
KUALA LUMPUR 12 Sept:
“Kami beri tempoh tujuh hari untuk meletakkan jawatan. Jika beliau tidak berbuat demikian, kami akan mengumpul dan menggerakkan lebih ramai pelajar untuk menentang beliau”. – Asheeq Ali
Itulah kata dua yang diberikan oleh ketua wakil pelajar, Asheeq Ali Sethi Alivi yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Pembebasan Akademik IPT.
Gabungan tersebut yang diwakili 20 wakil pelajar dari seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi mendesak beliau meletak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Restoran Amjal semalam.
Ketika dihubungi TTKM, Asheeq yang merupakan pelajar jurusan undang-undang dari UKM memberitahu, gabungan itu terdiri dari 9 pertubuhan iaitu
- Demokrat UM
- DEMOKRAT UKM
- UMANY
- PKPIM
- BELIA HARMONI
- SUARAM youth
- GAMIS
- Pemuda Sosialis
- Mahasiswa Amanah
Desakan tersebut berlaku selepas mereka kecewa dengan pertemuan hampir dua jam tersebut menemui jalan buntu malah ia digunakan oleh Maszlee untuk mempertahankan diri beliau berhubung pelantikannya sebagai presiden UIAM yang dilihat menyalahi prinsip autonomi universiti.
“Secara asasnya, saya kecewa dengan pertemuan tersebut. Tujuan utama pertemuan itu bukan untuk beliau dengar daripada kita, tetapi untuk beliau ‘brainwash’ kami!”– Asheeq Ali

Hormati autonomi universiti
Asheeq turut mengulangi desakan beliau supaya tiada sebarang campur tangan politik dalam pentadbiran universiti berdasarkan prinsip autonomi universiti.
“Kita kena berpegang pada prinsip. Kalau tiada campur tangan politik di universiti, maka maksudnya tiada. Walau betapa baiknya menteri tersebut, ia tetap matlamat tidak menghalalkan cara, walaupun dia nak tukar dari dalam atau sebagainya. Kita di ketika Malaysia Baru ini, perkara tersebut tidak boleh berlaku. Universiti autonomi adalah milik universiti dan menteri tidak boleh ambil (autonomi itu) walaupun betapa baiknya beliau” – Asheeq Ali

Beliau turut menyatakan mobilisasi lebih besar akan dilakukan sekiranya Maszlee tidak meletak jawatan dalam masa 7 hari serta tidak menolak kemungkinan bantahan di jalanan akan dilakukan di universiti.
Turut didesak meletak jawatan adalah Setiausaha Politik Maszlee, Mohd Nizam Morad yang dilantik sebagai pengarah di UUM.
Sementara itu Maszlee juga didakwa memperkecil-kecilkan para pelajar yang mendesak beliau meletak jawatan dalam pertemuan tersebut, menurut seorang pelajar UIAM, Huda Ramli.
“Bukan setakat itu saja, pelajarnya diperlekeh, kata bayar cukai atau tidak, dulu ponteng kelas dia lah. Kamu nak sembang pelajar tak beradab, di mana pula adab berbincang secara profesional? Di mana adab berdebat yang tidak boleh sesekali merendahkan pihak lawan? – Huda Ramli.
Video pertemuan:
Maszlee buat photo-op.

Selepas selesai pertemuan, para pelajar berkumpul di luar restoran lalu melaungkan “Undur, Undur, Maszlee Malik”. Menyedari terdapat ramai wartawan dan jurugambar, Maszlee melakukan photo-op dengan melambai-lambai kepada wartawan sambil menghulurkan air botol minuman kepada Asheeq.
Walau bagaimanapun, Asheeq menolak jemputan tersebut. Malah, seorang lagi aktivis, Maryam Lee menghentakkan air botol minum tersebut di atas meja lalu Maszlee tersengih-sengih seperti kerang busuk kemudian berlalu pergi.
Maszlee Malik sebelum ini berjanji bahawa tidak akan ada campur tangan politik di universiti termasuk beliau sendiri. Tetapi beliau melakukan pusingan U apabila beliau sendiri dilantik sebagai presiden UIAM. – TTKM-
Leave a Reply