Al kisah di sebuah negeri yang kaya raya tapi dikhabarkan di atas dan di bawah angin bahawa hutangnya keliling pinggang.
Sebermula, ada seorang jejaka yang elok paras rupanya, tetapi sombong, hendak menjadikan anak dara ketua kampung sebagai isterinya. Adapun jejaka itu namanya Mirjanawang dan anak dara itu namanya Sajibudasari.
Maka Mirjanawang pun mula mendekati Sajibudasari untuk memikat anak dara yang terkenal dengan kecantikannya yang saling tidak tumpah seperti puteri dari kayangan hendaknya.
Adapun usaha Mirjanawang tidak berhasil kerana Sajibudasari sangatlah jual mahal. Diajaknya berjalan, tak mahu. Ditulisnya surat, tak dibalas. Dikenyit mata, dibalas dengan lidah terjelir. Diberi rantai emas, ditolaknya.
Apa yang tidak diketahui Mirjanawang, sebenarnya Sajibudasari itu sudah pun mempunyai teman lelaki, Jibidermakasi namanya. Sudah tentulah Sajibudasari itu setia orangnya pada yang satu. Hal ini hanya diketahui oleh bekas rakan karib Jibidermakasi, Nobitalatau namanya.
Setelah itu, putuslah asa Mirjanawang lalu mengadaplah dia kepada ayahandanya Mahakayaharta.
“Ayah, Sajibudasari itu jual mahal!” ujar Mirjanawang kepada ayahandanya.
“Tak apa, biar ayah uruskan!” jawab Mahakayaharta sambil menumbuk ke udara.
Arakian, Mahakayaharta kemudian mengupah Nobitalatau supaya melakukan onar kepada Sajibudasari.
Maka mulalah rancangan jahat mereka bagi mengajar Sajibudasari, supaya anak dara itu tahu langit tinggi rendah.
Suatu pagi, ketika Sajibudasari ke sungai untuk membasuh pakaiannya, Nobitalatau muncul lalu menegur.
“Hai cik adik manis montok, mana mau pelegi?”
“Pergi basuh kain lah jilaker!” jawab Sajibudasari sambil melangkah lebih laju meninggalkan Nobitalatau di belakangnya.
Tanpa melengahkan masa, Nobitalatau kemudian menerkam Sajibudasari, lalu mencarik-carik pakaiannya sehingga ternampaklah bentuk badannya tanpa seutas benang pun.
Sajibudasari tidak berupaya melawan Nobitalatau.
Petir berdentum. Kilat menyabung.
Hilanglah dara Sajibudasari.
“Kau jangan beritahu sesiapa!” Ujar Nobitalatau sambil mengeluarkan pisaunya lalu memotong lidah Sajibudasari.
Berlumuran darah memancut-mancut sehingga sungai yang jernih bertukar merah menyala.
Melihat dirinya telah dinodai oleh Nobitalatau, Sajibudasari melarikan diri ke hutan dek malu yang tidak terhingga.
Ditemuilah beliau oleh Mak Joyah, orang asal yang menetap di hutan itu. Lalu diberilah ia rawatan, makanan dan tempat tinggal.
Arakian 9 bulan selepas itu, maka Sajibudasari sarat mengandung. Maka bersalinlah dia di rumah Mak Joyah. Anak yang baru lahir itu diberi nama Petranaktuk.
Setahun berlalu, maka Sajibudasari tidaklah tertahan lagi menetap di hutan belantara lalu membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya..
Setelah berkemas dan mengambil restu Mak Joyah, maka berangkatlah Sajibudasari itu bersama anaknya, Petranaktuk ke kampung.
Gemuruhlah seluruh kampung apabila sosok Sajibudasari tiba di depan rumah ketua kampung dengan mendukung seorang anak kecil. Semua berkumpul di depan rumah ketua kampung. Ada Mahakayaharta. Ada Mirjanawang. Ada Nobitalatau. Dan ada juga kekasih Sajibudasari, Jibidermakasi .
“Aku ingatkan kau sudah mati!” kata ayah Sajibudasari.
Sajibudasari menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Itu anak haram!” tiba-tiba Mahakayaharta menjerit memecahkan hening di kampung itu.
“Benarkah begitu? Siapa ayahnya?” tanya Mirnajawang.
“Itu! Jibidermakasi lah ayahnya! Dia memang berkasih-kasihan dengan Sajibudasari! Zina! Sebat seratus kali! ” kata Nobitalatau.
“Eh bila masa pula aku membuntingkan Sajibudasari? Aku ringan-ringan sahaja! Betul tak wahai kekasihku Sajibudasari?”
Sajibudasari tidak menjawab. Lidahnya sudah dipotong. Dia tak bisa berkata-kata. Dia hanya menggeleng-geleng sambil menunjukkan jadi telunjuknya kepada Nobitalatau.
Tanpa melengahkan masa, Nobitalatu menjerit dengan suara yang lantang .
“Hai orang kampung uneducated, apa lagi tercegat? Tangkap lah si Jibidermakasi bedebah tu!”
Orang kampung kemudian terus menerkam Jibidermakasi lalu mengikat beliau di sebatang pokok di hadapan rumah ketua kampung.
Mahakayaharta kemudian mengambil sebatang rotan lalu menyebat belakang Jibidermakasi sebanyak 100 sebatan, tanpa sebarang perbicaraan. Walaupun berusia tua, Mahakayaharta sangat kuat, mengalahkan kekuatan badang hendaknya.
Pada sebatan yang ke seratus, Jibidermakasi tidak lagi bermaya lalu mati di tempat kejadian.
Sajibudasari menangis teresak-esak tidak bersuara. Hanya air mata bercucuran bak hujan lebat.
Orang kampung bersorak.
Nobitalatau, Mahakayaharta dan Mirjanawang tersenyum puas. -TTKM-
(Artikel di atas adalah satira semata-mata tiada kena mengena kepada sesiapa sahaja yang masih hidup atau telah meninggal dunia- Editor)