Kritikan kepada Bintang Kartika berhubung artikel Gejala Homoseksual & Pedofile pada Khalifah & Cendekiawan Muslim

Oleh : Muhammad Izzat Al-Kutawi

Kritikan saya ke atas artikel “Gejala Homoseksual & Pedofile pada Khalifah dan Cendekiawan Muslim Dahulu Kala” semalam sebenarnya tidak lengkap kerana saya hanya mengambil masa antara solat asar dengan maghrib untuk menyudahkannya. Masa sesingkat itu tidak memungkinkan saya melakukan kritikan dengan rapi dan teliti. Jika tidak, saya yakin lebih banyak jenayah ilmiah yang dapat ditemukan. Saya mohon maaf atas segala kekurangan.

Sebentar tadi, ketika meneruskan penulisan buku “Bersama Niqab”, sahabat saya, Iqbal Harraz menyampaikan kritikan balas penulis tersebut. Saya kira ini adalah kritikan terakhir saya memandangkan saya mempunyai tugasan lain yang perlu diselesaikan. Dengan lafaz bismillah, saya mulakan jawapan saya:

Pertama, beliau membawakan petikan daripada kitab Fatawa al-Saghdi yang kononnya menunjukkan Syeikh al-Saghdi (1068 H) mengharuskan liwat. Sebenarnya, “haram” yang dimaksudkan dalam nas tersebut tidak merujuk kepada hukum halal haram, tetapi kepada “mahram” iaitu menjadikan pelakunya mahram atau tidak. Dengan kata lain, haram di sini sama seperti haram dalam hadis:

يَحْرُمُ مِن الرضاعِ ما يَحْرُمُ مِن النَسَبِ
“Diharamkan disebabkan penyusuan apa yang yang diharamkan disebabkan nasab.”

Hal ini jelas selain kerana ia disebutkan dalam bab nikah, pada masa yang sama, beliau sendiri jelas mengharamkan liwat sebagaimana dalam j. 2, h. 640 dalam kitab yang sama (dengan judul al-Nutaf fi al-Fatawa), yang berbunyi:

حد اللواط وأما حد اللواط فانه كحد الزنا بعينه فى قول ابي يوسف ومحمد وابي عبد الله وفي قول ابي حنيفة لاحد في اللواط وفيه التعزير لان اللواط عنده كأتيان البهائم وكأتيان النساء فيما دون الفرج وفي قول مالك فيه الرجم احصن اللوطى ام لم يحصن وهو قول الشعبي
“Hukum Hudud ke atas Liwat. Adapun hukum hudud ke atas liwat adalah sama sebiji seperti hukum hudud ke atas zina mengikut pendapat Abu Yusuf, Muhammad, dan Abu ‘Abd Allah. Mengikut pendapat Abu Hanifah, tiada hukum hudud ke atas liwat. Yang ada hanyalah takzir kerana liwat di sisi beliau seperti bersetubuh dengan haiwan dan bersetubuh dengan perempuan di selain faraj. Mengikut pendapat Malik pula, hukumnya rejam sama ada peliwat sudah berkahwin atau tidak dan ini juga pendapat al-Sha’bi.”

Dengan ini, beliau terbukti silap dalam mengatakan liwat telah dihalalkan oleh sebahagian ulama Islam. Hakikatnya, keharamannya sabit secara ijmak. Orang yang menghalalkannya boleh dihukum bunuh mengikut para ulama kerana menyalahi nas dan ijmak.

Kedua, penisbahan keharusan liwat kepada “sebahagian Salafi” adalah karut. Salafi sama seperti ulama-ulama Islam yang lain menentang keras jenayah liwat. Saya kira beliau tersilap memahami nas berkaitan hal ini sebagaimana yang berlaku pada nas al-Saghdi. Beliau juga menyebutkan nama MAZA. Mungkin beliau menyangka kami seangkatan dengan Mufti Perlis tersebut. Untuk pengetahuan umum, saya telah menulis sebuah buku untuk mengkritik beliau dalam masalah muzik dan nyanyian wanita (dan kritikan itu lebih terperinci daripada kritikan saya terhadap artikel “Gejala Homoseksual & Pedofile” itu.)

