PETALING JAYA: YB Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai ahli parlimen PKR Port Dickson sebentar tadi, menurut laporan Berita Harian.
Walau bagaimanapun, Danyal berkata perkara ini bukan satu pengkhianatan kepada rakyat sebaliknya keputusan tersebut untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.
Malah menurut beliau, perkara ini sudah pun dibincangkan bersama rakyat di kawasan berkenaan dan mereka tidak ada masalah dengan tindakan itu.
“Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat terutama golongan miskin di kawasan kampung dan pedalaman.Apabila Anwar ambil alih, saya akan terus komited mendengar permasalahan rakyat bagi pihak Anwar di Port Dickson.Saya tidak akan tinggalkan mereka (rakyat Port Dickson). Mesej sudah jelas bahawa rakyat sudah tahu dan mereka gembira mendapat khabar bahawa Anwar akan bertanding di sini,” – Danyal Balagopal Abdullah
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di sini, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pengosongan kerusi itu dilakukan dengan maksud khusus untuk memenuhi konsensus dicapai Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan Anwar menjadi Ahli Parlimen dan berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, langkah ini bukan mengkhianati rakyat, tetapi cara yang betul melalui proses pilihan raya.
“Selepas itu, Anwar akan menjadi Ahli Parlimen semula dan jika menang akan diangkat menjadi Perdana Menteri seperti dipersetujui PH selepas kelayakannya direntap dan ditarik apabila dimasukkan ke penjara sehingga peluang dia berkhidmat kepada rakyat dinafikan,” – Saifuddin Nasution
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula berpendapat bahawa pengosongan kerusi itu bukan satu pengkhianatan kerana ia tidak melanggar mandat rakyat.
“Di peringkat parti, PH akan kotakan janji yang ditawarkan kepada rakyat,” – Rafizi Ramli.
Ini merupakan pilihanraya kecil ketiga yang dilakukan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Pada 2008, Wan Azizah meletak jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh untuk Anwar kembali bertanding.
Pada 2014, Adun PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai adun Kajang untuk memberi laluan kepada Anwar dalam satu operasi yang dinamakan sebagai Kajang Move untuk menobatkan Anwar sebagai menteri besar Selangor. Tetapi langkah kajang tersebut menjadi langkah kejung apabila Anwar didapati bersalah dalam kes Liwat 2.
Sebelum PRU14, Wan Azizah mengakui bahawa sebahagian dari rancangan beliau adalah supaya beliau menjadi pemanas kerusi untuk suaminya dalam satu bual bicara program Al Jazeera.
Walau bagaimanapun, setelah PH menang PRU 14 dan Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau melakukan pusingan U dan tidak mengosongkan kerusi parlimen Pandan tersebut sebaliknya kerusi Port Dickson pula menjadi mangsa.
Di media sosial, langkah PKR ini ditroll sebagai PD Move, merujuk kepada Kajang Move yang dilakukan oleh PKR satu ketika dulu.
Jika Anwar menang pada pilihanraya kecil kelak, Malaysia akan mencatat satu lagi sejarah apabila suami, isteri dan anak (Anwar, Azizah, Nurul Izzah) menjadi ahli parlimen pada waktu yang sama -TTKM-