Pembatalan ECRL, SSER belum muktamad

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini menyatakan keputusan pembatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan saluran paip Strategic Energy Resources (SSER) belum muktamad.

Dalam satu wawancara dengan portal berita Malaysiakini,  beliau berkata, apa yang beliau lakukan pada lawatan rasmi ke China baru-baru ini adalah untuk menetapkan prinsip bergerak ke hadapan namun pembatalan, penangguhan atau penyelesaian cara lain projek berkenaan belum dapat ditentukan lagi.

“Hal-hal butiran dan perincian tidak pernah dibincangkan oleh perdana menteri atau presiden. Kebanyakan kerja ini perlu dibuat oleh pegawai.

“Saya berkata jika kita boleh, kita ingin membatalkannya. Jika kita tidak dapat, kita ingin menangguhkan dan melihat cara lain untuk menyelesaikan masalah kewangan kita.

“Ini adalah pilihan, bukan keputusan hitam dan putih. Anda perlu meninggalkan ruang untuk rundingan,”  – Tun Dr Mahathir Mohamad

Sementara itu, Mahathir berkata beliau yakin pencapaian paling besar daripada lawatan lima hari ke China adalah meyakinkan Beijing bahawa Malaysia tidak bermusuhan dengan republik itu sebaliknya perlu membekukan projek-projek itu kerana bimbang dengan hutang negara.

“China memahami bahawa tiada seorang pun daripada mereka berkata ‘tidak’ atau apa-apa (yang bermaksud) seperti itu. Saya menjelaskan kepada ketiga-tiga pemimpin – perdana menteri, ketua parti serta presiden.

“Mereka tidak pernah menolak dan mengatakan bahawa ia tidak betul … mereka semua mengakui bahawa kami mempunyai masalah kewangan yang hanya boleh diselesaikan dengan mengurangkan perbelanjaan,”   – Tun Dr Mahathir Mohamad

Mahathir juga menafikan dakwaan pengkritik yang mengatakan Beijing tidak berpuas hati dengan beliau.

“Mereka tidak kelihatan tidak berpuas hati malah saya diterima dengan baik oleh mereka dan kami mempunyai perbincangan yang sangat baik pada peringkat rasmi dan selanjutnya.

“Saya makan tengah hari dengan perdana menteri dan makan malam dengan presiden. Ketika itu, hubungannya juga sangat mesra,” – Tun Dr Mahathir Mohamad

Mahathir berkata jumlah pampasan yang dijangkakan sangat besar dan tidak membincangkan perkara itu.

“Pampasan (yang perlu dibayar) disebut dalam perjanjian itu. Saya tidak membincangkannya kerana itu yang kami buat ketika rundingan sebenar di peringkat rasmi, kita perlu mengambil langkah itu,” – Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun U-Turn?

Kelmarin,  Tun Dr Mahathir mengumumkan pojek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan pembinaan dua saluran gas yang dianugerahkan kepada China dibatalkan.

Menurut Tun, projek-projek tersebut tidak dapat diteruskan kerana ‘masalah kewangan Malaysia’.

Walau bagaimanapun, perincian mengenai pembatalan tersebut termasuk hal pembayaran kepada China akan dibincangkan kemudian tambah beliau.

 

Pengumuman pembatalan itu mendapat kecaman pelbagai  lapisan masyarakat yang menyokong projek ECRL tersebut terutama penduduk di pantai timur. -TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.