Putrajaya, 27 Ogos: Akta Rahsia Rasmi akan dikekalkan kerana kerajaan masih memerlukan undang-undang tersebut, kata perdana menteri Tun Dr Mahathir dalam satu wawancara dengan portal berita Malaysiakini.
Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 membenarkan kerajaan mengklasifikasikan sebarang dokumen sebagai sulit dan sesiapa yang mendedahkan maklumat berkenaan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun.
Untuk sekian lama, undang-undang itu dilihat sebagai alat kerajaan untuk menyimpan rahsia hal urusannya atau – lebih buruk – untuk menutup skandal-skandalnya.
Sebelum ini kontrak konsesi tol lebuhraya adalah tertakluk dalam akta tersebut yang menghalang rakyat dari mengetahui perjanjian yang dikatakan berat sebelah dan menyebelahi pemilik konsesi.
Baru-baru ini akta tersebut pula digunakan untuk menghalang laporan PAC mengenai audit 1MDB disebarkan kepada umum.
Mahathir turut mempertahankan OSA dan tidak meletakkan kesalahan padaakta tersebut semata-mata kerana ia bergantung pada kerajaan yang memerintah.
Beliau turut memberikan komitmennya bahawa pentadbiran HARAPAN tidak akan menyalahgunakan undang-undang itu.
“Undang-undang tidak sempurna, ia terbuka kepada penyalahgunaan, tetapi anda berharap untuk mencari orang yang tidak melanggar undang-undang, yang akan mematuhi undang-undang. Itulah yang penting.
Kerajaan terdahulu tidak mematuhi undang-undang. Mereka melakukan apa yang mereka suka dengan undang-undang.
“Perkara utama adalah untuk memilih kerajaan yang tidak akan melanggar undang-undang,” – Tun Dr Mahathir
Bercanggah dengan Manifesto
TTKM mendapati manifesto pilihan raya lalu pada mukasurat 52, Pakatan HARAPAN berjanji untuk menyemak semula OSA dengan memperkenalkan akta baru, Akta Kebebasan Maklumat.
“Kerajaan Pakatan Harapan akan menyemak semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Saksi 2009, serta kami akan membuat penambahbaikan yang perlu.
“Akta Kebebasan Maklumat akan digubal dan peruntukan kewangan akan disediakan untuk melaksanakan Akta baru ini,” – Manifesto PH untuk PRU 14
Walau bagaimanapun, Tun Dr Mahathir sebelum ini mengatakan manifesto bukanlah kitab suci yang wajib diikuti, sebaliknya ia hanyalah sebagai panduan.
Sementara itu, aktivis grafik, Fahmi Reza menaikkan grafik memerli Tun Dr Mahathir di akaun facebook beliau dengan melukis wajah mirip Tun dengan cecair merah di mulut beliau dengan kapsyen “OSA is here to stay” yang bermaksud “OSA akan kekal di sini”. -TTKM-