TTKM : Saluran maya anak muda hentam politik sampah- Sinar Harian

(Artikel ini disiarkan oleh Sinar Harian pada 2 Oktober 2017)
WARTAWAN SINAR HARIAN

BAGI yang mengenali Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) pasti mengetahui apa fungsi kewujudan mereka di laman Facebook (FB).

Asasnya, kumpulan yang terdiri daripada anak muda ini menjadi medium orang muda menolak politik yang tidak matang seperti politik perkauman, politik murahan dan sebagainya.

Setiap hantaran di dinding FB mereka jelas menunjukkan ia mendapat respon yang boleh dikatakan tinggi di kalangan hampir 270,000 pengikut mereka (terkini 363,000). Tidak kurang juga yang menentang dengan cubaan mempertahankan parti politik termasuk ideologi politik mereka.

Di sini, Sorot mengambil kesempatan menemubual panel TTKM bagi berkongsi pandangan isu berkaitan anak muda semakin muak dengan politik tanah air.

SOROT: Pada pandangan TTKM, dimanakah tahap politik negara kita?

Bagi kami, tahap politik negara kita tiada ideologi yang jelas, menjengkelkan, sarkis, tidak matang, umpama sampah yang tidak pernah lekang dari politik perkauman yang sempit dan jijik (gutter politics), penunggangan isu agama, retorik murahan politikus , permainan persepsi dan exploitasi sentimen .

Pihak kerajaan berterusan dengan dasar yang membebankan rakyat. Manakala pihak pembangkang yang sepatutnya bertugas sebagai ‘check and balance’, memilih untuk berpolitik tiada berpenghujung, contohnya projek baik untuk rakyat seperti MRT pun dipolitikkan.

Ini berlaku kerana rakyat Malaysia bukanlah masyarakat yang membaca bahan buku yang berfaedah dan berilmiah, sebaliknya mereka memilih membaca buku yang tidak mengembangkan minda.

Walaupun ada juga rakyat yang berpelajaran tinggi, tetapi malangnya mereka tidak mampu berfikir secara “Critical Thinking” dan “Logical Thinking”. Politikus pula menggunakan kesempatan ini untuk mengelirukan dan mempermainkan propaganda mereka.

Politikus dari kedua-dua pihak hanya akan mengikuti cakap atau arahan ketua parti sahaja. Ini adalah suatu fenomena yang tidak sihat. Contohnya, apabila satu usul yang dibawa ke parlimen oleh kerajaan atau pembangkang, parti lawan hanya tahu membantah sahaja walaupun usul tersebut adalah suatu yang baik. Ironinya, kedua-dua pihak boleh pula undi bersetuju sebulat suara untuk usul kenaikan gaji ahli parlimen!

Pengundi pula mengundi menurut logo parti sahaja dan bukannya mengundi menurut prestasi calon atau manifesto calon yang boleh membawa suara mereka ke parlimen dengan lebih lantang.

Isu yang basi, janji-janji manis yang ditabur tanpa henti , fitnah memfitnah dan saman-menyaman antara politikus mencerminkan mereka ‘syok sendiri’. Isu rakyat hanya dicanang dalam ceramah-ceramah retorik dan forum-forum yang tidak langsung mendatangkan hasil atau menjana perubahan.

Penyokong kerajaan dan pembangkang pula masing-masing taksub dengan pendirian dan perjuangan parti mereka sehingga tidak lagi rasional dalam membuat keputusan, tiada objektif dalam menganalisa sesuatu isu dan kalah dengan persepsi.

SOROT: Sejajar dengan prinsip penubuhan TTKM, sejauh mana orang muda menolak politik negara?

Kami mengiktiraf demokrasi dan tidaklah menolak berpolitik secara total kerana ia adalah penting, sebaliknya kami cuma menunjukkan kepada rakyat sikap ahli politik yang hipokrit, tidak telus, berpolitik 24 jam setiap hari, berterusan memperbodohkan rakyat seolah-olah mereka sahajalah manusia yang paling bijak di muka bumi ini.

Kami memperkasakan rakyat supaya mereka berani mempersoalkan tindak tanduk ahli politik, apa yang mereka tawarkan jika menjadi wakil rakyat, dan bukannya sekadar menunjuk muka di kenduri atau berceramah air liur sahaja.

Generasi Y dan X secara terang-terangan mengkritik semua politikus menerusi platform laman sosial. TTKM antara salah satunya menjadi suara tidak rasmi mereka dalam mengkritik sesuatu isu atau polisi.

Semakin ramai kini menjadi celik dan mula menjadi kritikal. Mereka lihat ahli politik kini kebanyakkanya bongkak, tidak boleh dikritik, tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan terus-menerus menjaja politik kebencian. Golongan muda nampak dan sedar akan perkembangan terkini ini.

Mereka mahukan politik matang, perdebatan sihat dan berfakta di dewan rakyat dan bukannya berdebat jerit-menjerit seperti kera, keji-mengeji dan gelak jenaka. Kedatangan wakil rakyat di sidang Dun dan Parlimen juga kini dipantau oleh orang muda.

Malah, gen Y dan X lebih marah dan meluat apabila wakil rakyat mereka tidak hadir sidang sehinggakan ramai beranggapan wakil rakyat makan gaji buta sahaja. Harapkan pegar, pegar makan padi.

SOROT: Sejauh mana pula golongan muda peduli dengan isu semasa politik tanah air?

Pada zaman teknologi maklumat yang semakin canggih kini, hampir setiap orang melayari internet dan menggunakan media sosial. Anak muda semakin cerdik politik, mereka mula menyedari hak mereka sebagai pengundi, dan itu adalah satu ancaman kepada ahli politik. Mereka bukan lagi generasi yang menerima bulat -bulat apa yang ditentukan oleh politikus – politikus ini.

Namun mereka lebih mengambil berat perkara asas ‘bread and butter’ seperti harga minyak, kos sara hidup, kos dan kualiti penjagaan kesihatan dan harga rumah yang memberi kesan secara terus kepada mereka. Politik adalah kotor. Ramai beranggapan ahli politik adalah hipokrit dan penipu secara langsung membuatkan mereka tidak peduli apa yang dibawa oleh parti politik.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.