Ketiga, beliau menjelaskan tujuan beliau menulis artikel tersebut iaitu untuk “menjelaskan ia (LGBT) sudah lama wujud, malah sudah sedia ada di zaman yang dinamakan kegemilangan Islam. Sebab itu pada post sebelumnya saya nyatakan kisah-kisah tabu pada cendekiawan Islam adalah aib yang dilarang menjadi hidangan publik, kerana depa dianggap suci. Masa sisi gelapnya disembunyikan. Adakah saya menulis di situ semua ‘umat Islam’ di waktu itu? Sekarang nampaknya yang dipesongkan adalah tulisan saya.”

Saya kira tiada yang memesongkan tulisan beliau dan tiada yang menyucikan cendekiawan Islam atau menyembunyikan sisi gelap mereka. Ulama memang mencatatkan kefasiqan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh silam dan menzahirkannya kerana ia membabitkan masalah jarh’ ta’dil dan pendirian umat Islam terhadap mereka. Selain itu, kami tidak bersetuju dengan mereka yang menyifatkan zaman tersebut sebagai zaman kegemilangan Islam secara mutlak.

Ya, zaman tersebut memang mempunyai sudut kegemilangannya tersendiri, tetapi bukan dalam masalah sosial yang menjadi topik perbincangan kita sekarang. Zaman kegemilangan sebenar ialah pada zaman Rasulullah SAW dan khulafa’ rasyidun terutamanya pada zaman Abu Bakr dan ‘Umar RA. Dan itupun masih berlaku gejala yang tidak diingini, namun bagi kami umat Islam yang tidak prejudis kepada agama sendiri, ia tidak menjadi masalah kerana ia perkara biasa dan lumrah, cuma yang penting kita menentang segala pelakuan yang mungkar dan menegakkan syariat. Allah SWT tidak menyoal kita tentang dosa yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mempertanggungjawabkan kita apa yang kita lakukan untuk menentang kemungkaran yang berlaku.

Soalnya, “adakah saya menulis semua ‘umat Islam’ di waktu itu?” Jawapannya, tidak. Tetapi beliau menulis seolah-olah majoriti umat Islam bersekongkol dan bersubahat meredai kemungkaran jenayah LGBT dan inilah masalahnya. Jika maksud beliau hanya segelintir umat Islam bersetuju dengan perkara mungkar dan keji itu, maka di manakah peliknya? Bukankah kita hari ini pun sama?!

Keempat, katanya “al-Walid dibunuh bukan sekadar salah laku, malah lebih teruk daripada itu.” Jawapannya, sekadar atau bukan sekadar tidak penting. Yang penting ia antara sebab utama beliau digulingkan dan ini membuktikan umat Islam pada waktu itu menentang kekejian itu.

Kelima, beliau mengulangi dakwaan Ibnu Hazm (384 H) adalah “gay” tanpa membawakan sumber dan bukti yang jelas. Bagi saya, ia tuduhan palsu semata-mata. Jika wujud pengakuan tersebut, sudah lama ulama memulau beliau. Jika ulama-ulama yang mengharuskan melihat kanak-kanak lelaki yang cantik pun dicela dan menjadi sebab mereka dipulau – seperti yang berlaku kepada Ibnu Tahir al-Qaysarani (507 H) – bayangkan apa yang akan berlaku jika benar Ibnu Hazm pernah mengaku beliau seorang “gay”, mempunyai keinginan terhadap lelaki?

Katanya bagi mewajarkan dakwaannya Ibnu Hazm seorang “gay”, “apa salahnya dengan gay kalo dia hanya cenderung menyukai lelaki namun tidak sesekali melakukan hubungan sejenis?” Salahnya kerana ia menzahirkannya – seperti seorang lelaki mengatakan kepada orang ramai bahawa dia mempunyai keinginan untuk berzina atau merogol seorang perempuan. Adakah ia wajar? Tidakkah keinginan seperti itu fitrah? Jika orang biasa pun dicela jika mengatakan demikian, bagaimana tidak kami hairan kononnya ia diucapkan oleh ulama besar seperti Ibnu Hazm?!

