individu yang dilantik menjawat jawatan penting dalam Majlis Sukan Negeri Selangor. Individu-individu tersebut dikaitkan sebagai orang kuat seorang pemimpin kanan negeri.

Perlantikan ke jawatan tersebut tidak pernah dibincangkan di peringkat ketua-ketua cabang mahupun ke peringkat Biro Politik Pusat. Jauh sekali menerusi proses penilaian merit kepartian.

Justeru atas penilaian apakah individu-individu terbabit boleh dilantik menduduki agensi kerajaan.

Bukankah akhirnya perkara ini boleh disebut sebagai terdapat unsur KRONISME.

Begitu juga dengan perlantikan Penggerak Belia Tempatan (PeBT). Angkatan Muda Keadilan Selangor selaku sayap rasmi parti tidak pernah diberi peluang untuk menamakan calon-calon PeBT.

Sepanjang saya bertugas sebagai Setiausaha, kebiasaannya AMK Selangor hanya akan dimaklumkan senarai oleh pejabat exco terbabit selepas perlantikan dibuat.

Bagaimana mereka dilantik dan diatas kriteria apa perlantikan mereka, tidak pernah dimaklumkan.

Samalah juga halnya dengan perlantikan ahli majlis kerajaan tempatan yang sedang berlangsung. Terdapat individu-individu yang dikaitkan secara terus dengan beberapa pimpinan utama negeri, diangkat ke jawatan tersebut.

MISALNYA seorang individu yang telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis pada minggu lalu dikatakan tiada langsung jawatan dalam struktur cabang, dan hanya bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang menteri.

Begitu juga seorang lagi individu yang menjawat jawatan sebagai pegawai khas kepada seorang menteri, turut diberikan lagi habuan sebagai ahli majlis kerajaan tempatan.

Inilah contoh KRONISME yang diamalkan segelintir pemimpin.

Lebih serius lagi terdapat dikalangan ketua cabang yang tidak dipanggil langsung oleh panel pemilihan ahli majlis untuk memberikan pandangan kerana ketua cabang tersebut dikategorikan sebagai puak penentang.

Mereka menyebut bahawa taraf pendidikan sangat mustahak. Namun dikesali ada diantara ahli majlis yang dipilih kali ini hanya berkelulusan SPM sahaja.

Malah ada yang hanya sekadar tamat tingkatan 3. Menjadi ahli Keadilan kurang setahun dan tidak berjawatan dalam struktur cabang. Turut diangkat sebagai ahli majlis.

Manakala beberapa pemimpin di peringkat cabang termasuk sejumlah ketua-ketua AMK cabang, turut tidak dilantik ke jawatan itu dengan pelbagai alasan.

Terdapat juga individu yang mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin negeri tertentu, turut diberikan habuan sebagai ahli majlis.

Individu tersebut kabarnya mempunyai pertalian sebagai “abang ipar” kepada seorang pimpinan utama Keadilan negeri, telah disambung perkhidmatannya sebagai ahli majlis dan dipindahkan ke majlis lain.

Zon baru dibawah jagaan individu terbabit pula dikatakan terdapat sebuah projek naik taraf bernilai 6juta ringgit.

JIKA BENAR DAKWAAN INI, bermaksud NEPOTISME berkepentingan sedang diamalkan.

Beberapa individu yang berkait rapat dengan pemimpin sama turut dilantik sebagai Ahli Majlis walaupun mereka dikatakan hanya mendaftar sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat kurang setahun lalu.

Jadi kriteria penilaian apakah yang diguna pakai sehingga membolehkan individu ini dilantik walaupun tempoh keahliannya tidak sampai setahun.

Wadah perjuangan REFORMASI bermaksud memerintah secara adil, telus dan saksama. Bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga kepada anggota parti.

Adil dan telus bukan sekadar laungan. Malah meliputi juga tindakan.

Diyakini bahawa prinsip REFORMASI ini gagal diamalkan segelintir pemimpin di peringkat negeri, membuatkan saya bertindak meletakkan jawatan. Namun jawatan saya sebagai Timbalan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Pusat masih disandang.

Kronisme dan nepotisme adalah wabak yang membarah dan akhirnya boleh membawa kepada rebahnya sebuah kerajaan.

Diatas kesedaran itu saya mengambil langkah tidak popular dengan menegur amalan ini dari terus merosakkan perjuangan.

Keadilan perlu menjadi sebuah parti yang kuat dengan mengamalkan prinsip REFORMASI supaya Kerajaan Pakatan Harapan terus kukuh.

Sekian.

SYED BADLI SHAH B. SYED OSMAN
Tim. Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Pusat
MANTAN Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Negeri

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: