Bukit Tinggi, Klang: 5 orang termasuk 2 aktivis Parti Sosialis Malaysia ditahan polis di IPD Klang Selatan kerana cuba mempertahankan kandang lembu yang berusia 16 tahun dari dirobohkan oleh pihak penguasa.

Munurut laman facebook page PSM, operasi merobohkan kandang lembu itu melibatkan 150 pegawai termasuk polis, Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Daerah Tanah.

“Seramai 150 anggota termasuk Polis, MPK & Pej Daerah/Tanah Klang sedang merobohkan kandang lembu yang berusia lebih 16 tahun dengan 150 ekor lembu & 80 kambing tanpa sebarang penyelesaian. 5 orang telah ditahan termasuk 2 aktivis PSM yang kini berada di IPD Klang Selatan.” – facebook page PSM

Senarai mereka yang ditahan adalah:
1.Munusamy A/L Arumugam
2. Paranjothipathi A/L Kaniapan (aktivis PSM) )
3. Theveindran A/L Arumugam (pemilik kandang lembu)
4. Nik Aziz Afiq (aktivis PSM)
5. Saravanan
Menurut PSM, sebelum kawasan tersebut dibangunkan sebagai Bandar Botanik, Encik Thevindran telah melakukan aktiviti ternakan di Sungai Rezab, Parcel B semenjak 16 tahun yang lalu.
En. Thevindran yang merupakan penternak asal Ladang Bukit Tinggi sebelum dibangunkan sebagai Bandar Botanik, mula aktiviti penternakan di kawasan sekarang iaitu, Bandar Botanik, Sungai Rezab, Parcel B lebih 16 tahun.
Penternakan lembu adalah satu satunya punca pendapatan En. Thevindran. – facebook page PSM
Berikut kenyataan penuh dari En Thevindran – TTKM –
Saya A.Thevindran a/l Arumugam merupakan bekas pekerja ladang Bukit Tinggi. Saya telah menjalankan aktiviti penternakan lebih 2 generasi. Apabila ladang Bukit Tinggi dibangunkan, maka kandang lembu saya di ladang telah dirobohkan dan tempat sekarang – Bandar Botanik, Sungai Rezab, Parcel B adalah tempat alternatif yang ditawarkan oleh oleh syarikat Gamuda dengan janji saya akan mendapat dokumen kelulusan bagi tanah ini. Syarikat Gamuda yang membina struktur asas kandang ini. Ini berlaku pada November 2003. Syarikat Gamuda juga turut membina dua kuil Hindu berdekatan dengan kandang saya.
Selepas beberapa kali saya menghubungi Syarikat Gamuda / Harum Intisari, saya mendapati pengurus Gamuda yang memberi janji mulut tidak bekerja lagi di Gamuda dan saya juga tidak mempunyai dokumentasi bagi urusan ini. Selepas itu, saya terus menjalankan aktiviti penternakan sehingga saya menerima surat dari Pejabat Tanah Klang yang menyatakan tanah ini adalah “Reserved land” Kerajaan dan saya harus menggosongkan tanah ini.
Berikut adalah kronologi ringkas tentang isu kandang lembu saya:
1) Pada 18 Mei 2016, saya dipanggil oleh Pejabat Tanah, Klang melalui surat untuk mengadakan perbincangan mengenai tanah kandang lembu saya. Dalam mesyuarat tersebut saya diberitahu oleh Pejabat Tanah bahawa tanah yang saya duduki sekarang sudah dipindahmilik keatas JAIS. Saya terkejut dengan perkara ini. Bagaimana tanah diatas nama syarikat Gamuda, di mana dijanji untuk diserahkan kepada saya kini telah dipindahmilik kepada JAIS walaupun Pejabat Tanah ketahui saya mempunyai kandang lembu di sana untuk sekian lama. Dalam mesyuarat tersebut, selepas dengar perkara ini, saya memberitahu kepada Pejabat Tanah bahawa saya tidak mahu teruskan kandang lembu dan selesaikan gantirugi kepada saya. Ini juga kerana saya tidak begitu sihat pada masa itu. Tetapi, pihak Pejabat Tanah dalam mesyuarat itu memujuk saya supaya teruskan pemeliharaan lembu dan pejabat tanah sanggup mencari tanah ganti. Pada masa itu, saya memberitahu supaya mencarikan tanah ganti di kawasan berdekatan, lebih kurang 5km dari tempat kandang lembu sekarang dan Pejabat Tanah perlu menyediakan kewangan untuk membina kandang lembu di tanah gentian baru. Pejabat tanah berkata akan berbincang dengan Menteri Besar dan memberi maklumbalas.
2) Pada 5 September 2017, tiga pegawai Polis datang ke kandang lembu saya. Salah seorang daripadanya ASP Perumal, diikuti Korporal Ananth dan Korporal Idris dari Balai Klang. Mereka beritahu saya bahawa mereka hadir atas arahan ketua mereka, di mana ketua mereka baru-baru hadir satu mesyuarat dengan JAIS dan disana perbincangan tentang tanah kandang lembu saya turut dibincang. Oleh itu, tiga pegawai polis mengatakan membuat lawatan ini. Mereka minta kebenaran saya untuk ambil gambar kandang lembu saya. Pihak polis juga kata mereka diberitahu ada 3 kuil di tanah ini, dan tidak diberitahu langsung tentang kandang lembu yang wujud. Mereka balik selepas ambil gambar sekitar kandang saya. Saya membuat satu laporan polis tentang perkara ini.