Keenam, beliau menyangka saya belum mendapatkan buku Tawq al-Hamamah. Katanya, “anda kena baca dan dapatkan buku tersebut untuk senang hati menuduh saya. Saya menulis dengan tidak menuduh Ibnu Hazm tetapi mencatat kembali apa yang ditulis oleh Ibnu Hazm.” Sebenarnya, saya mempunyai salinan buku tersebut dalam edisi asalnya berbahasa Arab iaitu bahasa asal buku tersebut, bukan bahasa Inggeris yang menjadi rujukan beliau. Saya juga cuba mencari bahagian yang dipetik dalam artikelnya, tetapi gagal. Saya membawakan nas beliau yang menunjukkan beliau juga mengingkari jenayah liwat seperti ulama-ulama Islam yang lain kerana hanya itu yang saya jumpa. Jika beliau mempunyai teks asal dalam bahasa Arab untuk dibuat rujukan, semakan, dan analisis, maka saya mengalu-alukannya. Mana tahu ada kesilapan – seperti yang kerap berlaku – dalam pembacaan penulis artikel, boleh sama-sama perbetulkan.

Berkenaan katanya, “sepatutnya anda turut menulis, selepas Ibnu Hazm mencatat hukuman peliwat yang begitu zalim, Ibnu Hazm mengatakan ketidaksetujuannya atas hukuman tersebut,” ingin saya jelaskan bahawa beliau jahil tentang manhaj fiqh Ibnu Hazm. Ibnu Hazm tidak bersetuju dengan hukuman-hukuman yang disebutkan bukan kerana ia “begitu zalim” – seperti persepsi yang cuba ditimbulkan oleh penulis artikel – tetapi kerana ia tidak mempunyai nas yang sahih daripada Nabi SAW. Ini kerana mengikut pendapat beliau, hanya al-Quran dan sunnah yang sahih boleh dijadikan hujah. Semata-mata perbuatan sahabat tidak boleh dijadikan hujah sama sekali. Ijmak pun banyak dilanggarnya. Sebab itulah, dalam al-Muhalla; j. 12, h. 393-394 ketika menolak kesahihan riwayat yang menyebutkan hukuman bunuh ke atas peliwat beliau mengatakan:

وَلَا يَحِلُّ سَفْكُ دَمٍ يَهُودِيٍّ – أَوْ نَصْرَانِيٍّ مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ، نَعَمْ، وَلَا دَمُ حَرْبِيٍّ بِمِثْلِ هَذِهِ الرِّوَايَاتِ، فَكَيْفَ دَمُ فَاسِقٍ أَوْ تَائِبٍ؟ وَلَوْ صَحَّ شَيْءٌ مِمَّا قُلْنَا مِنْهَا لَقُلْنَا بِهِ، وَلَمَّا اسْتَجَزْنَا خِلَافَهُ أَصْلًا – وَبِاَللَّهِ تَعَالَى التَّوْفِيقُ.
“Tidak harus menumpahkan darah Yahudi atau Nasrani daripada kalangan ahli zimmah, ya, atau darah kafir harbi dengan berdalilkan riwayat-riwayat ini, bagaimana (pula hendak menumpahkan darah) orang fasik atau orang yang sudah bertaubat? Kalau sahih sesuatu daripada riwayat yang telah kami sebutkan itu sudah tentu kami akan berpegang dengannya dan kami tidak akan membenarkan menyalahinya sama sekali. Dengan Allah jualah petunjuk.”

