Ibu JJ mohon sijil faraid harta RM2 bilion

KUALA LUMPUR: Ibu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis yang meninggal dalam nahas helikopter tiga tahun lalu, memfailkan permohonan untuk mendapatkan sijil faraid ke atas harta pusaka milik bekas Ahli Parlimen Rompin itu yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, lapor Berita Harian.

Aminah Abdullah, 84, yang diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman memfailkan permohonan itu pada 2 Mac lalu mengikut Seksyen 46 (ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Ketika ditemui media selepas prosiding pengurusan kes, Kamar Ainiah berkata permohonan itu difailkan bagi menentukan bahagian kepada waris yang berhak dalam harta pusaka milik Jamaludin.

Menurut Kamar Ainiah, pihaknya sudah memaklumkan mengenai permohonan yang dibuat Aminah kepada balu Allahyarham, Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan empat anaknya yang berusia antara 23 hingga 33 tahun.

Kamar Ainiah berkata, antara harta yang perlu di masukkan di dalam senarai untuk difaraid adalah lebih 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Makkah serta syarikat milik Jamaludin.

“Balu Allahyarham sudah memohon untuk menjadi pencelah (dalam permohonan ini) dan bagi pihak ibu selaku pemohon, beliau tidak mempunyai bantahan sekiranya waris lain ingin menjadi pencelah.

“Berikutan itu, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha Mohamad Mansor menetapkan 13 September ini untuk pengurusan kes,” —  Kamar Ainiah

Aminah yang berkerusi roda hadir ke mahkamah ditemani adik lelaki Jamaludin iaitu Mohamad Najeb Ali.

Jamaludin terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015.

9M-IGB-_PlanespottersNet_325553-600x360.jpg
Model Helikopter yang dinaiki. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang, helikopter jenis AS365 Dauphin yang membawa enam penumpang itu dilaporkan meletup di udara sebelum terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih.

heli 1.jpg
Bangkai helikopter yang masih terbakar, gambar The Star. 

Selain Jamaludin, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias adalah antara enam orang yang terbunuh dalam kejadian itu.

Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi helikopter, Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis kenduri kahwin anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang.

Helikopter itu dalam penerbangan dari Kuantan ke Subang. -TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.