Mon. May 27th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Siapa kata melayu malas?

4 min read

Oleh : Sharan Raj.

Prejudis Rasis Yang Paling Bohong: Melayu Malas

Antara persepsi yang paling ketara dalam kalangan bukan Melayu adalah “orang Melayu malas”. Persepi ini dipupuk bukan berdasarkan pengalaman tetapi kerana dididik oleh (segelintir) orang dewasa kepada generasi seterusnya sehinggakan prejudis ini menjadi satu trend. Berdasarkan penilaian saya, label ini merupakan satu prejudis yang tidak betul!

Kepetahan Bahasa Inggeris dalam kalangan orang Melayu bukan kerana enggan belajar tetapi geografi dan pendedahan. Kepetahan Bahasa Inggeris berdasarkan lokasi, seorang anak Melayu dari TTDI akan fasih bahasa Inggeris manakala anak Cina dari Kota Bharu akan fasih bahasa Malaysia Kelantan. Bahasa perlu dilihat sebagai sebuah kapal bukan kargo. Bahasa ibarat kapal untuk membawa ilmu/mesej ibarat kargo. Apa gunanya bahasa kalau orang lain tidak faham intipatinya. Ramai orang bukan Melayu yang di luar bandar besar tidak fasih bahasa Inggeris.

Ramai orang Melayu yang telah saya berkerja memang tidak dapat memberi penerangan dalam bahasa Inggeris. Namun, apabila saya memberikan mereka kelonggaran untuk berhujah dalam Bahasa Malaysia, mereka mampu menjelaskan dengan sungguh petah sehingga Einstain kalah. Banyak situasi seperti ini menonjolkan bahawa orang Melayu cukup berilmu tetapi tidak mampu menerangkan dalam bahasa Inggeris kerana kebanyakkan mereka berfikir dalam bahasa Malaysia. Mereka mampu menggambarkan informasi teknikal dalam bahasa mudah sehinggakan orang bukan teknikal dapat fahami. Suatu perkara yang ramai orang bukan Melayu tidak mampu melakukan.

Sales executive Melayu sangat ‘hospitality’ berbanding bukan Melayu kerana mereka tidak fokus untuk menepati target sales seperti executive bukan Melayu. Sebaliknya, mereka membina hubungan dengan klien dengan membawa klien makan, berbincang pasal keluarga, tanya pasal perjalanan mereka, hantar klien ke lapangan terbang dan sebagainya. Kepuasan klien dan kadar pengekalan (sustainable) dengan executive Melayu sangat tinggi berbanding dengan bukan Melayu.

Faktor budaya Melayu merupakan asas kepada perlakuan positif ini. Ramai klien tidak pernah jemput majikan kepada sales executive ke rumah terbuka sebaliknya menjemput sales executive. Walaupun awal kadar untung dibawa kepada firma oleh sales executive bukan Melayu nampak tinggi tetapi dalam jangka panjang sales executive Melayu nampak lebih mapan (sustainable).

Budaya kerja Melayu memang laid-back berbanding Asia Timur khususnya Jepun yang sangat stress yang Dr. Mahathir bin Mohamad hendak sangat kita tiru. Namun, hujah bahawa mereka malas adalah salah sebab tidak pernah mereka meninggalkan tanggungjawab. Mereka pernah minta masa lebih tetapi 100% bukan sebab mereka malas sebab ada masalah keluarga atau kesihatan sama seperti bukan Melayu.

Kadar layan facebook waktu kerja antara Melayu dan bukan Melayu adalah sama. Laid-back dalam kontek kerja adalah mereka kuat gurau tetapi ini mewujudkan suasana kerja yang kurang stress dalam pengalaman saya. Banyak tajuk projek disimpan dalam komputer seperti “jadi tak jadi”, “anjing” “Hantu Kak Software” dan sebagainya. Suasana kerja mereka yang positif merupakan sebab ramai pekerja tidak merasa beban untuk hadir ke kerja.

Kerelaan bukan Melayu berkerja luar waktu kerja dan membawa pulang ke rumah menyebabkan majikan mengurangkan “deadline”. Budaya Melayu di mana enggan bawa pulang kerja ke rumah secara percuma (kecuali dibayar OT) merupakan suatu yang positif. Kenapa golongan pekerja perlu berkerja dengan percuma untuk menjadikan majikan lagi kaya.

Majikan dapat menekankan lebih waktu kerja (secara percuma) rentetan kerelaaan bukan Melayu dan label “Melayu Malas” mula wujud. Di Eropah, pekerja tidak akan berkerja lebih masa selepas kerja kerana lepas kerja adalah waktu peribadi. Ini merupakan sebab keluarga Melayu lebih gembira berbanding bukan Melayu sebab ibu bapa Melayu meluangkan masa lebih dengan keluarga.

Ramai orang bukan Melayu juga berlumba-lumba hendak berkerja dalam kerajaan atau GLCs dengan alasan suasana kerja kurang stress. Namun mereka tidak faham bahawa suasana kerja wujud sebab terdapat intergrasi suasana kerja dengan budaya Melayu. Situasi GLCs tidak membuat untung tiada kaitan dengan suasana kerja tetapi executive lantikan politik yang korup yang menyebabkan GLCs gagal membuat duit BUKAN sebabnya Melayu malas. Pejabat kerajaan berada di tangga ke-15 paling efisien di DUNIA. Situasi kaunter kosong di pejabat kerajaan adalah sebab kegagalan ahli politik mengagihkan sumber manusia dengan tepat bukannya salah orang Melayu.

Ramai bukan Melayu selalu menyalahkan “polisi bantuan bumiputera” sebagai asas “Melayu Malas” tetapi ramai bukan Melayu gagal memahami bahawa polisi yang sepatutnya membantu golongan miskin tegar telah disalah gunakan elit politikus dan kapitalis-kapitalis Melayu untuk mengaut untung harta dengan menindas orang Melayu miskin. Rata-rata orang Melayu daripada petani yang memberikan kita nasi sehingga guru yang mengajar kita masih dibelunggu kesempitan hidup.

Ramai pekerja bukan Melayu tidak fahami orang Melayu sebab kita kurang meluangkan masa di luar waktu kerja ataupun lebih dikenali sebagai “sesi selepas sesi”. Ramai orang Melayu tidak dapat bersama bukan Melayu sebab kita cenderung makan di kedai makan tidak halal atau bercakap dalam bahasa Inggeris baku, Mandarin atau Tamil. Ini mewujudkan jurang antara pekerja Melayu dan bukan Melayu yang mengukuhkan prejudis kaum.

Saya membuat penilaian ini kerana selama 18 tahun membesar tanpa prejudis dibawah ibu bapa saya kerana mereka tidak pernah menggunakan “Melayu Malas”. Hanya di alam dewasa, saya mula mendengar hujah tersebut. Kalau kita membuang persepsi dan membuat penilaian sendiri, kita akan mendapati bahawa ianya sekadar prejudis rasis yang menguntungkan golongan kapitalis dan majikan. Salah satu persepsi yang golongan bukan Melayu perlu buang adalah bahawa “Melayu Malas”.

“Selamat Hari Raya Haji kepada Warga Muslim”

Dipena oleh,
Sharan Raj
Warga Malaysia

PS: Gambar sekadar hiasan

(Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: