Mengenai isu cadangan Menteri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub supaya nelayan menanam nanas dan rambutan di tanah-tanah belakang rumah untuk menambahkan pendapatan, ada sesetengah pihak mendakwa kenyataan beliau telah diputarbelitkan.
Oleh itu, TTKM menyiarkan transkrip penuh ucapan beliau didalam dewan berdasarkan hansard untuk penilaian pembaca.
Salahudin berkata demikian sebagai menjawab soalan dari Dato’ Dr. Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]
SOALAN
Dato’ Dr. Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]: Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua Dewan pada pagi ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Menteri.
Saya kira dalam jawapan kepada soalan asal tadi, Yang Berhormat ada menyatakan mengenai kemungkinan ataupun mengenai sara hidup nelayan ini akan diteruskan. Untuk makluman Yang Berhormat, kawasan Parlimen Parit Sulong ini mempunyai hampir 1,000 nelayan yang mendaftar.
Jadinya soalan tambahan saya adalah apakah perancangan kementerian, selain daripada bergantung kepada elaun sara hidup ini, perancangan kementerian untuk membantu meningkatkan sumber pendapatan kepada institusi nelayan ini? Saya bagi contoh. Adakah pihak kementerian ingin memperbanyakkan lagi pasar-pasar nelayan ataupun pembinaan togok-togok bagi mereka ini boleh meningkatkan pendapatan apabila kurangnya pendapatan mereka disebabkan keadaan musim yang tidak menentu? Terima kasih.
JAWAPAN
Datuk Haji Salahuddin bin Ayub: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih soalan tambahan dari Yang Berhormat Parit Sulong. Saya ingin memberikan penjelasan di sini bahawa dalam perancangan masa depan kementerian ini, yang pertama sekali, kita akan melaksanakan program pemutihan. Adalah perlu untuk kita memastikan database kita adalah terkini, efisien dan dengan database itulah kita akan membangunkan kembali bagaimana kita melihat secara spesifik tentang kategori nelayan-nelayan yang mencari makan daripada kerja nelayan ini. Daripada situlah nanti kita akan melihat bagaimanakah nilai tambah atau value chain itu akan dapat kita pastikan.
Saya setuju dengan Yang Berhormat tadi bahawa di samping kita melihat tentang kedudukan taman-taman laut kita, saya rasa perlu untuk kita tambah togok. Togok ini adalah bahasa orang Johor ini. Tapi togok ini adalah di mana kita meletakkan rumah-rumah tiruan ikan ini untuk ikan itu membiak dan ini adalah suatu perbincangan berterusan dengan pihak taman laut supaya kita dapat dua matlamat iaitu dari segi alam sekitar, pemeliharaan togok itu ataupun taman laut itu terpelihara tetapi dalam masa yang sama ikan-ikan itu boleh membiak.
Yang kedua, Yang Berhormat, kita harus mengunjurkan pelan tindakan yang lebih efisien. Kalau hanya bergantung dengan laut, saya rasa tidak mungkin kita dapat meningkatkan pendapatan nelayan ini. Maka dengan penemuan-penemuan baharu kementerian, hasil daripada penyelidikan MARDI, kita ada variety baru nanas, sebagai contoh MD2, yang begitu popular. Tanah-tanah belakang rumah ataupun nelayan yang memiliki tanah ini, kita akan galakkan menanam tanaman ini. Kita ada rambutan baharu, klon paling baharu iaitu mutiara merah, mutiara madu yang mahal harganya di pasaran. Hari ini, Tuan Yang di-Pertua, rambutan kalau pergi beli tepi jalan tidak ada lagi 20 sen, 30 sen tapi RM1, RM2— mahal hari ini. Jadi produk-produk yang seperti ini kita akan galakkan supaya mereka menjadikan tanaman-tanaman ini sebagai tanaman sampingan yang boleh menambahkan pendapatan mereka.
Demikian juga saya rasa di masa depan variety-variety baru ini seperti MD2 dan rambutan ini akan dapat juga menembusi pasaran khasnya Tanah Besar China yang saya rasa kalau kita dapat untuk menyelesaikan isu-isu protokol kita dengan Tanah Besar China ini, saya rasa lebih banyak lagi buah-buahan tempatan ini akan dapat kita eksport dan sekali gus akan dapat meningkatkan pendapatan petani dan nelayan-nelayan kita. Terima kasih.
TTKM