
KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas beliau akan ‘berperang’ dengan penyelewengan dan salah guna kuasa, lapor Sinar Harian.
Katanya, dalam hal ini beliau tidak teragak-agak untuk bersama pembangkang sekiranya kerajaan PH turut melakukan kesalahan ini.
“Sekarang saya hendak ingatkan menteri-menteri, giliran pembangkang membaca laporan audit dan mereka serang kita kalau kita cuai, dan saya akan masuk Parlimen dalam tempoh singkat ini kalau menang.
“Kalau serangan pembangkang itu tepat, dan ada kerosakan penyelewengan dan kecuaian pada menteri saya akan bersama dengan pembangkang untuk turut menyerang,”
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup sempena Kongres Bumiputera dan Negara 2018 di pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, beliau konsisten untuk membasmi penyalahgunaan kuasa bagi memastikan negara terus membangun.
“Kita tidak mahu salah guna kuasa tapi kena ada sistem pemantauan yang lebih telus,” katanya.
Semenjak memenangi kerusi presiden PKR tanpa bertanding, Anwar kini mula mengorak langkah politik beliau sebagai “perdana menteri menunggu”.
Antara perjanjian “Muafakat Pakatan Harapan” yang dimeterai oleh semua pimpinan tertinggi parti PKR, Amanah, DAP dan Bersatu adalah Anwar akan diangkat sebagai perdana menteri ke 8 setelah beliau diampunkan. Tetapi, tiada jangkamasa yang jelas dinyatakan dalam perjanjian tersebut.
“Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8” – Perjanjian Muafakat Pakatan Harapan.
Leave a Reply