Oleh : Siti Nurizah
Ramai juga para pensyarah yang tiba-tiba menjadi lantang. Bagus. Cuma mentaliti sebahagian pelajar dan pensyarah UIAM masih sama, orang bercakap isu PRINSIP mereka sehingga kiamat akan bercakap bab adab. Ada juga yang bermain isu peribadi.
Mereka lupa, mereka menjadi lantang hari ini kerana sedikit kebebasan. Yang mereka tak sedar, mereka masih di minda lama. Masih menunggu orang lain, atau lebih tepatnya DR Maszlee Malik untuk naik dan buat perubahan. Masih berfikiran feudal. Masih mahu membontoti. Padahal perubahan yang kita inginkan, corak universiti yang kita inginkan bermula dari diri kita sendiri. Baik datang dari mahasiswa atau pensyarah.
Kalau benar jujur mahukan perubahan, pensyarah UIAM sila lapor segala salah laku universiti yang ada. Sila ke depan. Sila lawan kekuasaan. Sila buat kerja-kerja pencerahan. Sila kerah pelajar dalam kelas untuk berubah, bukan lagi mengejar grade dan pointer. Sila beri edukasi politik bukan lagi pada lembu yang sedikit, tetapi pada lembu yang lebih ramai dalam universiti.
Sila bangun dan berdiri bila ada peniaga kecil yang ditindas dalam universiti kita. Sila bercakap soal isu. Sila dedahkan kebobrokan pensyarah yang dapat pangkat dari orang atas. Sila buat segera kerana Maszlee sudah beri ruang. Pensyarah sila ‘test the waters’. Jangan tunggu Maszlee. Kesenyapan kita-adalah kesukaran buat Maszlee. Memberi laluan kepada anasir-anasir busuk dan basi merebak.
Kepada mereka yang mahu bermain sentimen mengenali Maszlee, silakan. Aku juga boleh bermain isu kenal tak kenal Maszlee dan pegawai dalam KPM- tapi aku sedar, itu bukan aku. Itu bukan isunya. Itu bukan prinsipnya.
Hari Rabu ini, para mahasiswa akan mula kembali kelas. Sila buktikan golongan pensyarah memang mahukan perubahan. Mereka boleh buat tanpa menunggu Maszlee sekalipun. Biar Maszlee berada jadi Menteri Pendidikan dan buat apa yang dia janjikan. Kita di bawah sila buat kerja masing-masing. Kalau masih bisu, pengecut, tidak sedia ambil risiko dibenci, jangan cakap soal perubahan!
Semalam semasa disiasat, pegawai polis tanya, apa jawatan aku di universiti? Aku cakap aku pelajar biasa. Hari-hari ke depan kalau orang tanya siapa aku di universiti,
Aku sudah punya jawapan solid. Pelajar biasa yang dianggap biadap kerana berhadapan dengan kekuasaan, pensyarah yang suka berlindung, tidak adil dan jujur dalam kata-kata dan perlakuan.
Aku bangga digelar begitu. Menjadi BIADAP dan KURANG AJAR adalah pilihan terbaik yang aku ada. Sekurang-kurangnya, aku tak menipu diri aku sendiri! -TTKM-
(Siti Nurizah merupakan pelajar jurusan undang-undang di UIAM. Beliau ditahan polis kerana mengadakan duduk bantah menuntut Dr Maszlee letak jawatan sebagai presiden UIAM di hadapan bangunan kementerian pendidikan Putrajaya. Nukilan ini ditulis beliau selepas dibebaskan dan merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM-Editor)