Kenyataan Media – Pelantikan Dr. Maszlee sebagai Presiden IIUM Penghinaan Kepada Golongan Akademik
Ketika Barisan Nasional digantikan dengan Pakatan Harapan, rakyat Malaysia berasa cukup gembira untuk “Malaysia Baru” yang PH dijanjikan seolah-olah sebuah revolusi akan berlaku. Namun selepas lebih 100 hari, PH telah menjadi sekadar parti harapan seperti Barisan Nasional yang sekadar menabur janji pilihanraya. Alasan Kabinet Dr. Mahathir sejak mendapat mandat adalah “semuanya salah Najib” dan “Malaysia akan bankrap”. Namun pelbagai perubahan sistem tidak memerlukan dana sekadar kehendak politik.
Pelantikan Dr. Maszlee bin Malik sebagai Presiden IIUM merupakan sebuah penghinaan kepada komuniti akademik serta kebebasan akademik. Dr. Maszlee memegang ijazah sarjana dalam bidang Islam dan Doktor Falsafah dalam bidang pentadbiran bukannya dalam bidang agama. Malah, Dr. Maszlee juga tidak pernah diberikan pangkat Profesor Akademik. Presiden sesebuah universiti sewajarnya daripada kalangan komuniti akademik yang bertauliah yang memiliki pangkat Profesor.
Umumnya diketahui bahawa IIUM tidak mungkin akan mengangkat Dr. Maszlee sebagai Presiden IIUM tanpa jawatannya sebagai ahli Kabinet. PH memberi mesej yang salah bahawa seorang ahli politik berjawatan lebih arif berbanding sebarang pentauliahan akademik Di Malaysia, terdapat ribuan ahli akademik telah mengendalikan ratusan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang jauh lebih layak untuk memegang jawatan pentadbiran universiti.
Pelantikan Dr. Maszlee merupakan sebuah penghinaan kepada golongan ahli akademik negara serta bagaimana ahli politik aliran kanan masih mencemari dunia akademik dengan agenda politik peribadi. Sistem seperti inilah apabila yang lebih layak tidak diberikan pengiktirafan atau ruang untuk perkembangan diri menjadi punca ramai golongan cerdik pandai kita tidak kira kaum atau agama berhijrah ke luar negara atau dikenali sebagai “brain drain”. PH memberikan Harapan bahawa sistem regresif yang dipelopori BN akan dimansuhkan dan dunia akademik akan diberikan kebebasan.
Kini, ia masih menjadi sebuah harapan kepada rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi, Dr. Mahathir mempertahankan pelantikan Dr. Maszlee serta memujuk rakyat menerima pelantikan ahli politik memegang jawatan pentadbiran di luar alam politik. PH sekadar menukar lantikan BN dengan ahli PH sahaja serta enggan memenuhi aspirasi rakyat. Maka, harapan rakyat agar PH akan menamatkan kronisma di Malaysia masih menjadi harapan.
PH seharusnya menepati janjinya dengan memansuhkan AUKU serta memberikan kebebasan akademik penuh kepada dunia akademik. Hubungan antara kerajaan dan universiti hanya dari segi bantuan kewangan dan infrastruktur penyelidikan. Hal ehwal pendidikan dan pentadbiran perlu diserahkan sepenuhnya kepada ahli akademik dan dikawal selia oleh Senat Universiti. Kebebasan akademik adalah prasyarat utama perkembangan ilmu.
Sharan Raj,
Naib Ketua Pemuda, Parti Sosialis Malaysia
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM-Editor)
Leave a Reply