kUALA LUMPUR: Kes saman fitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap Rafizi Ramli berhubung penganjuran Ekspo Negaraku 2017 berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini selepas Naib Presiden PKR itu mohon maaf.
Menurut laporan Berita Harian, permohonan maaf itu dibacakan oleh peguam Abdul Halim Abdul Karim yang mewakili Rafizi dan direkodkan oleh Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.
“Saya (Rafizi Ramli) kemudiannya menyedari bahawa saya telah tersilap memandangkan Abdul Rahman tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Raslan mahupun PICO Integrated.
“Oleh itu, saya (Rafizi Ramli) mengakui kesilapan saya dan meminta maaf setulus hati kepada Abdul Rahman akibat tindakan saya. Saya amat menyelesali tindakan saya itu dan tidak berniat untuk menimbulkan keaiban kepada Abdul Rahman serta berjanji untuk tidak akan mengulanginya lagi,” – Kenyataan permohonan maaf Rafizi
Mahkamah turut memerintahkan Rafizi membayar kos RM20,000.
Peguam Datuk M Reza Hassan hadir mewakili Abdul Rahman manakala Abdul Rahman dan Rafizi tidak hadir.
M Reza ketika ditemui berkata saman itu berjaya diselesaikan secara baik dan kedua-dua pihak sudah menandatangani penghakiman penyelesaian.
Menurutnya, antara terma penyelesaian adalah Rafizi bersetuju untuk membayar RM20,000 dan permohonan maaf itu dibacakan di mahkamah
Pada 30 Januari lalu, Abdul Rahman sebagai plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Mohd Rafizi sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Abdul Rahman mendakwa pada 10 November 2017, defendan melalui status di laman Facebook miliknya memaklumkan akan mengadakan sidang media bagi mendedahkan penyelewengan membabitkan seorang menteri.
Rafizi didakwa mengadakan sidang akhbar pada 11 Disember 2017 yang bertajuk ‘Skandal Baru UMNO Menteri Mana Pula Yang Kena?’ di pejabatnya di Sungai Besi di sini yang turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook miliknya.
Walau bagaimanapun, video tersebut dipadam dari facebook beliau apabila Rahman Dahlan menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa Rafizi telah melakukan fitnah.
Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata mengalu-alukan tindakan mahkamah ke atasnya ekoran dakwaannya itu dan menganggapnya sebagai peluang untuk mendapatkan jawapan daripada menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Abdul Rahman Dahlan.
“Beliau (Abdul Rahman) boleh bercakap dengan gah di luar, tetapi apabila masuk ke mahkamah, beliau akan ditanya dan jawapan beliau tertakluk kepada peraturan mahkamah. Sebab itu saya mengalu-alukan tindakannya. Saya dan barisan peguam akan bersedia dengan pelbagai soalan menarik,” – Rafizi Ramli.
Buletin TTKM melalui Mia Jalipah turut melaporkan kekantoian Rafizi tersebut pada tahun lepas:
-TTKM-