Putrajaya, 30 Ogos: TTKM mengesahkan surat tersebut adalah sahih! Sejak pagi tadi, surat tersebut yang menjadi tular bertajuk “Pelantikan syarikat Petron sebagai pembekal bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan Malaysia” telah berlegar di media sosial.
Surat tersebut ditulis oleh En Ahmad Suhaimi bin Endut, Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam, Kementerian Kewangan Malaysia yang ditujukan kepada Puan Faridah Ali, Ketua Jabatan Dagangan Runcit, Petron Fuel International Sdn Bhd.
Antara isi surat tersebut:
“Untuk makluman pihak puan, Kementerian Kewangan (MOF) telah bersetuju melantik Petron Fuel International Sdn Bhd. (Petron) sebagai salah satu pembekal bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan melalui kad Inden. MOF berharap pelantikan Petron akan dapat memberi pilihan dan alternatif yang lebih baik kepada pembekal bahan api sedia ada”
Pihak TTKM mengesahkan surat tersebut adalah sahih setelah menghubungi encik Ahmad Suhaimi petang tadi. ( Malaysiakini turut mengesahkan surat tersebut)
Walau bagaimanapun, beliau berkata Petron cuma dilantik sebagai salah satu pembekal bahan api, setelah permohonan mereka diluluskan. Di samping itu, terdapat dua syarikat lain yang membekalkan bahan api kepada kerajaan iaitu Petronas dan Shell .
“Ya betul surat itu sahih. Cuma itulah, mungkin orang ada salah faham. Sebelum ini (pembekal bahan api untuk kerajaan adalah) Petronas dan Shell. Sekarang ini Petron memohon (untuk menjadi pembekal bahan api), jadi kita setuju Petron juga menjadi pembekal” – Ahmad Suhaimi
Beliau turut menambah, pembekal lain juga boleh mengemukakan permohonan sebagai pembekal bahan api untuk kenderaan kerajaan Malaysia, sekiranya mereka boleh memberikan perkhidmatan dan jaringan stesen yang besar di seluruh negara.
“Pembekal lain pun kalau nak minta, kita pertimbangkan juga, bergantung kepada rangkaiannya, cukup atau tidak stesennya di seluruh negara. Yang lain tu mereka tidak mohon sebab mereka sendiri pun rasa tidak mencukupi, tidak boleh beri perkhidmatan yang terbaik. Tapi kita tahu, sekarang ini memang petronas, shell dan petron ini yang paling besar.” – Ahmad Suhaimi
Favouritisme atau nepostisme?
Mirzan Mahathir yang merupakan anak Perdana Menteri, Tun Dr Mahahir adalah pengarah dan pemegang saham Petron Corporation semenjak 2010. Pada tahun itu, beliau memegang sebanyak 1000 saham yang melayakkan beliau menjadi pengarah syarikat tersebut.
Ini bukan pertama kali syarikat yang dikaitkan dengan keluarga Mahathir mencetuskan kontroversi.
Sebelum ini, syarikat Opcom yang diketuai Mokhzani Mahathir dianugerahkan kontrak oleh Telekom Malaysia beberapa hari selepas Pakatan Harapan yang diketuai Mahathir memenangi PRU ke 14.
Ini bukan tongkatkah?
Minggu lepas Mahathir mengumumkan BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum ia dihapuskan sepenuhnya. Ini kerana beliau menganggap BR1M adalah umpama tongkat kepada rakyat.
Pada PRU ke 13 dulu, Datuk Seri Anwar membidas pemberian kontrak pembekalan bahan api kepada Petron untuk kegunaan MAS.
“MAS di bawah telunjuk penasihat mereka, Mahathir Mohamad dengan bantuan Datuk Seri Najib telah meluluskan kontrak enam bulan untuk MAS membeli minyak dari syarikat anak Mahathir sendiri iaitu Petron.
MAS dipaksa untuk tidak membeli minyak lain selama enam bulan selain minyak dari syarikat Mirzan dan tindakan ini telah menyebabkan kerugian berkali ganda untuk MAS sendiri.
“Apa puncanya mereka rugi? Puncanya adalah perangai pemimpin Umno yang dibawa oleh Mahathir yang mengalakkan pemberian keuntungan untuk kroni dan anak-beranak,” – Anwar Ibrahim.
Walau bagaimanapun, Anwar dan Mahathir kini menjadi best friend forever (BFF) ketika PRU 14 apabila mereka membentuk koalisi Pakatan Harapan untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional. Sejak itu, Anwar tidak lagi berani mengkritik Mahathir atau anak-anaknya.
Manakala, calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli pula sebelum ini berkempen memohon orang ramai supaya tidak mengisi minyak di Petron kerana menurut beliau ini akan mengkayakan anak-anak Mahathir. -TTKM-