Dan sebab itu jugalah, pada akhir bab ini; j. 12, h. 397 beliau mengatakan:

وَنَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ أَنْ نَغْضَبَ لَهُ بِأَكْثَرَ مِمَّا غَضِبَ تَعَالَى لِدِينِهِ أَوْ أَقَلَّ مِنْ ذَلِكَ، أَوْ أَنْ نُشَرِّعَ – بِآرَائِنَا – الشَّرَائِعَ الْفَاسِدَةَ – وَنَحْمَدُ اللَّهَ تَعَالَى كَثِيرًا عَلَى مَا مَنَّ بِهِ عَلَيْنَا مِنْ التَّمَسُّكِ بِالْقُرْآنِ وَالسُّنَّةِ – وَبِاَللَّهِ تَعَالَى التَّوْفِيقُ.
“Kami berlindung dengan Allah daripada marah kepada peliwat melebihi kemurkaan Allah untuk agama-Nya atau kurang daripada itu, atau mensyariatkan – dengan pendapat kami – syariat yang rosak. Dan kami banyak-banyak memuji Allah taala yang telah mengurniakan kami sikap berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah. Dengan Allah jualah petunjuk.”

Ketujuh, menanggapi kata-katanya saya tentang Abu Nuwas (199 H), katanya kepada saya “maka kajilah tentang Abu Nawas sebelum menulisnya.” Sebenarnya, beliaulah yang perlu belajar Ajurrumiyyah dahulu sebelum menulis tentang Islam. Kenyataan saya cukup jelas, saya tidak tahu tentang isu liwat Abu Nuwas. Yang saya tahu hanyalah cerita tentang taubat beliau pada akhir hayat. Jadi, bagi saya, beliau tidak sepatutnya dikaitkan lagi dengan dosa minum arak, apatah lagi dosa liwat. Atau penulis artikel seorang yang maksum yang tidak mempunyai “sisi gelap” tersendiri? Adakah wajar saya menghebohkan “sisi gelap” penulis artikel – jika saya tahu – dan menghukumnya walaupun beliau telah bertaubat dan menyesalinya?

Seterusnya, berkenaan syair yang saya nukilkan, kata beliau “saya sangat berharap anda kaji balik milik siapa puisi ini sebenarnya. Puisi ini dilantunkan Abu Nawas ketika dalam penjara, tapi milik orang lain.” Jawapan saya, ia memang milik Abu Nuwas. Imam al-Shafi’i mendengarnya daripada Abu Nuwas menjelang kematiannya – sebagaimana yang dikaji oleh Khalid al-Sakran – dan melantunkannya semula sehingga beliau disangka orang yang menggubah syair tersebut.

Pada penutupnya, beliau mengatakan “inilah yang saya katakan sisi jahat cendekiawan muslim yang enggan kita tahu. Ketika tahu kita sangat kesal, menidakkan, dan cari dalil-dalil asing untuk memperlihatkan kaca sebagai intan. Seperti mana sebahagian kita cuba mencari sisi baik Muawiyah dan anaknya Yazid.” Kata-kata ini jelas menunjukkan penulisan artikel itu mempunyai kaitan dengan fahaman Syiah yang dikatakan dianuti beliau selain sikap prejudis beliau terhadap cendekiawan Islam.

Sambungnya lagi, “ini bukan membuka pekung di dada sendiri, tapi inilah sejarah yang kita perlu tahu agar kita tak cepat menuding sisi sejarah buruk orang, menuduh pembawaan LGBT adalah dari barat atau orang-orang kafir sahaja. Jadilah generasi yang tidak menunding, tetapi mencari solusi untuk sama-sama membaikpulih masyarakat yang sakit.” Daripada kata-kata “agar kita tak cepat… menuduh pembawaan LGBT adalah dari barat atau orang-orang kafir sahaja” beliau seolah-olah mahu mengatakan orang-orang Islam juga terlibat dengan pembawaan LGBT padahal tiada sesiapa menafikannya. Bagi kami, umat Islam, LGBT sama seperti kemungkaran lain, ada umat Islam yang terlibat.

Tetapi, yang jelas dan pasti, Islam dan penganutnya yang sejati mengingkari perbuatan terkutuk itu, tidak seperti liberal yang bermati-matian memperjuangkannya, walaupun dengan cara menyelewengkan nas ulama dan menimbulkan persepsi buruk terhadap masa lampau umat Islam.

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM)

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.