Projek infra China batal? Tak apa, ada ProTiga – Wee Ka Siong

Oleh : Wee Ka Siong

Dari pemerhatian saya berdasarkan kepada sidang media dan laporan media, lawatan Tun Dr Mahathir ke China tidak berjalan dengan baik dan beliau tidak mendapat apa yang diinginkan, antara lain, mengurangkan kos projek ECRL dan paip gas kerana kerajaan China berdiri teguh kepada asas ia adalah pada harga yang adil.

Sehubungan itu, saya terkilan dan kecewa dengan keputusan Tun Mahathir untuk membatalkan ECRL dan dua projek paip gas dan untuk beliau mengumumkannya ketika masih di Beijing adalah tidak baik bagi hubungan kita dengan China di mana ia melibatkan projek One Belt One Road yang menjadi keutamaan China.

breaking news

Hasil kepada kerajaan dan negara daripada projek infrastruktur pengangkutan awam seperti ECRL bukan sahaja dikira dari pulangan terus daripada penumpang atau jumlah trafik barangan sahaja tetapi daripada faktor luaran dan limpahan ekonomi daripada projek berkenaan.

Jika hanya dihitung daripada pulangan terus, maka tiada faedahnya untuk membina lebuhraya bebas tol seperti projek Lebuhraya Pan Borneo atau Lebuhraya Central Spine Road (CSR) memandangkan tiada pulangan terus darinya.

Hakikatnya, peluang pekerjaan, peluang ekonomi diwujudkan; pelbagai industry akan berkembang dan nilai harga tanah akan turut meningkat di sekitar stesen keretapi. Kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri akan menerima manfaat daripada kutipan cukai yang meningkat daripada syarikat yang tumbuh hasil limpahan ekonomi selain daripada pelbagai pembangunan dan harga hartanah yang lebih tinggi.

Kajian kebolehlaksanaan yang dibuat menunjukkan projek ECRL menyumbang 4.6 peratus kepada pertumbuhan domestik dan 80,000 peluang pekerjaan secara terus dan tidak langsung, terutama di negeri pantai timur dan akan meningkatkan taraf pendapatan di sana serta mengurangkan jurang pendapatan dengan penduduk pantai barat.

Selain manfaat ekonomi, terdapat faedah lain seperti mengurangkan penghijrahan ke bandar seperti ke Kuala Lumpur yang turut mengakibatkan kesesakan; ia satu pengangkutan lebih selamat, selesa dan meningkatkan produktiviti mereka yang melakukan perjalanan ke kampung; dan mengurangkan pencemaran asap kereta. Berapa banyak nyawa telah terkorban daripada kemalangan jalanraya? Ini semua tidak boleh diukur oleh ekonomi dan kos.

Manfaat ini adalah berkekalan dan bukan hanya untuk satu kali sahaja.

ECRL sudahpun siap 20 peratus dan dengan pembatalan ini, ia bermakna tiada lagi pertumbuhan ekonomi, tiada peluang pekerjaan dapat diwujudkan, tiada limpahan ekonomi dan kesan gandaan yang bermanfaat hasil daripada projek ini. Negeri di pantai timur tidak akan dapat melihat kemajuan dan akan terus ketinggalan berbanding negeri di pantai barat.

Dua projek paip gas turut dibatalkan dan ia adalah projek paip pelbagai guna (MPP) dan paip gas rentas Sabah (TPP).

MPP ialah bagi menyambung Pengerang ke Alor Star. Selama ini, Malaysia tidak berupaya bagi kapasiti penapisan dan perlu mengimport petrol dan diesel dari Singapura. Melalui projek Pengerang, kita mampu menutup jurang kekurangan itu. Projek MPP ini adalah bagi menyalurkan petrol dan diesel yang ditapis pada kos lebih rendah dan mengurangkan lori tangki di atas jalanraya kita setiap hari.

Manakala projek TPP pula adalah bagi membina saluran paip gas dari Terminal Gas KImanas ke Sandakan dan Tawau. Projek ini adalah bagi membolehkan loji tenaga yang menggunakan gas dapat beroperasi di sebelah barat Sabah dan menyelesaikan masalah elektrik yang kini didepani penduduk di kawasan itu selain membekalkan kepada kompleks industri di kawasan berkenaan dan ini dapat meningkatkan kemajuan serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Kedua-dua projek paip gas ini adalah projek jangka pendek yang akan mengambil masa tiga tahun dengan kos RM9.4 bilion. Oleh kerana projek ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat keempat terbesar di dunia yang dimiliki oleh kerajaan China, tiada kebimbangan bahawa syarikat ini tidak akan menyempurnakannya atau meninggalkannya terbengkalai memandangkan reputasi mereka tergugat.

Ketiga-tiga projek ini dibiayai oleh kerajaan China dengan pakej pembiayaan jangka panjang selama 20 tahun dan tidak perlu membayar selama 7 tahun. Kadar faedah adalah pada 3.25 peratus juga lebih rendah daripada kos pembiayaan kerajaan pada masa ini iaitu pada 4.2 peratus jika kita mengeluarkan bon.

Tiada pihak yang meminta kita membayar penuh pinjaman ini sekaligus. Termanya adalah jangka panjang.

Sebagaimana disebutkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berubah dari GST kepada SST bermakna pengurangan sekurang-kurangnya RM23 bilion bagi pendapatan tahunan kerajaan. Sudah tentu angka ini pasti akan meningkat bagi 20 tahun akan datang, kerana kutipan GST sudah tentu meningkat selari dengan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat meningkat dan kuasa berbelanja lebih besar.

Walau kita gunakan dakwaan Pakatan bahawa kos ECRL adalah RM81 bilion (dan bukan RM55 bilion) di mana mereka mendakwa ia melibatkan kos faedah dan RM9.4 bilion bagi dua projek paip gas, kos kedua-duanya adalah RM90 bilion.

RM90 bilion bagi tempoh 20 tahun bermakna RM4.5 bilion setahun, di mana kerajaan berupaya membayarnya daripada lebihan RM23 bilion yang dikutip daripada GST, jika ia tidak dimansuhkan.

Dengan semua pembatalan ini, kini tiada lagi GST, tiada pertumbuhan ekonomi, tiada peluang pekerjaan diwujudkan dan perlu bayar pampasan berbilion-bilion lagi walaupun projek sudah lancar berjalan.

Mereka yang lari cukai, ekonomi gelap dan mereka yang terlibat dalam aktiviti pengaliran keluar modal haram akan menerima manfaat sementara rakyat dan negara terutama negeri di pantai timur serta di Johor dan Sabah paling kerugian manakala hubungan kita dengan pelabur paling besar dan rakan dagangan turut terjejas.

Adakah pembatalan projek-projek ini lebih penting dari projek kereta nasional ketiga?

Kerajaan perlu telus dan mendedahkan perjanjian-perjanjian ini termasuk klausa-klausa pembatalan. Mungkin kami perlu berunding dengan negara China jika kos pembatalan terlalu tinggi?

Jika kos pembatalan adalah terlalu tinggi, adakah ianya lebih menguntungkan negara jika projek-projek ini diteruskan? -TTKM-

(Wee Ka Siong merupakan ahli parlimen MCA Ayer Hitam dan juga timbalan presiden MCA. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor)

1 thought on “Projek infra China batal? Tak apa, ada ProTiga – Wee Ka Siong

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: