Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan tuntutan bayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion tidak dibayar sepenuhnya.
Sebaliknya, kata ketua pengarahnya, T Subromaniam, dari April 2015 hingga penghujung Mei 2018, hanya RM63.9 bilion bayaran yang telah dipindahkan.
“JKDM ada menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan ini untuk tujuan pembayaran balik GST dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan kepada Tabung Amanah. Oleh itu, pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion,” – T Subromaniam
Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan berkenaan, tambahnya, dipengerusikan oleh ketua setiausaha perbendaharaan negara.
Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa bahawa RM18 bilion daripada RM19.4 bilion bayaran balik GST ‘dirompak’ pentadbiran kerajaan BN.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah menafikan dakwaan Lim Guan Eng tersebut lalu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pagi tadi.

“Dia ( Lim Guan Eng) mendakwa wang tersebut hilang. Tidak sama sekali. Ia diletakkan dalam kumpulan wang disatukan. (Consolidated fund). Saya buat laporan ini kerana saya mahukan kebenaran” – Irwan.
Ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut membuat laporan polis semalam.

“Guan Eng berkata Kementerian Kewangan akan membuat siasatan dalaman, bagi saya ini tidak mencukupi. Kalau sekiranya dibuat satu tuduhan ‘rompakan’ ia mesti dibuat dalam siasatan yang terbuka.Oleh sebab itu saya mengambil keputusan untuk buat laporan polis pada hari ini,” – Khairy Jamaluddin.
-TTKM-