“Idea cukai soda sangat baik untuk diteliti” – Menteri KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan cukai soda atau cukai minuman berkarbonat merupakan cadangan menarik dan berbaloi untuk dipertimbangkan kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut laporan Bernama, Saifuddin berkata selain menampung pendapatan kerajaan ekoran pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ia dapat memberi mesej kepada rakyat bahawa pengambilan minuman bergas yang berlebihan tidak baik untuk kesihatan.

“Seperti kita tahu ‘revenue’ kerajaan berbanding (semasa pelaksanaan) GST, kutipan melalui SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) akan berkurangan, justeru kerajaan perlu tampil dengan beberapa idea untuk menampung pengurangan ini. Saya fikir idea seperti itu (cukai soda) sangat baik untuk diteliti,” – Saifuddin Nasution 

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas melepaskan peserta program larian SSM BizRun 2018 di sini pagi ini.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata pelaksanaan tersebut masih di peringkat cadangan dan kerajaan belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

Sebelum ini, TTKM melaporkan Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Tony Pua berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cukai baharu, termasuk cukai soda. Katanya cukai tersebut tidak membebenkan kerana golongan B40 ( golongan miskiin) tidak perlu minum minuman tersebut.

“Misalnya, saya boleh sebut, katakan kita nak laksanakan cukai soda, macam cukai (ke atas) Coca-Cola, ia ada dua komponen.

Pertama ia dapat beri sedikit hasil kepada kerajaan. Ia (juga) tidak membebankan golongan B40 sebab (mereka) tak perlu minum Coca-Cola.

Pada masa sama, kita boleh menggalakkan kehidupan yang lebih sihat,” – Tony Pua.

Kenyataan Tony Pua itu mendapat kritikan teruk di media sosial.

Apabila diasak wartawan, akhirnya beliau berkata cadangan tersebut cuma pandangan peribadi beliau.

Kerajaan PH berdepan kekurangan hasil apabila GST dibatalkan, malah terpaksa cari hasil tambahan untuk membayar bayaran balik GST yang tertunggak RM19.4 billion.

Oleh itu, beberapa cukai baru sedang diteliti untuk menambah hasil kerajaan, termasuk meneruskan AES pada 1 september ini.  -TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.