“Khazanah dalam perbincangan jual kepentingan projeknya di Singapura”

PETALING JAYA: Khazanah Nasional sedang dalam perbincangan untuk menjual 60% kepentingannya dalam usaha sama dengan Temasek Holding, syarikat pelaburan milik kerajaan Singapura, menurut laporan The Malaysian Reserve. 

Syarikat tersebut, M+S Pte Ltd, yang dimiliki 60% oleh Khazanah dan bakinya oleh Temasek telah terlibat dalam dua projek pembangunan bersama di Marina South dan Ophir-Rochor, Singapura bernilai RM33 billion.

Tambah laporan itu lagi yang memetik sumber, perbincangan turut dilakukan untuk menjual kepentingan Khazanah dalam satu lagi usaha sama antara Khazanah dan Temasek iaitu Pulau Indah Ventures yang terlibat dalam projek di Iskandar Malaysia, Johor.

Pembangunan usaha sama Khazanah dan Temasek di Singapura,
Pembangunan usaha sama Khazanah dan Temasek di Iskandar, Johor.

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika wawancara dengan The Malaysian Reserve mengatakan kerajaan dalam perancangan untuk melepaskan kepentingannya dalam syarikat untuk menampung hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Tambah beliau lagi, pentadbiran beliau kini sedang menilai syarikat yang dipunyai secara langsung oleh GLIC seperti Khazanah.

“Kami akan melihat syarikat-syarikat yang berbeza. Sesetengah syarikat saya fikir kita mempunyai beberapa saham yang boleh kita jual. Ada yang boleh dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah, kita boleh melupuskan beberapa peratusan. Dan sesetengah, tentu saja, kita akan menarik diri dan menjual syarikat itu atau pun aset syarikat itu, Kami mempunyai beberapa pelaburan dalam projek Iskandar (Malaysia) ini. Kami juga mempunyai beberapa hartanah di Singapura dan terdapat beberapa syarikat lain” – Tun Dr Mahathir Mohamad

Usaha-sama Khazanah-Temasek untuk membangunkan Marina One dan Duo termetrai setelah Kuala Lumpur dan Singapura bersetuju dengan perjanjian pertukaran tanah pada 2010.

Perjanjian pertukaran tanah 2010 dimeterai oleh PM ke 6, Najib Razak dengan PM Singapura, Lee Hsien Loong

Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia akan menukarkan tiga plot tanah yang sebelum ini dimiliki oleh Keretapi Malaya dan tiga lagi plot di Bukit Timah untuk 4 parcel tanah di Marina South dan dua parcel tanah lagi di Ophir-Rochor.

Isu tanah Malaysia di Singapura itu dan perjanjian air merupakan dua isu yang telah lama menjadi masalah di antara kedua negara.

Bulan lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi Khazanah yang baru selepas peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah yang didakwa dilakukan  sebagai protes terhadap kenyataan PM yang mengatakan Khazanah telah terpesong dari matlamat asal membantu golongan Bumiputera.

Turut dilantik bersama adalah Azmin Ali, Menteri ekonomi, Hassan Marican, Dr Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin.

Sebelum ini, laporan Berita Harian mengatakan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berkemungkinan akan mengurangkan kepentingan dalam beberapa firma berkaitan kerajaan ketika kerajaan menyusun semula strategi pelaburan selepas merombak barisan Lembaga Pengarahnya.

Menurut laporan itu, ia merupakan usaha sayap pelaburan kerajaan itu untuk meningkatkan ketelusan serta mengurangkan hutang negara yang dikatakan mencecah RM1 trillion. -TTKM-

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version