Skip to content

Sah! SST 1 September : Tayar, alat ganti, minyak hitam naik harga.

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal diperkenalkan bermula 1 September ini dijangka menyebabkan peningkatan harga barang sektor automotif meliputi tayar dan minyak pelincir, lapor Utusan Malaysia.

Beberapa syarikat telah mengeluarkan surat pemberitahuan atau memorandum sejak 1 Ogos lalu berkaitan peningkatan harga ini termasuk jenama terkemuka Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Goodyear Tyre & Rubber Company.

Syarikat-syarikat lain yang berbuat demikian termasuk :

  • Hankook Tire Malaysia Sdn. Bhd
  • Michelin Malaysia Sdn. Bhd. (Michelin)
  • Continental Tyre PJ Malaysia
  • Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (PLMM).

Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Anton Salleh Hashim berkata, syarikat akan melaraskan harga buat pengedar, perkhidmatan stesen Petronas, bengkel, alat ganti serta harga disyorkan kepada pengguna setelah SST dilaksanakan.

Katanya, pelarasan harga juga disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah, kos bahan mentah dan kos operasi.

“Oleh itu, PLMM perlu bertindak meningkatkan harga meliputi semua saluran ‘highstreet’, pengeluar produk tulen (OEM) dan runcit,” – Anton Salleh Hashim

Mengenai harga tayar, Pengarah Urusan Bridgestone, Yuichiro Shirai berkata, harga tayar Bridgestone, Firestone, Dayton, tiub dan’ flap’ akan dinaikkan pada 1 September ini.

“Peningkatan itu berikutan pengenalan semula SST selepas pelaksanaan kadar sifar peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST),”  -Yuichiro Shirai

Seorang daripada pengedar tayar Bridgestone ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima memorandum daripada ibu pejabat pada bulan ini.

Sementara itu, Pengarah Jualan Goodyear, Chee Lip Choon berkata, harga produk akan dinaikkan disebabkan oleh peningkatan cukai ke atas bekalan barang dan perkhidmatan.

“Cukai jualan untuk tayar buatan tempatan dikenakan pada kadar yang ditentukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),”  Chee Lip Choon

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Hankook, Ryan Chang memaklumkan kepada semua rakan perniagaannya untuk melaksanakan pelarasan harga bagi semua jenis tayar Hankook bermula 1 September ini.

“Ia disebabkan peningkatan kos dalam bekalan barangan dan perkhidmatan justeru kami meminta orang ramai memahami dan memberi sokongan yang berterusan,”- Ryan Chang

Turut mengeluarkan notis sama, Pengurus Pemasaran Michelin, Duy Pham berkata, tayar jenama Michelin dan BFG akan naik bermula 1 September ini susulan pengenalan semula SST.

Sementara itu, menurut Unit Jualan dan Pemasaran Continental, tayar bagi kereta penumpang (PCR), trak ringan (LTR), tayar bagi trak dan kenderaan utiliti sukan (SUV) serta van juga bakal menyaksikan kenaikan harga berkuat kuasa 1 September ini.

SST harga barang lebih murah – Tony Pua

Sebelum ini, pegawai khas menteri kewangan, YB Tony Pua berkata sistem cukai baru SST pada 10% menggantikan GST 6% pada 1 September ini akan menjadikan harga barang lebih murah.

GST memerah rakyat – Tony Pua

“Saya percaya, sistem cukai SST yang baru ini, walaupun cukai akan dikenakan, tetapi harga barang akan lebih murah daripada bila sistem GST (dulu)”  – Tony Pua

GST sifar tapi harga barang tak turun

Manakala, menteri kewangan, Lim Guan Eng pula berkata harga barangan masih tidak turun meskipun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diletakkan pada kadar sifar,kerana berlaku kuasa monopoli ke atas barangan keperluan.

“Kerajaan sedar bahawa pengguna di Malaysia sekarang hanya jimat bayaran 6 peratus sahaja sedangkan beberapa barangan keperluan masih kekal di tahap yang sama.

Sebabnya kuasa monopoli atas barangan perlu seperti gula dan beras. Sungguhpun 6 peratus GST telah dikeluarkan tapi harga masih berdegil tak mahu turun.

Mereka hendak keuntungan yang mereka tetapkan dan gunakan kuasa monopoli untuk kekalkan harga. Dalam aspek ini satu kajian menyeluruh sedang dijalankan untuk menimbang perkara ini,” – Lim Guan Eng 

Walau bagaimanapaun, bekas menteri, Ahmad Maslan mengatakan harga barang pasti akan naik September ini. 

“Saya tak kata saya pakar SST dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 124 negara buat GST daripada 194 negara dalam dunia. SST ini negara dalam dunia dah tak buat, kenapa? Sebab ada kelemahan. Kita mengatakan yang benar. Percayalah harga barang, ‘confirm’ akan naik September ini. Kita (rakyat) juga yang jadi mangsa,” – Ahmad Maslan

GST merupakan isu utama yang digunakan oleh Pakatan Harapan ketika kempen PRU-14 dan ia dikatakan menjadi penyebab utama kenaikan harga barang. Akan tetapi, setelah GST berkadar sifar pada 1 Jun 2018 lepas, harga barang semakin naik menyebabkan rakyat tidak berpuas hati.

Setakat ini hanya harga tomato sahaja yang turun. -TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Privacy Policy Designed using Magazine News Byte. Powered by

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: