Skip to content

Pelbagai pihak desak Tommy Thomas letak jawatan.

Pelbagai pihak menyatakan bantahan terhadap keputusan Pejabat Peguam negara di atas tindakan menggugurkan pertuduhan ke atas Lim Guan Eng di bawah tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo semalam, malah mereka juga menuntut supaya Tommy Thomas meletak jawatan.

Ketua Biro Undang-undang Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Fatihah Jamhari dan Ketua Pegawai Eksekutif Profesional Muda (CP), Faidhur Rahman Abdul Hadi masing-masing menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Thomas kerana dilihat gagal menegakkan kebenaran.

Fatihah berkata, situasi menggugurkan tuduhan terhadap ahli politik Pakatan Harapan (PH) adalah satu penghinaan kepada undang-undang di mana ia memberikan gambaran yang buruk kepada masyarakat

“Walaupun keputusan untuk menggugurkan tuduhan itu adalah mengikut budi bicara Peguam Negara, ia bagaimanapun mestilah diuruskan secara bijak dan kritikal.

“Sekurang-kurangnya berikan penjelasan mengapa tuduhan itu digugurkan supaya masyarakat tidak merasakan mereka yang berkuasa mampu memanipulasi undang-undang untuk kepentingan sendiri,” Fatihah Jamhari

Sementara itu, Faidhur berkata, undang-undang termasuk Perlembagaan, perlu dipinda bagi mencegah perkara seperti ini berlaku.

“Sebelum ini, mereka yang dikaitkan dengan kerajaan Barisan Nasional, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah didakwa tetapi sekarang ini mereka yang dikaitkan dengan parti pemerintah dibebaskan.

“Saya teringat ketika kerajaan PH menang dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini, pemimpinnya yang kini perdana menteri kita berjanji untuk mematuhi undang-undang. Tetapi sebaliknya apa yang kita lihat sekarang berlaku penghinaan terhadap sistem keadilan kita,”  Faidhur Rahman Abdul Hadi

Kumpulan peguam berkenaan turut menyeru Majlis Peguam mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan situasi yang berlaku.

Desakan PAS

Semalam, Pas turut meminta Peguam Negara, Tommy Thomas, supaya berundur segera daripada jawatan itu, menurut laporan Utusan Malaysia.

Pas juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menyiasat Tommy kerana kes melibatkan Menteri Kewangan itu merupakan isu berkepentingan umum dan keputusan Jabatan Peguam Negara amat pelik.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, apa yang berlaku bukan sahaja sedang ditertawakan oleh rakyat, tetapi dipersoalkan banyak pihak kerana dalam kes serupa, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo sebelum ini terpaksa meringkuk dalam penjara.

“Tommy jika benar dia seorang pengamal undang-undang yang mempunyai integriti adalah lebih baik dia segera berundur kerana apa yang berlaku adalah bukti jelas bahawa Tommy tidak lagi layak untuk menjadi Peguam Negara.

SPRM pula sebagai badan yang diberi kuasa untuk menyiasat kena siasat hal ini, konflik kepentingan ini, kerana tidak memadai sekadar menzahirkan rasa terkejut kerana SPRM ada kuasa menyiasat,” – Idris Ahmad

Desakan UMNO

Sementara itu, Ketua Unit Undang-Undang Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa Tommy Thomas digesa supaya memperjelaskan tindakannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah membabitkan pembelian banglo bawah harga pasaran, menurut laporan Sinar Harian. 

Jika gagal melakukannya, Ketua Unit Undang-Undang Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Thomas wajar melepaskan jawatan kerana kredibiliti Jabatan Peguam Negara diragui.

“Peguam Negara wajib menjelaskan perkara ini memandangkan rakyat memerlukan penjelasan, apatah lagi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sendiri terkejut dengan keputusan tersebut.

“Jangan bersembunyi di sebalik kuasa yang diperuntukkan di bawah 145(3) atau letak jawatan dengan segera tanpa menjejaskan lagi kredibiliti Jabatan Peguam Negara,” –  Azalina Othman

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, terdapat satu trend membimbangkan di mana wujud pengguguran kes-kes pendakwaan yang melibatkan pemimpin PH secara berterusan, seperti yang sering dimaklumkannya sebelum ini.

Malah katanya, beliau turut membangkitkan beberapa kali di Parlimen supaya kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya diasingkan untuk mengelakkan campur tangan mana-mana pihak yang mana perkara sebegini akan dikhuatiri terus berlaku dan menjadi lebih parah di masa hadapan.

“Pada hari ini satu lagi kes yang digugurkan oleh Peguam Negara iaitu terhadap kes Guan Eng sekaligus menyebabkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara itu sendiri dipersoalkan.

Apatah lagi, Peguam Negara sendiri pernah mewakili Guan Eng di dalam kes ini sebelum menjadi Peguam Negara,”  –  Azalina Othman 

Dalam pada itu, Azalina berkata, beliau menggesa Majlis Peguam membuat satu mesyuarat tergempar mengenai perkara ini dan menyatakan pendirian mereka dalam perkara tersebut.

Semalam, Mahkamah Tinggi Georgetown melepas dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Keputusan itu telah membuatkan SPRM amat terkejut, manakala peguam Lim Guan Eng, Ramkarpal Singh pula terkejut dengan kekejutan yang dialami oleh SPRM tersebut. Manakala, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir turut menyatakan beliau terkejut. Sementara itu, bekas perdana menteri, Dato Seri Najib Razak pula bertanya adakah hari tersebut merupakan Hari Terkejut kerana semua pihak terkejut dengan keputusan pembebasan Lim Guan Eng.

TTKM semalam telah mengisytiharkan 3 September sebagai Hari Terkejut Negara. 

– TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Privacy Policy Designed using Magazine News Byte. Powered by

RSS
Follow by Email

Discover more from Buletin TTKM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading