“Beban biar saya tanggung, UMNO terus berjuang, tak perlu pertahankan saya” – Najib

oleh : Najib Razak

Saya hanya membantu Lokman Adam sebagai menunaikan hasratnya yang meminta bantuan untuk berkempen ketika pilihanraya kecil Sungai Kandis. Ia adalah satu tugas yang berat bagi kerusi ini kerana PKR adalah penyandang dan memenanginya dengan majority yang besar hanya beberapa bulan sebelum ini. Lokman dan pasukannya telah melakukan yang terbaik bagi PRK itu.

Saya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menjadi presiden UMNO lagi. Kepimpinan UMNO baharu perlu diberikan kepercayaan dan ruang untuk membuktikan kepimpinan mereka bagi mendapatkan kepercayaan rakyat.

Sebagai Perdana Menteri dan Presiden BN pada masa itu, saya menjadi sasaran pihak lawan yang membuat pelbagai serangan fitnah terhadap saya.

UMNO tidak perlu mempertahankan saya terhadap fitnah yang dilempar terhadap saya. Melalui perbicaraan yang adil, saya yakin dapat mempertahankan diri saya. Saya juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang dibuat. Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya.

Segala tuduhan dan fitnah adalah terhadap saya dan bukan UMNO. Tidak adil untuk UMNO menanggung beban ini.

Sebagai sebuah parti yang berjaya membawa Malaysia hampir meraih status ekonomi maju dan menikmati ketenteraman dan keamanan sejak Merdeka, jasa UMNO kepada negara tidak dapat dinafikan. Perjuangan parti ini juga berniat baik. Atas dasar itu, saya akan terus menjadi ahli UMNO yang setia dan bersedia untuk menghulurkan bantuan jika parti memerlukannya.

Apapun, saya juga masih lagi Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen. Saya juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu.

Oleh itu, saya akan terus bersuara terhadap apa-apa isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini. Saya berhak menggunakan kebebasan bersuara saya dan berhak mempertahankan diri saya jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadap saya atau kerajaan BN lalu. -TTKM-

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.