KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan Azmin Ali dilantik sebagai menteri ekonomi atas budi bicara Perdana Menteri, sedangkan nama Azmin tiada dalam senarai yang dicadangkan oleh Parti Keadilan Rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas Azmin Ali i tidak perlu meletakkan jawatan sebagai menteri jika kalah dalam pemilihan PKR bulan depan, lapor Berita Harian.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang akan menentang Mohamed Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden berkata perkara itu adalah kerana pelantikannya sebagai menteri tiada kaitan dengan jawatan dalam parti.
“Saya tidak nampak apa saja keputusan dalam pemilihan PKR nanti akan menyebabkan Azmin perlu mengundurkan diri dari jawatan Kabinet.
Saya juga tidak nampak kenapa PKR kena berkeras menyuruh Azmin meletakkan jawatan dan saya tidak rasa Perdana Menteri mengambil ketetapan meminta Azmin meletak jawatan. Ini tidak akan berlaku.
Dr Mahathir yang melantik Azmin atas budi bicaranya (sebagai Perdana Menteri) sedangkan namanya tiada dalam senarai (cadangan) parti, mana mungkin beliau akan diminta meletakkan jawatan,” – Rafizi Ramli
Pencalonan Rafizi sebagai timbalan presiden PKR itu disifatkan tamparan kepada Azmin yang dilabelkan sebagai ‘orang’ Dr Mahathir.
Rafizi berkata, perlu ada pemisahan antara parti dan kerajaan supaya kerajaan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan kerajaan terdahulu.
Katanya, pada pandangan beliau kerajaan dan hal parti perlu diasingkan dan ini perlu diterima dalam kerajaan Malaysia baharu ini.
“Jika tidak dipisahkan nanti timbul budaya seperti UMNO yang melantik ‘macai’ mereka dalam kerajaan selepas menang pertandingan dalam parti sedangkan orang itu tidak layak memegang jawatan, nanti rakyat akan menilai kita sebagai tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan kuasa,” – Rafizi Ramli
Ditanya mengenai peluang beliau untuk menang berikutan Mohamed Azmin dilabelkan orang Dr Mahathir dan berada dalam kerajaan Rafizi berkata, persepsi itu timbul kerana pelantikan Mohamed Azmin sebagai menteri bukannya dicadangkan kepemimpinan parti.
Katanya, parti mahukan Mohamed Azmin menumpukan kepada Kerajaan Selangor tetapi beliau dipilih atas budi bicara Perdana Menteri sebagai menteri.
“Justeru, wujud persepsi yang mengaitkan beliau dengan Dr Mahathir dan perkara ini tidak boleh dielakkan untuk diperkatakan ahli akar umbi.Adakah itu kebaikan atau bebanan kepada Azmin? Isu ini wujud kerana persepsi saja dan ia menjadi salah satu perkara yang dinilai anggota parti dalam pemilihan kali ini. Ini semua soal persepsi. Biarlah mereka yang membuat keputusan,” – Rafizi Ramli
Pemerhati politik mengatakan pemilihan PKR kali ini akan menentukan sama ada ahli PKR akan memilih Azmin yang dikaitkan dengan Mahathir atau Rafizi, orang kuat Anwar.
Manakala Anwar pula cuba dilihat neutral dengan mengatakan kedua-dua calon itu adalah kem beliau sedangkan dengan jelas ‘cai’ yang diketuai Rafizi Ramli dianggotai oleh pimpinan PKR yang pro Anwar.
Berikut merupakan senarai ‘cai’ Rafizi Ramli.
Calon naib presiden:
- Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Permatang Pauh)
- Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani)
- William Leong (Ahli Parlimen Selayang)
- S Kesavan (Ahli Parlimen Sungai Siput)
Calon ketua Wanita:
- Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan)
Calon timbalan ketua Wanita:
- Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga)
Calon ketua Pemuda:
- Akmal Nasir (Ahli Parlimen Johor Bahru)
Calon timbalan ketua Pemuda:
- Raymond Ahuar (Ketua Pemuda PKR Sabah)
Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP):
- Datuk Abdullah Sani (Ahli Parlimen Kapar)
- Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan)
- Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang)
- Dr Idris Ahmad (Adun Ijok)
- Wong Chen (Ahli Parlimen Subang)
- Lee Chean Chung (Adun Semambu)
- June Leow (Ahli Parlimen Hulu Selangor)
- G Manivannan (Adun Hutan Melintang)
- R Summugam (Adun Bukit Selambau)
- Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa)
- Datuk Abdul Halim Hussain (Adun Batu Maung)
- Bun Lai (Ketua Cabang PKR Klang)
- Mohamad Imran Abd Hamid (bekas ahli Parlimen Lumut)
- Dr S Streram (PKR Rantau)
- Dr Zaleha Ismail (PKR Johor)
- Nurin Aina (Ahli Parlimen Merbok)
- Mohd Amin Abdul Mem (Ketua Cabang Semporna)
Rafizi ketika ini tiada menjawat apa-apa jawatan dalam kerajaan baru Pakatan Harapan kerana tidak bertanding pada PRU 14 lepas manakala Azmin memegang jawatan sebagai menteri ekonomi dan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional. -TTKM-