
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan untuk bertanding pilihan raya kecil Port Dickson dan jika menang kembali ke Parlimen dengan berkata langkah itu disetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menurut laporan FMT.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepada Dr Mahathir terlebih dahulu sebelum pengumuman mengenainya dibuat.
“2 hari lalu selepas balik dari Hong Kong saya telefon dan saya kata Insya Allah saya ambil kawasan Port Dickson setelah Datuk Danyal Balagopal Abdullah (penyandang) letak jawatan. Dia kata ‘OK’. Yang kamu (pengkritik) sibuk kenapa? Tak jadi masalah. Nak bangkitkan apa lagi?” – Anwar Ibrahim
Beliau berkata demikian semasa berucap di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka malam semalam.
Kelmarin, Anwar diumumkan akan bertanding di Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, bagi memberi laluan kepada untuk kembali ke Parlimen seterusnya diangkat menjadi perdana menteri ke 8.
Sementara itu, Datuk Ambiga Sreenevasan mengkritik PKR yang sengaja mencetuskan pilihan raya kecil (PRK) untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas pengerusi Bersih 2.0 itu menyifatkan tindakan memaksa kekosongan kerusi Port Dickson sebagai salah, merugikan sistem demokrasi dan mengkhianati undi rakyat, menurut laporan Malay Mail.
Beliau turut bersetuju Anwar kembali aktif berpolitik tetapi kerusi itu harus dikosongkan oleh ahli keluarganya.
“Saya rasa kasihan pada rakyat, kasihan juga pada beliau. Saya rasa ia merugikan sistem dan demokrasi. Saya tiada isu dengan Anwar kembali aktif kerana beliau layak berbuat demikian tetapi saya dan orang awam faham satu ahli keluarganya perlu mengosongkan kerusinya” – Ambiga
PRK Port Dickson merupakan pilihanraya kecil ketiga yang dilakukan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Pada 2008, Wan Azizah meletak jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh untuk beri laluan kepada Anwar.
Pada 2014, Adun PKR, Lee Chin Cheh pula meletak jawatan sebagai adun Kajang untuk memberi laluan kepada Anwar sekali lagi dalam satu operasi yang dinamakan sebagai Kajang Move untuk menobatkan Anwar sebagai menteri besar Selangor. Tetapi langkah kajang tersebut menjadi langkah kejung apabila Anwar didapati bersalah dalam kes Liwat 2.
Sebelum PRU14, Wan Azizah mengakui bahawa sebahagian dari rancangan beliau adalah supaya beliau menjadi pemanas kerusi untuk suaminya dalam satu bual bicara program Al Jazeera.
Walau bagaimanapun, setelah PH menang PRU 14 dan Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau melakukan pusingan U dan tidak mengosongkan kerusi parlimen Pandan tersebut sebaliknya kerusi Port Dickson pula menjadi mangsa.
Jika Anwar menang pada pilihanraya kecil kelak, Malaysia akan mencatat satu lagi sejarah apabila suami, isteri dan anak (Anwar, Azizah, Nurul Izzah) menjadi ahli parlimen pada waktu yang sama. -TTKM-
Leave a Reply