3) Pada 31.10.2017, saya menerima notis pemberitahuan kesalahan daripada pihak LUAS yang menyatakan saya membina Struktur kandang lembu di dalam 50 meter dari Tebing Rizab Sungai Aur tanpa kebenaran lembaga. Saya juga diberi tempoh selama 14 hari untuk mengalih atau merobohkan struktur tersebut. Saya meulis surat kepada LUAS pada 6 November 2017 menjelaskan bahawa saya sedang berurusan dengan Pejabat Tanah Klang untuk mendapat tempat alternatif bagi kandang lembu saya.
4) Pada 11 Oktober 2017, atas usaha saya, saya mendapat satu temujanji mesyuarat di Pejabat YB Dato’ Teng Chang Khim yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Pengerusi Jawatankuasa Tetap pelaburan, perindustrian & perdagangan, industry kecil & sederhana (IKS) dan pengangkutan pada masa itu dengan YB Dato’ Teng Chang Khim sendiri hadir mesyuarat tersebut bersama dengan wakil Pejabat Tanah Daerah Klang. Dalam mesyuarat tersebut, YB Dato’ Teng Chang Khim membincangkan tentang dua kuil yang berada di sebelah kandang lembu saya. Selepas perbincangan tentang kuil, saya menyuarakan tentang isu kandang lembu saya. Beliau kata akan mengaturkan satu mesyuarat lain untuk membincangkan isu kandang. Tetapi sehingga hari ini, mesyuarat tersebut tidak diadakan.
5) Saya menerima surat bertarikh 30 November 2017 daripada LUAS menyatakan bahawa Pejabat Veterinar Daerah Klang menyediakan penempatan untuk berpindah kandang saya ke Daerah Sepang atau Hulu Selangor. Saya tidak menerima tawaran ini setelah saya membuat lawatan ke tapak-tapak tersebut kerana kedua-dua tempat itu jauh daripada bandar dan saya tidak boleh menjalankan perniagaan. Lebih-lebih lagi, jika saya mahu kekalkan pelanggan saya sekitar Klang, maka jaraknya jauh dan saya tidak boleh sampaikan susu tepat masa. Selepas saya menyatakan masalah ini, Pejabat Veterinar tidak menghubungi saya untuk satu tempoh masa yang panjang.
6) Pada 23.01.2018, saya menerima notis pemberitahuan kesalahan daripada pihak LUAS yang menyatakan saya membina Struktur kandang lembu di dalam 50 meter dari Tebing Rizab Sungai Aur tanpa kebenaran lembaga. Saya juga diberi tempoh selama 14 hari untuk mengalih atau merobohkan struktur tersebut. Saya menulis surat kepada LUAS pada 6 Februari 2018 menjelaskan bahawa saya sedang berurusan dengan Pejabat Tanah Klang dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mendapat tempat alternatif bagi kandang lembu saya.
7) Pada 10 Julai 2018, saya menerima satu surat daripada Jabatan Veterinar Negeri Selangor dan surat tersebut menyatakan tawaran pelawaan sewaan tanah di Taman Kekal pengeluaran makanan (TKPM) Olak Lempit, Daerah Kuala Langat. Bersama dengan surat ini, juga diberi lampiran A untuk mengembalikan samada saya menerima tawaran ini atau tidak dalam 14 hari. Saya menghantar keputusan saya sebagai tidak menerima atas alasan jarak, keadaan kesihatan saya sekatang yang semakin hari semakin teruk penglihatan saya serta saya tidak mahu hilang sumber pendapatan setelah berpindah ke kawasan yang tiada pelanggan bagi aktiviti saya.
8) Pada 11 Ogos 2018, saya menerima satu notis dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang bertarikh 9 Ogos 2018 yang menyatakan bahawa saya perlu menghentikan aktiviti penternakan saya di tempat tersebut.
9) Pada 24 Ogos 2018, saya menerima berita tidak formal dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pihak Polis bahawa penguatkuasa MPK akan hadir untuk merobohkan kandang lembu saya pada 27 Ogos 2018, hari Isnin pukul 8 pagi.
10) Pada 25 Ogos 2018, saya membuat satu laporan polis sebagai bantahan tindakan MPK menyerahkan notis penggosongan sebelum Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan isu kandang lembu saya.
Tuntutan saya:
1. Saya mohon Kerajaan Negeri Selangor mengenalpasti tanah kosong sekita 5km dari kandang lembu sekarang supaya saya kekal membuat aktiviti penternakan serta pelanggan untuk menjual susu lembu.
2. Jika Kerajaan Negeri Selangor gagal mengenalpasti tanah, maka selesaikan gantirugi dan saya tidak mahu meneruskan aktiviti penternakan ini.