“Dr Maszlee, sila ukur baju di badan sendiri!”

Gambar Berita Harian.

Oleh : Abdul Muqit Bin Muhammad

Nak betulkan hala tuju UIAM konon, hala tuju kementerian sendiri pun huru-hara. Belum lagi bincang masalah-masalah di peringkat universiti, komitmen terhadap pemansuhan AUKU masih ghuyub. Tak minta banyak, paling tak berikan autonomi kepada persatuan-persatuan mahasiswa untuk memungut dana mereka dan uruskan akaun mereka sendiri.

Bagaimana dengan peruntukan untuk penyelidikan universiti? Pensyarah-pensyarah kontrak yang ingin dapatkan perjawatan tetap perlu buat penyelidikan sebagai syarat. Bagaimana nak buat penyelidikan kalau tiada peruntukan geran penyelidikan? Usai mendapat perjawatan tetap, pensyarah perlu buat penyelidikan lagi untuk pengesahan jawatan. Masalah sama berulang lagi, bagaimana nak buat penyelidikan kalau tiada peruntukan.

Kalau tiada peruntukan misalnya, kenapa tidak kaji semula syarat-syarat yang mewajibkan pensyarah buat penyelidikan tersebut?

Bila kali terakhir gaji pensyarah dikaji? Puluhan tahun yang lalu? Beban penyelidikan semakin bertambah dek mengejar ranking, tapi gaji pensyarah pun tidak dipeduli. Paling tak, kurangkan beban penyelidikan pensyarah.

Biasiswa MyBrain bagaimana statusnya? Beku sampai bila? Ada usaha untuk mengembalikannya? Berapa ramai pelajar-pelajar sarjana yang terpaksa berhenti sekerat jalan kerana pembekuan tersebut. Apa solusi pak menteri?

Itu belum lagi kita sentuh tentang hala tuju falsafah universiti. Masalah universiti yang ditadbir secara korporat hingga hilang tradisi ilmunya bagaimana?

Bila pak menteri nak meneliti semua masalah ini? Kekangan waktu? Sibuk dengan urusan lain? Tapi tahu pula nak menambah beban?

Urusan hala tuju UIAM biarlah Rektor yang uruskan. Pak menteri sibukkan diri dengan tugas asasi kementerian dulu.

Orang kata ukur baju di badan sendiri, kalau baju kita saiz XS janganlah kita pakai baju bersaiz XL. Huduh rupanya nanti! – TTKM –


Abdul Muqit merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa Universiti Malaya. Artikel ini merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.