“Tolak 5% gaji untuk skim insurans B40, mansuh bayaran RM1, RM5: tidak benar!” – Dr Dzulkefly

KENYATAAN AKHBAR
YB DR DZULKEFLY AHMAD MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
ISU SKIM PERLINDUNGAN KESIHATAN B40 YANG TULAR DI MEDIA SOSIAL
28 OGOS 2018

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum kenyataan berhubung Skim Perlindungan Kesihatan B40 yang tular di media sosial dan ingin menjelaskan kedudukan sebenar berkenaan skim tersebut.

 
KKM ingin menegaskan bahawa kenyataan yang mengatakan bahawa 5 peratus daripada pendapatan bulanan akan ditolak bagi membiayai Skim Perlindungan Kesihatan B40 adalah tidak benar dan spekulasi terhadap pemansuhan bayaran RM1 dan RM5 di fasiliti kesihatan kerajaan juga tidak benar.

 
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad pada satu sidang akhbar telah mengumumkan bahawa KKM mensasarkan untuk melancarkan Skim Perlindungan Kesihatan B40 pada awal tahun 2019.

 
KKM ingin menjelaskan bahawa pada masa ini sedang dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara Malaysia untuk menentukan mekanisma dan pakej pembiayaan kesihatan yang terbaik tanpa menjejaskan rakyat atau mana-mana pihak. Perkara ini akan dirumuskan dan dimuktamadkan selewat- lewatnya pada penghujung September agar dapat dimasukkan ke dalam pembentangan Bajet 2019.

 

Untuk makluman, rakyat yang dikategorikan di bawah B40 akan dibiayai sepenuhnya di dalam skim ini atau diberikan subsidi penuh oleh Kerajaan.

 
Dalam pada itu, perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan dan perubatan di semua klinik dan hospital kerajaan adalah dikekalkan dan diteruskan seperti biasa.

 
Pihak KKM mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat agar tidak mempercayai spekulasi dan fitnah yang dikeluarkan oleh pihak- pihak tertentu bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham.

 

YB DR DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.