“Menteri, sila mohon maaf! MBM bukan macai politik!” – Majlis Belia Malaysia

KENYATAAN MEDIA

MBM MEMBANTAH DAKWAAN DAN MENGGESA PERMOHONAN MAAF YB
MENTERI BELIA TERHADAP KENYATAAN MBM SEBAGAI “MACAI POLITIK’

MBM memandang berat kenyataan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq
Syed Abdul Rahman dalam sesi Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2018 (Khamis) yang
menyatakan MBM dan beberapa pertubuhan belia lain adalah ‘macai politik’.
Istilah ‘macai politik’ tidak ada di dalam dalam Kamus Dewan Bahasa dan
Pustaka. Namun dalam bahasa pasar orang Cina ‘Ma’ bermaksud kuda, ‘cai’
bermaksud si kecil, si muda atau binatang yang muda, ia mempunyai konotasi
yang negatif terhadap pelaku sebagai ‘budak yang diperkudakan’ atau lebih tepat
orang suruhan politik. Adalah tidak wajar perkataan tersebut diucapkan di
dalam Dewan yang mulia tanpa memberi pengertian yang jelas kerana ia
mengundang persepsi yang negatif.
Pihak MBM ingin memohon pihak YB Menteri menjelaskan tentang maksud
sebenar ‘macai politik’ dan memohon mengemukakan bukti jelas badan
gabungan MBM yang ditarik balik bantuan kerana mengkritik Kerajaan.
Dengan penuh kesedaran MBM dengan ini membuat bantahan sekeras-kerasnya
atas kenyataan yang di buat oleh YB Menteri atas faktor berikut :
MBM berpandangan YB Menteri tersilap dan terburu-buru melempar sangkaan
terhadap MBM dan pertubuhan belia sebagai ‘macai politik’. Realitinya
pertubuhan belia di negara ini bukanlah didaftarkan sebagai sayap parti politik
dan bukanlah hanya dianggotai oleh belia-belia yang terlibat dalam parti politik
sahaja.
MBM ingin menegaskan ada juga pimpinan dan ahli yang tidak menyertai mana-mana
parti politik malah tidak berminat menyertai parti politik tetapi mereka
bersama di dalam MBM dan persatuan belia yang rasmi ini sebagai wadah dan
wahana meningkatkan potensi diri dan berbakti kepada masyarakat selagi
usia belia.
MBM ditubuhkan dan didaftarkan bukanlah sebagai sayap politik mana-mana
parti atau individu tertentu. Malah kewujudan MBM pada tahun 1948
mendahului sebahagian besar parti-parti politik yang ditubuhkan di Malaysia
hatta Kementerian Belia Dan Sukan sendiri. Sejarah kewujudan MBM sebelum
Tanah Melayu dan Malaysia mencapai kemerdekaan banyak menyumbang
kepada semangat anak muda untuk mencapai kemerdekaan dan mengisi
kemerdekaan tersebut.
MBM sebagai badan induk pertubuhan belia dan mewakili suara belia dalam
negara sentiasa menyatakan pandangan dan kritikan membina dan
bertanggungjawab dalam hal ehwal yang melibatkan belia dan pertubuhan
belia, namun yang berbeza adalah pendekatan MBM dalam menangani sesuatu
isu dengan cara dan kaedah yang dirasakan sesuai pada masa-masa tertentu.
Sebagaimana MBM bertindak sebagai ‘Rakan Pembangunan’ yang dilihat mesra
bersama kerajaan begitu jugalah MBM mengkritik dalam medium dan
saluran rasmi hatta pernah ‘turun ke jalanan’ menentang dasar dan polisi
kerajaan yang tidak memihak kepada rakyat. Kuasa pendesak belia terkuat
bukan hanya dilihat bila turun berdemonstrasi tetapi juga idea dan pandangan
belia disuarakan membuka mata pelbagai pihak.
Sekalipun terdapat ahli dan pimpinan MBM mahu pun badan gabungannya yang
terlibat aktif dengan parti politik sama ada di peringkat kerajaan sekarang
(Pakatan Harapan) mahupun pembangkang, bukanlah bermakna bahawa
keseluruhan persatuan belia tersebut adalah ‘macai politik’ parti tertentu.
Malahan MBM menjadi medium terbaik menyatukan pandangan dan fahaman
politik yang pelbagai ini demi kepentingan belia dan pergerakan belia
seluruhnya dan tidak menghalang MBM untuk bergerak dan menyatakan apa
yang benar dan perlu selagi mana ia adalah perjuangan untuk para belia dan
pertubuhan belia MBM akan menyuarakannya kepada kerajaan.
Adalah tidak wajar hanya segelintir pimpinan belia yang terlibat maka label
‘macai politik’ diletakkan kepada pertubuhan belia. MBM meraikan pendirian
politik masing-masing dan berusaha mewujudkan budaya politik matang dan
bertanggungjawab dalam kalangan belia. Hal ini seiringan dengan domain
sosialisasi politik yang dilaporkan di dalam dapatan Institut Penyelidikan dan
Pembangunan Belia Malaysia antara yang terendah dalam Indeks Belia Malaysia
yang dikeluarkan oleh Kementerian sendiri.
MBM mengambil pendekatan berlapang dada dan meraikan kepelbagaian
selaras dengan hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia terhadap
kegiatan ahli (badan gabungan) mahupun individu yg terlibat dengan parti
politik. Malah inilah juga asas dan dasar yang YB Menteri sebutkan di Dewan
Rakyat malah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan.
MBM juga berpandangan selayaknya YB Menteri memberi gesaan kepada
pertubuhan belia untuk meraikan perbezaan fikrah politik dan ideologi politik.
Malah mereka harus duduk bersama bagi membincangkan agenda demi
kepentingan pembangunan belia di Malaysia.
Sehubungan itu MBM menggesa agar YB Menteri memohon maaf dan
menarik balik kenyataan tersebut serta tidak akan mengulangi kesilapan
ini.
MBM memahami dan bersedia bersama aspirasi YB Menteri agar persatuan
belia menjadi kuasa pendesak belia terkuat kerajaan demi untuk menjadi
pengimbang kepada kerajaan demi masa depan Malaysia.
Sekian. Terima kasih.
HAJI MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 2 Ogos 2018
Tel : 013-530 9077
Emel : ghadaficajmaju@gmail.com

Format PDF: kenyataan media – yb menteri – MBM MEMBANTAH DAKWAAN DAN MENGGESA PERMOHONAN MAAF YB MENTERI BELIA TERHADAP KENYATAAN MBM SEBAGAI “MACAI POLITIK’

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.