
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan khidmat Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) masih diperlukan kerana mereka mempunyai banyak pengalaman untuk menyelesaikan pelbagai isu penting, lapor Bernama.
Beliau berkata walaupun kerajaan mempunyai barisan Kabinet penuh tetapi mengakui ramai daripada anggotanya adalah baharu dan tiada berpengalaman untuk menyelesaikan sesuatu isu. Malah, beliau turut berkata ada menteri yang tidak berapa tahu tanggungjawab kementerian mereka.
“Saya perlu mengakui Kabinet kami tiada pengalaman dan ramai yang baharu. Saya perlu bekerja dengan cepat dan saya perlukan seseorang yang berpengalaman untuk menyusun sesuatu tugas
Menteri baharu tidak berapa tahu mengenai tanggungjawab dalam setiap kementerian. Mereka masih tercari-cari jalan dan mereka tidak boleh melakukan banyak siasatan,” – Tun Dr Mahathir Mohamad
Majlis Penasihat Kerajaan tidak dibubarkan 100 hari.
Dr Mahathir berkata MPK akan dikekalkan dan diketuai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sementara peranan majlis itu akan diperbaharui.
Kewujudan Majlis Penasihat Kerajaan dipersoalkan pelbagai pihak kerana anggotanya bukan dipilih rakyat, apatah lagi majlis tersebut tiada diperuntukkan dalam perlembagaan negara.
Pengkritik mendakwa majlis tersebut diwujudkan supaya Tun dapat mempengaruhi keputusan kabinet.
Tun Dr Mahathir sebelum ini pernah mengatakan bahawa majlis tersebut hanya akan beroperasi untuk 100 hari.
Ketika ditanya wartawan mengapakah majlis tersebut tidak dibubarkan selepas genap 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan, ini jawab Tun:
“Ia tak akan dibubarkan. Mereka kata tempoh mereka semakin hampir tetapi saya masih tidak membuat sebarang keputusan kerana saya tak pernah cakap tempoh khidmat mereka hanya selama 100 hari,” – Tun Dr Mahathir Mohamad
PM mudah lupa?
TTKM mendapati kenyataan Tun Dr Mahathir bercanggah dengan kenyataan beliau sendiri pada 12 Mei,sewaktu beliau mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan tersebut. Ketika itu, beliau mengesahkan majlis tersebut cuma beroperasi untuk 100 hari.
“Majlis ini akan membantu kerajaan merangka polisi dan program kerajaan untuk memenuhi janji 100 hari PH kepada rakyat. Majlis ini cuma untuk 100 hari” — Tun Dr Mahathir.

Rekod lidah bercabang
Calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mengatakan Tun Dr Mahathir mempunyai rekod lidah bercabang.
“Lepas tu Mahathir ni pula kena ingat, rekodnya lidah bercabang. ” – Rafizi Ramli
Sementara itu, beberapa ahli parlimen kerajaan kini sudah mula mempertikaikan kewujudan Majlis Penasihat Kerajaan ini.
“Ia badan eksekutif atau badan penasihat? Bukankah ada menteri yang merangka pelan untuk kementerian masing-masing dan wakil rakyat yang akan berbahas di Parlimen,” – Maria Chin.
“Adakah majlis mengemukakan syor tentang dasar-dasar yang dikaji atau menasihati Dr Mahathir? Beliau perlu jelaskan mengapa peranan majlis dilanjutkan dan adakah anggotanya dibayar gaji.” – Charles Santiago
“Perlu dijelaskan apakah yang akan berlaku sekiranya ada pertembungan antara majlis dan kementerian. Siapakah yang lebih berkuasa?” – Wong Chen
-TTKM-
Leave a Reply