Perniagaan dalam talian akan dicukai

IPOH: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) akan mengadakan perbincangan terperinci dengan Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan cukai terhadap perniagaan dalam talian, menurut laporan Berita Harian. 

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith, berkata cadangan mengenakan cukai kepada peniaga dalam talian itu adalah satu perkara yang baik kerana tiada pihak yang patut dikecualikan daripada membayar cukai.

Menurutnya, cukai adalah sebahagian daripada tanggungjawab rakyat yang juga sumbangan kepada pendapatan kerajaan.

“Cukai yang dimaksudkan, saya percaya adalah cukai yang berasaskan kepada pendapatan dan ini perkara biasa yang juga tanggungjawab kepada semua.

“Tiada sebab untuk mana-mana pihak dikecualikan daripada membayar cukai kepada kerajaan melainkan dalam kedudukan atau perkara yang dibenarkan secara jelas oleh undang-undang,” –  Eddin Syazlee Shith

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.

 

Menurutnya, perkembangan perniagaan dalam talian ketika ini yang menunjukkan prestasi atau peningkatan yang baik turut menjadikan pelaksanaan cukai itu bukan suatu tindakan salah, malah satu sumbangan kepada ekonomi negara.

“Ramai yang sudah berjaya dalam perniagaan ini dan bukan menjadi satu perkara yang salah atau membebankan untuk mereka menyumbang dan sumbangan ini adalah untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” –  Eddin Syazlee Shith

Ditanya jika ada kadar tertentu pendapatan perniagaan dalam talian yang akan dikenakan cukai, Eddin berkata seperti juga cukai pendapatan yang dikenakan kepada individu, pasti akan ditetapkan berapa jumlah minimum dengan formula yang bersesuaian.

Beliau berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap perniagaan dalam talian, pihaknya akan menjelaskan kedudukan dan mekanisme bagaimana cukai itu akan dilaksanakan.

“Tetapi apa pun secara dasarnya, perkara ini saya yakin akan dibincangkan secara terperinci dengan Kementerian Kewangan untuk sama-sama memperjelaskan bentuk dan cara pelaksanaan cukai kepada peniaga dalam talian ini,” – Eddin Syazlee Shith

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara semalam dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cukai terhadap perniagaan yang dijalankan secara dalam talian.

Kerajaan Pakatan Harapan berdepan kekurangan hasil apabila SST menggantikan GST, di mana pendapatan SST diprojeksikan berkurang sebanyak RM21 billion. Selain cadangan mengenakan cukai perniagaan dalam talian, kerajaan juga menimbang mengenakan cukai untuk minuman gula berkarbonat, yang dikenali sebagai cukai soda. -TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version