Siswa UIAM duduk bantah di KPM: Dr Maszlee letak jawatan!

PUTRAJAYA, 7 Sept ― Sekumpulan pelajar mengadakan protes duduk bantah di hadapan Kementerian Pendidikan bagi menuntut Dr. Maszlee Malik meletak jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

Lebih kurang 10 pelajar tersebut, termasuk dari UIAM, bertekad tidak mahu berganjak selagi menteri pendidikan tidak melepaskan jawatan itu tersebut yang dikritik hebat pelbagai lapisan masyarakat.

Seorang siswazah UIAM, pelajar jurusan undang-undang, Siti Nur Izzah ketika dihubungi TTKM berkata bantahan tersebut bermula sejak 9 pagi tadi sehingga kini masih belum bersurai walaupun pihak polis ada memberitahu akan melakukan penangkapan.

“Kami terus akan duduk bantah di sini untuk mendesak Dr Maszlee meletak jawatan. Beliau harus mengotakan janji beliau pada 7 Jun 2018 yang mengatakan government will never misuse universities for political interests!” – Siti Nur Izzah

Seorang lagi siswazah UIAM, pelajar master jurusan linguistik arab, Huda Ramli turut bersependapat dengan rakan beliau.

“Aku tak ada masalah lah kalau Maszlee jadi Presiden UIA jikalau aspirasinya sama dengan Menteri-menteri terdahulu. Jadi, kalau hanya menjadi penerus legasi lantikan politik universiti, bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Tetapi, risalah politikal utamanya adalah good governance, dan perlantikannya sebagai Presiden jelas melanggar risalahnya sendiri!” – Huda Ramli.

Beliau yang juga merupakan bekas pelajar Dr Maszlee, turut menambah Dr Maszlee sepatutnya fokus kepada sistem autonomi universiti.

“Sepatutnya pada kesempatan yang ada ini, dia buat sistem autonomi universiti menjadi solid, supaya pemimpin-pemimpin selepas ini tidak akan berani melanyak autonomi universiti. Tapi itulah, kalau dia nak bertahan juga jadi presiden, buku good governance dia tu aku rasa layak dibakul sampahkan sahajalah.!” – Huda Ramli.

Pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat PH kerana ia dikatakan melanggar janji Pakatan Harapan untuk membebaskan institusi pengajian tinggi (IPT) daripada pengaruh politik.

-TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.