“Gaji minima RM1050: Mahathir jaja maruah, hina pekerja!”

Oleh : Arul

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri – Tun Mahathir dalam mengumumkan gaji minima RM 1050 untuk seluruh negara adalah satu langkah menjaja maruah pekerja bergaji rendah dan satu penghinaan kepada kaum pekerja. Ia adalah satu penipuan yang amat dahsyat!

Semasa 22 tahun pemerintahan Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah membenarkan undang-undang Akta Gaji Minima digubal walaupun anak-anaknya sendiri adalah antara orang terkaya di Malaysia dan menjadi jutawan.

Apabila Akta Gaji Minima digubal pada tahun 2012, ramai rakyat biasa dan Kesatuan Sekerja gembira tetapi Mahathir sama sekali tidak berpuashati. Sekarang sebagai Mahathir 2.0, nampaknya tiada banyak yang telah berubah.

Pada 17 Julai tahun ini, PSM adalah antara kumpulan yang telah dijemput untuk mesyuarat tergempar oleh Majlis Gaji Minima Negara. Dalam mesyuarat tersebut, PSM mengusulkan gaji minima RM 1500 dan dibayar bayaran tertunggak dari 1 Julai 2018. Ini adalah kerana semakan gaji minima mestilah dilakukan setiap 2 tahun dan semakan terakhir telah dibuat pada 1 Julai 2016.

MTUC pula dalam mesyuarat tersebut meminta gaji minima ditetapkan pada RM 1800. Majlis Gaji Minima Negara sendiri pada mulanya mencadangkan RM 1250 untuk Semenanjung Malaysia mengikut manifesto Pakatan Harapan tetapi jika gaji perlu diseragamkan, mereka mencadangkan RM 1170 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Yang menarik adalah, Kaum Majikan mengusul kenaikan RM 50 ringgit bermula dari Januari 2019 yang bermaksud RM 1050.

Hari ini Mahathir mengumumkan apa yang diusulkan oleh majikan. Bukankah ini bererti kepentingan pekerja telah dilelong dan dijaja sepenuhnya oleh Tun Mahathir? Saya fikir adalah tidak masuk akal mempunyai Majlis Gaji Minima Negara sekiranya keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet.

Maka PSM menyeru ahli-ahli Majlis Gaji Minima Negara untuk meletak jawatan sahaja sebagai langkah bermaruah memandangkan hanya suara majikan dan orang kaya sahaja ada nilai, dipertimbangkan dan didengar. MGMN juga telah membuang masa dan duit dan tidak mempunyai lokus untuk menentukan gaji minima. Adalah lebih baik elaun mereka digunakan untuk perkara lain yang lebih berfaedah.

Berdasarkan manifesto PH, ini bermakna dalam tempoh empat tahun akan datang, gaji perlu ditingkatkan kepada RM 1500 yang bermakna peningkatan sebanyak RM 450. Ini akan menimbulkan lebih banyak tekanan kepada bakal Perdana Menteri setelah Mahathir kerana Mahathir merancang untuk bersara dalam masa 2 tahun. Saya pasti Mahathir tidak peduli nasib PM selepas beliau. Yang lebih mendukacitakan adalah semasa BN pun, gaji minima dinaikkan RM 100. PH telah mengecewakan kaum pekerja di negara kita!

Apakah semua jaguh pekerja dalam PH akan bersuara atau mereka akan menutup mulut mereka?

Adakah mereka akan mempunyai keberanian untuk melawan kenyataan PM yang merupakan satu penghinaan kepada hak dan maruah pekerja?

Adakah mereka akan membuka mulut mereka dan berdiri dengan pekerja atau adakah mereka lebih rela menyembah kepada Mahathir dan rakan-rakannya yang kaya?

Saya menanti hujah kawan-kawan YB yang sebelum ini dilihat sebagai pembela kaum pekerja – Kulasegaran, Abdullah Sani, Charles Santiago, Muhammad Sabu, Hanifa Maidin, Syed Shahril, P.Ramasamy, Maria Chin, Syed Shahril, Sivarasa, Tian Chua dan Nurul Izzah?

S.Arutchelvan, AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor)

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.